Politik berteraskan kaum sudah tidak patut wujud

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perjuangan politik berasaskan bangsa hanya menyebabkan kucar-kacir kerana sentimen perkauman, sekali gus menyukarkan perpaduan walaupun Malaysia sudah lebih 60 tahun merdeka.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, PAS berpendirian negara ini tidak boleh dibina atas perkauman sebaliknya mesti dengan dasar yang kuat yaknilah agama.

“Sebab agama ni takkan berubah-ubah. Agama ni mari zaman mana sekalipun dia tetap tak akan berubah. Jadi kita kena pegang polisi yang tetap ini supaya dalam mengatur strategi pentadbiran, kita kena pegang polisi yang tetap. Agama tak pernah berubah. Kalau zaman dulu haram, zaman sekarang pun haram.

“Dulu boleh dengan bukan-Islam, sekarang pun boleh. Dulu tak boleh, sekarang pun tak boleh. Sebab nilai agama dia tetap. Jadi kita kena pegang polisi yang tetap ini. Jangan pegang polisi yang sekejap macam ini, kejap macam ini, kejap macam ini. Jadi nanti negara kita tak, tak tentu hala tuju.

“Dulu kata tak boleh. Sekarang kenapa boleh kan? Jadi oleh kerana itu, kita perlu dasar kita sama. Kalau kita PAS nak nak mudah, kita joined je Umno, apa masalahnya kan? Kenapa PAS tak bersama dengan Umno? Bukan baru, sejak sebelum merdeka lagi 1957. Ya.

“PAS berdaftar tahun 1951. (Tahun) 1957 kita merdeka. Pilihan raya pertama pun PAS dah lawan dengan Umno. Kalau kami berjuang untuk bangsa, kita joined je Umno,” katanya dalam rancangan Feng Ren Guan bersama pengendalinya, Lum Chih Feng di Youtube, kelmarin.

Beliau membawakan pemerintahan Kerajaan PAS Negeri Kelantan yang dengan dasar Islam sama sekali tidak mengubah paksa anutan dan budaya kaum bukan-Islam sebaliknya hidup harmoni dan dijamin akan hak mereka.

Begitu juga terangnya dalam konteks kebersamaan politik masa kini di mana PAS berada dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) yang turut disertai parti GERAKAN, selain PAS sendiri mempunyai Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP).

Jelas beliau, GERAKAN berperanan untuk memastikan orang bukan-Islam menyokong PN, sementara DHPP adalah sayap khusus dalam menggerakkan penjelasan polisi-polisi PAS kepada bukan-Muslim untuk menarik sokongan.

Di waktu yang sama katanya, PAS akan menyokong supaya orang Melayu juga memilih atau memberi undi kepada calon-calon PN walaupun dalam kalangan bukan-Melayu dan bukan-Islam sekalipun.

“Jadi soalnya ialah kita tengok sekarang ni (sepertimana) waktu kita bersama dengan Pakatan Rakyat (PR) dulu. PR pun sama juga, dulu pun waktu kami masuk dalam PR pun perkara yang sama berlaku.

“Cuma bila kita bertanding pilihan raya, kita bertanding atas satu muafakat politik, Perikatan Nasional, bukan lagi PAS, bukan lagi BERSATU, bukan lagi GERAKAN. Tapi atas PN. Dulu atas PR, jadi kerana itu kita tak kisah siapa calon yang penting PR.

“Sekarang ni kita tak kisah siapa calon walaupun bukan-Melayu, walaupun calon itu daripada GERAKAN, tapi mewakili Perikatan Nasional, kita akan sokong,” ujarnya menjelaskan setiakawan gabungan dan tidak meminggirkan bukan-Islam. – HARAKAHDAILY 31/8/2022

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -