Jualan Murah Keluarga Malaysia tawar diskaun 20 peratus

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) di seluruh Kelantan diadakan dari semasa ke semasa sehingga Disember depan.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Khuzaimah Husain berkata program jualan murah di setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dilaksanakan mulai minggu ini menerusi pembahagian Kumpulan A dan B.

Katanya, Kumpulan A terdiri daripada Dun bagi Parlimen Tumpat, Kota Bharu, Rantau Panjang, Bachok, Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai.

- Advertisement -

“Kumpulan B pula membabitkan Dun di kawasan Parlimen Pengkalan Chepa, Pasir Mas, Kubang Kerian, Ketereh, Pasir Puteh, Jeli dan Gua Musang.

“LKIM dipertanggungjawab sebagai agensi pelaksana bagi PJMKM Kelantan meliputi 45 kawasan Dun dengan peruntukan RM5.6 juta bagi tempoh lima bulan atau RM125,000 setiap Dun,” katanya ketika ditemui pada program JMKM Dun Tanjong Mas yang diadakan di Pasar Seringgit, Lundang.

Hadir sama Adun Tanjung Mas Rohani Ibrahim dan pegawai LKIM.

Khuzaimah berkata, Kumpulan A akan dilaksanakan pada minggu pertama dan ketiga setiap bulan, manakala Kumpulan B akan diadakan minggu kedua dan keempat.

Menurutnya tujuh Dun akan melaksanakan PJMKM bulan ini iaitu Dun Kok Lanas di Pasaraya Jelira), Dun Nenggiri (SMS Maju Solution) dan Dun Galas (Pasaraya TMG Mart Gua Musang).

Kata beliau program akan diteruskan di Dun Kelaboran (Agrobazar Rakyat Pekan Tumpat), Dun Tanjung Mas (Pasar Seringgit Lundang) dan Dun Semerak (Pasar Nelayan Tok Bali) pada Isnin serta Selasa (29 dan 30 Ogos).

Manakala Dun Melor (Panji Makmur Trading) pada Selasa dan Rabu ini.

“Bagi Dun lain kesemuanya akan dilaksanakan bermula September di pasar raya yang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Antara barangan keperluan harian ditawarkan diskaun sehingga 20 peratus iaitu ayam, ikan dan hasil laut, telur ayam, gula, minyak masak, tepung gandum, beras serta sayur-sayuran.

Bagaimanapun katanya, tidak semua barangan diberi potongan sehingga 20 peratus kerana dibimbangi ada pihak yang mengambil kesempatan membeli barangan berkenaan dengan banyak. – HARAKAHDAILY 29/8/2022

- Advertisement -