Aaron-Wooi Yik pasang impian raih nombor 1 dunia

Foto daripada Facebook Badminton Association of Malaysia - BAM.
- Advertisement -

SEPANG: Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mula memasang impian untuk meraih ranking nombor satu dunia dan gelaran sulung Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Selepas berjaya menamatkan badi sering tewas di peringkat separuh akhir dengan merangkul gelaran bersejarah Kejohanan Dunia pada Ahad lepas, dua misi tersebut menjadi motivasi kepada beregu nombor lima dunia itu untuk bekerja lebih keras.

Aaron, 25, mengakui status juara dunia itu meningkatkan lagi cabaran buat mereka untuk melihat dengan lebih serius setiap kejohanan disertai disebabkan dengan gelaran tersebut mereka bakal menjadi ‘buruan’ lawan.

- Advertisement -

“Sebenarnya kami sasarkan untuk gelaran Jelajah Dunia dulu, baru gelaran Kejohanan Dunia. Jadi, kami masih kena berjuang untuk gelaran Jelajah Dunia pertama kami. Kejayaan ini buat kami lebih bermotivasi dan yakin untuk kejohanan seterusnya selepas sebelum ini menerima banyak kritikan kerana kerap tewas di separuh akhir.

“Ia juga beri semangat juang kerana kami pun berharap satu hari nanti kami jadi nombor satu dunia. Bagaimanapun, pada masa yang sama kami juga perlu berkerja keras,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini setibanya ke tanah air daripada kejayaan memenangi gelaran dunia itu.

Ahad lepas, Aaron-Wooi Yik mencipta sejarah sebagai pemain Malaysia pertama merangkul gelaran dunia sekali gus menamatkan penantian 45 tahun, apabila menewaskan gandingan berpengalaman dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14 pada final di Tokyo, Jepun.

Aaron berkata kecederaan bahunya hingga memaksa mereka menarik diri daripada Terbuka Jepun yang sedang berlangsung di Osaka, tidak begitu serius dan diharap pulih selepas berehat secukupnya, selain akan melangsungkan perkahwinan pada 16 Sept ini

Sementara itu, Wooi Yik berkata beliau dan Aaron berjaya mengapai kejayaan itu hasil kerja keras tanpa putus asa meskipun sering dikritik kerana masih tiada gelaran di peringkat antarabangsa selain pingat emas Sukan SEA 2019, sejak digandingkan pada 2018 .

“Masa itu kita pun tak tahu macam mana nak menang gelaran juara, tetapi setiap kali bertanding kami cuba yang terbaik,” katanya yang mengakui kini tampil lebih ‘garang’ di gelanggang bagi memberikan tekanan kepada pihak lawan dengan kemampuan untuk beraksi secara bertahan dan menyerang.

Mengulas mengenai harapan untuk Final Jelajah Dunia BWF bermula 14 hingga 18 Dis ini di Guangzhou, China selepas mendapat slot automatik atas kejayaan di Tokyo, beliau berkata mahu fokus satu demi satu kejohanan dulu.

“Buat masa ini apa yang saya fikir adalah meneruskan prestasi baik ini di Terbuka Denmark dan Perancis (pada Oktober) dahulu. Lepas ini, kami ada sebulan untuk berlatih semula dan fokus, jadi saya harap di Final Jelajah Dunia kami dapat bermain dengan baik dan lakukan apa yang sepatutnya,” katanya.

Pemain berusia 24 tahun itu, berkata buat masa ini beliau mahu meluangkan masa bersama keluarga kerana sudah lama tidak pulang ke rumah selepas terlibat dengan latihan dan kejohaan. – BERNAMA

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!