INDEKS Pemerkasaan Pengguna ASEAN (ACEI) 2020 bagi Malaysia adalah 94.48/130 atau 72.68 peratus. Dalam kalangan 10 negara anggota ASEAN, Malaysia menduduki tangga kedua, di belakang Thailand.
Pusingan ACEI yang seterusnya adalah 2021/2022. Bersandarkan kajian terakhir itu, Malaysia berada di tahap ‘pemerkasaan pengguna berkadar sederhana’, justeru pelbagai ruang penambahbaikan giat direncana bagi melonjakkan kedudukan negara.
Menyedari hakikat sedemikian, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menganjurkan Program Kita Pengguna, dengan kerjasama rakan strategik, selama tiga hari, mulai Jumaat lalu bertempat di pusat beli belah MyTown, di ibu negara.
Menerusi penyertaan 12 pempamer, program bertemakan ‘Pengguna Malaysia Teguh Bersama Bijak Bestari’ melakar kejayaan apabila orang ramai yang hadir berupaya menimba pelbagai pengetahuan dan manfaat.
Selain cakna dengan hak pengguna, pengunjung didedahkan dengan saluran aduan dan helah sindiket penipuan yang semakin berleluasa ketika ini, menerusi penerangan oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Hebahan dan advokasi sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa, malah dipertingkat demi memastikan hak pengguna di Malaysia terus terjamin.
DATUK SERI ALEXANDER NANTA LINGGI
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) – HARAKAHDAILY 29/8/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!