Islam: Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS)

ISLAM mestilah difahami daripada perkataan al-din mengikut istilah bahasa al-Quran yang membezakannya dengan agama yang lain dan sebarang ideologi ciptaan manusia. Hal ini demikian kerana, kesempurnaan ajaran Islam dalam semua aspek naluri (fitrah) kejadian alam termasuklah manusia yang mempunyai perbezaannya dengan makhluk lain, serta tidak berpisah dalam kalangan tiap-tiap aspek itu dan wawasannya pula berpanjangan daripada alam dunia sehingga alam akhirat.  

Islam menjadi suatu peraturan yang merupakan ketetapan Allah SWT yang sempurna, benar dan adil kepada seluruh alam ciptaan-Nya mengikut fitrah penciptaan masing-masing. Hal ini dijelaskan oleh firman-Nya:

﴿أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ٨٣﴾

“Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari agama lain selain daripada agama Allah? Padahal kepada-Nya jua menyerah diri (Islam) sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada secara sukarela ataupun terpaksa mengikut fitrah (naluri masing-masing), dan kepada-Nya jua mereka dikembalikan.” (Surah Ali ‘Imran: 83)

Advertisement

Firman Allah SWT:

﴿وَإِلَٰهُكُمۡ إِلَٰهٞ وَٰحِدٞۖ لَّآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلرَّحۡمَٰنُ ٱلرَّحِيمُ١٦٣ إِنَّ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّهَارِ وَٱلۡفُلۡكِ ٱلَّتِي تَجۡرِي فِي ٱلۡبَحۡرِ بِمَا يَنفَعُ ٱلنَّاسَ وَمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مِن مَّآءٖ فَأَحۡيَا بِهِ ٱلۡأَرۡضَ بَعۡدَ مَوۡتِهَا وَبَثَّ فِيهَا مِن كُلِّ دَآبَّةٖ وَتَصۡرِيفِ ٱلرِّيَٰحِ وَٱلسَّحَابِ ٱلۡمُسَخَّرِ بَيۡنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَعۡقِلُونَ١٦٤﴾

“Dan Tuhan kalian ialah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain daripada Allah, Tuhan yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (163); Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) bahtera yang belayar di lautan dengan membawa apa-apa yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia membiakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah dan kebesaran-Nya) bagi kaum yang (mahu) memikirkan. (164)” (Surah al-Baqarah: 163-164)

Allah SWT menetapkan kepada setiap makhluk agar mengikut fitrah masing-masing, secara khusus kepada manusia supaya beribadat, berkhilafah (mentadbir atau berpolitik) dan menunaikan amanah dengan melaksanakan petunjuk-Nya di alam dunia dan kelak mereka akan dihisab di alam akhirat. Hal ini demikian kerana, sifat fitrah yang terdapat pada diri manusia itu berbeza dengan makhluk yang lain. Perkara ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿أَفَحَسِبۡتُمۡ أَنَّمَا خَلَقۡنَٰكُمۡ عَبَثٗا وَأَنَّكُمۡ إِلَيۡنَا لَا تُرۡجَعُونَ١١٥ فَتَعَٰلَى ٱللَّهُ ٱلۡمَلِكُ ٱلۡحَقُّۖ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ رَبُّ ٱلۡعَرۡشِ ٱلۡكَرِيمِ١١٦﴾

“‘Maka, adakah patut kalian menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kalian secara main-main sahaja (tanpa tujuan)?; dan kalian (pula menyangka) bahawa kalian tidak akan dikembalikan kepada Kami?’ (115); Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggi Allah, Tuhan yang sebenar; tiada Tuhan melainkan-Nya, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia. (116)” (Surah al-Mu’minun: 115-116)

Konsep beribadat menjadikan tiada sesiapa pun dalam kalangan manusia yang mampu mengatasi undang-undang Allah (syariat-Nya). Hal ini tidak seperti undang-undang ciptaan manusia sendiri yang boleh dipermainkan sewenang-wenangnya.

Khilafah itu ialah mentadbir urusan dunia (politik, ekonomi dan lain-lain) dengan amanah dalam melaksanakan petunjuk Allah SWT secara adil (beriman, berakhlak dan tidak fasiq). Ada perkara yang dinaskan secara qat‘i (kata putus) seperti perkara yang menyentuh soal rukun Islam dan rukun iman, aspek halal dan haram, janji akhirat dan lain-lain.

Malah, terdapat perkara yang bersifat konsep secara umum. Hal ini termasuklah juga perkara yang diizinkan berijtihad (menggunakan akal dan kajian sendiri) dengan syarat-syarat serta adab-adab yang terpelihara daripada salah laku dan penyelewengan.

