Sumbangan al-Khwarizmi dalam bidang algebra

- Advertisement -

MUḤAMMAD ibn Musa al-Khwarizmi yang lebih dikenali dengan panggilan al-Khwarizmi merupakan seorang tokoh hebat abad kesembilan Masihi. Beliau menguasai banyak cabang ilmu, antaranya matematik, astronomi dan geografi. 

Dalam bidang matematik, beliau telah mengarang enam buah kitab, dan yang paling terkenal ialah ‘al-Jabr wa al-Muqabalah’ yang mempelopori ilmu algebra. Perkataan ‘algebra’ itu sendiri diperoleh daripada istilah ‘al-jabr’

Oleh sebab sumbangan besar al-Khwarizmi dalam bidang algebra, beliau diberi gelaran ‘Bapa Algebra’ manakala George Sarton dalam bukunya ‘Introduction to the History of Science’ menggelarnya ‘Ahli Matematik Agung Abad Kesembilan’.

Dalam kitab ‘Muqaddimah’ karya Ibn Khaldun, beliau menerangkan bahawa ilmu algebra membolehkan maklumat yang tidak diketahui didapatkan daripada maklumat yang diketahui yakni dengan membuat pengiraan bagi mencari nilai yang belum diketahui daripada nilai lain yang telah diperoleh. 

Istilah ‘al-jabr’ merujuk kepada operasi yang menggunakan kaedah perlengkapan atau pengembalian bagi mengubah persamaan dalam usaha mencari penyelesaian. Dalam konteks ini, al-Khwarizmi telah memperkenalkan asas bagi algebra menerusi beberapa penyelesaian masalah menggunakan kaedah yang dikenali hari ini sebagai ‘persamaan linear’ dan ‘persamaan kuadratik’.

Kepentingan matematik dari pandangan al-Khwarizmi dapat dilihat apabila beliau menulis dalam kitab ‘al-Jabr wa al-Muqabalah’: “…tatkala aku melihat apa yang manusia perlukan dalam kira-kira, aku dapati semuanya berkait dengan angka.” Al-Khwarizmi mengarang kitab ini bagi memberi kefahaman berkenaan masalah harian yang perlu diuruskan oleh umat Islam seperti jual beli, faraid, hutang, hibah, mas kahwin, dan wasiat. 

Algebra diperkenalkan oleh al-Khwarizmi sebagai satu bentuk penyelesaian kepada isu-isu yang timbul berkaitan perkara-perkara yang dinyatakan tadi.

Perlu disedari bahawa semasa al-Khwarizmi mengarang kitab ‘al-Jabr wa al-Muqabalah,’ simbol dan angka dalam matematik belum digunakan seperti pada zaman sekarang. Sebaliknya al-Khwarizmi menghuraikan permasalahan algebra menggunakan perkataan, ayat dan ungkapan. 

Masalah algebra yang jika menggunakan simbol dan angka seperti sekarang mungkin dapat diselesaikan dalam beberapa baris, tetapi disebabkan ketiadaan simbol dan angka, al-Khwarizmi memerlukan penghuraian yang panjang sehingga beberapa halaman bagi menyelesaikan perkara yang dibincangkan.

Asas bidang algebra yang diletakkan oleh al-Khwarizmi memungkinkan ahli-ahli matematik yang datang selepasnya membangunkan bidang matematik ini ke satu tahap seperti yang dapat dilihat pada zaman moden ini. 

Sumbangan besar beliau dalam bidang ilmu matematik, khususnya algebra, membantu umat Islam khususnya pada zaman pertengahan untuk menyelesaikan masalah-masalah berkaitan muamalat secara lebih tersusun dan jitu menggunakan kaedah algebra yang diperkenalkannya.

DR. SHAIKH MOHD SAIFUDDEEN SHAIKH MOHD SALLEH 
Pengarah, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, IKIM – HARAKAHDAILY 29/8/2022

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid02AVRYeEeudnvDJginTLFb3H8GxRC83bVPTbeQQGETFbP7dTTktSqm9nqb2V8RuALnl&id=100064392321114

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -

- Advertisement -