Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Laungan ‘merdeka’ tujuh kali diketuai Menteri Besar (MB) Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaungkan sebaik sahaja tepat jam 12 tengah malam tadi.
Serentak dengan itu lagu Negaraku berkumandang sebagai menyambut detik keramat 31 Ogos, ulang tahun kemerdekaan negara kali ke-65.
Menteri Besar turut menerima Jalur Gemilang yang diserahkan Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir sebelum diserah kembali kepada pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan dipasangkan di tiang khas.
Program Ambang Merdeka yang diadakan di Dataran Pekan Rabu dihadiri kira-kira 15,000 penduduk yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur.
Mereka yang hadir begitu teruja melihat aksi lasak pertahanan diri tanpa senjata dan melompat gelung api oleh pasukan 513 Rejmen Askar Wataniah.
Manakala sketsa pertarungan antara anggota polis bersama pencopet bermotosikal bukan sahaja mencemaskan hadirin sebaliknya kecekapan anggota keselamatan dikagumi.
Penonton juga disajikan deklamasi sajak kemerdekaan yang dipersembahkan wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat. Persembahan istimewa artis tempatan, Ariswatan juga menambat hati hadirin.