
Oleh: NORHANA MAT ZIN
KUALA LUMPUR: Pengguna di Malaysia terlalu pasif bertindak dalam sektor ekonomi sedangkan mereka tidak sedar akan kuasa belian yang ada pada diri masing-masing, yang sepatutnya perlu digunakan dengan saling bersatu untuk bertindak menguasai dan mengawal pasaran barangan di negara ini.
Itu buah pandangan pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Kuala Lumpur, Prof Emeritus Dr. Barjoyai Bardai ketika diminta mengulas mengenai kenaikan harga barangan di negara ini, khususnya yang terbaharu, 53 produk keluaran Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. (Gardenia) akan dinaikkan harganya bermula Khamis, 1 September ini.
Dalam suratnya kepada peruncit sebelum ini, Gardenia dalam kenyataan medianya berkata, impak inflasi kenaikan berterusan terhadap bahan mentah seperti tepung gandum dan lemak sayuran memaksa harga dinaikkan untuk kali kedua bagi tempoh kurang setahun.
Kenaikan harga itu membabitkan roti Gardenia Original Classic 400 gram yang akan dijual pada RM3 (naik 20 sen), Original Classic Jumbo 600g RM4.30 (naik 30 sen) dan Breakthru Wholewheat 400g RM4 (naik 40 sen).
Sementara harga bagi krim gulung perasa vanila, gula mentega dan karamel masin, dinaikkan sebanyak 10 sen menjadi RM1.10 sen setiap satu, manakala siri roti Toast Em juga meningkat 50 sen kepada RM5.50.
Dalam semakan harga kali terakhir produk Gardenia dinaikkan harganya sebelum ini pada 1 Disember 2021, sebuku Original Classic 400g dinaikkan 30 sen, manakala Original Classic Jumbo 600g dinaikkan sebanyak 45 sen.

Menurut Barjoyai, sebagai contohnya apabila harga roti Gardenia dinaikkan menjelang 1 September ini, pengguna perlu menggunakan kuasa belian masing-masing untuk memberhentikan belian masing-masing.
“Jika pembeli memberhentikan pembelian, berkemungkinan ia akan memberi kesan kepada pengeluar produk yang menaikkan harga barangan keluarannya itu,” ujarnya.
Tambahnya, Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan apa yang dikenali dengan istilah ‘Market’s economy’, yang mana permintaan dan penawaran ialah faktor yang menentukan harga barangan di pasaran.
Barjoyai berkata, ekonomi di Malaysia lebih mirip kepada ‘the supplier’s economy’ yang menyaksikan pembekal yang lebih berkuasa menentukan harga barangan.
Sehubungan itu, Barjoyai mencadangkan pengguna juga boleh mendapatkan bekalan roti daripada pengeluar lain.

“Contohnya, di pasar malam sekarang ini ada pengusaha kecil yang membuat roti dan menjualnya pada harga yang lebih rendah.
“Mutu keluarannya pun agak menarik walau pun bungkusannya tidak bercetak dan ia tidak menggunakan jenama seperti Gardenia,” jelasnya.
Pada masa kini, ujar beliau, sebenarnya harga bahan mentah memang dikatakan sedang meningkat.
“Ini khususnya bahan mentah utama seperti tepung gandum yang diimport berkemungkinan dari Rusia, Ukraine atau Turkiye,” katanya.
Namun, Barjoyai turut mempersoalkan mengapakah sebahagian daripada produk keluaran Gardenia naik berganda, sedangkan harga bahan mentah hanya naik kurang daripada 20 peratus.
“Walaupun begitu, terdapat juga produk keluaran Gardenia yang dikekalkan harga. Antaranya, Gardenia Bonanza Keluarga.
“Ini menunjukan ada juga timbang rasa pengeluar (Gardenia) yang mungkin cuba menggunakan kaedah ‘Cross subsidy’ antara produk yang dianggap mewah dengan produk asas untuk orang ramai,” ujar beliau.

Namun begitu, menurutnya lagi, perlu ada inisiatif khusus Jawatankuasa Jihad Inflasi untuk segera mengeluarkan hasil analisis kos pengeluaran roti bagi menonjolkan bagaimana kenaikan satu peratus dalam kos pengeluaran keseluruhan produk digandakan menjadi kenaikan antara empat hingga lima peratus dalam harga jualan.
“Apabila fakta itu didedahkan kepada umum, barulah kita tahu hati budi pengeluar produk ini (Gardenia) dan bolehlah kita membuat keputusan untuk sama ada terus menyokong dengan membeli produk berkenaan atau cuba mencari ganti produk yang lebih berpatutan harganya di pasaran,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/08/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!