Kewajipan berkhilafah (siasah atau politik) di alam bumi dikhususkan kepada manusia dengan perisytiharan Allah SWT kepada para malaikat sewaktu menciptakan manusia (Adam AS) sebagaimana firman-Nya:

﴿وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ٣٠﴾

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan (makhluk manusia) menjadi khalifah (yang mentadbir) di muka bumi.’ Mereka berkata: ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan berbuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?’ Tuhan berfirman: ‘Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kalian ketahui.’” (Surah al-Baqarah: 30)

Manusia dipilih melaksanakan peranan khilafah kerana fitrahnya yang berjasad, bernyawa, berakal dan mempunyai aspek rohani, berkeluarga dan bermasyarakat madani dengan segala keperluannya. Demikian itu sifat-sifat fitrah yang tiada pada makhluk yang lain.  

Adapun sifat kelemahan manusia pula dibantu dengan petunjuk daripada Allah SWT melalui wahyu serta teladan para rasul dan nabi yang dilantik dan ia berakhir dengan Nabi Muhammad SAW serta para pengikutnya yang setia bersama al-Quran (mukjizat ilmu). Firman Allah SWT:

﴿وَإِن كُنتُمۡ فِي رَيۡبٖ مِّمَّا نَزَّلۡنَا عَلَىٰ عَبۡدِنَا فَأۡتُواْ بِسُورَةٖ مِّن مِّثۡلِهِۦ وَٱدۡعُواْ شُهَدَآءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ٢٣ فَإِن لَّمۡ تَفۡعَلُواْ وَلَن تَفۡعَلُواْ فَٱتَّقُواْ ٱلنَّارَ ٱلَّتِي وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُۖ أُعِدَّتۡ لِلۡكَٰفِرِينَ٢٤﴾

“Dan jika kalian ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkan satu surah yang sebanding dengan al-Quran itu, dan panggillah orang-orang yang kalian percaya boleh menolong kalian selain daripada Allah, jika betul kalian orang-orang yang benar. (23); Maka, jika kalian tidak dapat menciptakannya, dan sudah tentu kalian tidak dapat melakukannya, maka peliharalah diri kalian dari api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir. (24)” (Surah al-Baqarah: 23-24)

Semua perkara tersebut telah ditegaskan oleh Rub‘i bin ‘Amir RA (wakil panglima Islam iaitu Sa‘ad bin Abi Waqqas RA) kepada Rustam (Panglima Parsi):

اللَّهُ ابْتَعَثْنَا لِنُخْرِجَ مَنْ شَاءَ مِنْ عِبَادَةِ الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللَّهِ، وَمِنْ ضِيقِ الدُّنْيَا إِلَى سِعَتِهَا، ‌وَمِنْ ‌جَوْرِ ‌الْأَدْيَانِ ‌إِلَى ‌عَدْلِ ‌الْإِسْلَامِ.

“Allah yang membangkitkan kami supaya menyelamatkan sesiapa yang mahu (tanpa paksaan) daripada memperhambakan diri kepada sesama hamba (manusia) kepada memperhambakan diri hanya kepada Allah (Tuhan yang sebenar), daripada wawasan dunia yang sempit kepada wawasan luasnya dari dunia sehingga akhirat, daripada kezaliman berbagai-bagai agama dan undang-undang kepada keadilan Islam.” (Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, jld. 7, ms. 40)

Inilah wawasan induk Islam yang besar dan luas ajarannya dalam membawa kesejahteraan dunia sehingga akhirat.

Kini, kita sedang menyaksikan kerosakan, keburukan dan kesusahan sejak di dunia sebelum akhirat, kerana manusia menolak petunjuk Allah SWT, sama ada dengan mengubah mahupun mencipta agama atau mencipta teori dan ideologi. Keadaan sedemikian juga berlaku apabila mereka meninggalkan petunjuk Allah SWT yang sempurna atau memisahkan urusan dunia daripada petunjuk-Nya.

Begitu juga, apabila mereka bersifat liberal sehingga terkeluar daripada fitrah manusia.  Maka, berlaku suatu keadaan yang telah diberikan amaran oleh Allah  SWT di alam dunia:

﴿ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ٤١﴾

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian daripada balasan (akibat) perbuatan buruk yang telah lakukan, supaya mereka agar kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah al-Rum: 41)

Berlakunya penyakit jasad dan akal, keluarga, masyarakat dan alam sekitar yang membawa kecelakaan hidup dalam segala aspek. Perkara ini berlaku disebabkan manusia meninggalkan petunjuk Allah Pencipta alam yang Maha Penyayang dan melimpah rahmat-Nya, tidak terbatas sifat adil-Nya dan kebijaksanaan-Nya yang tidak terhingga.

Semua keburukan itu berpunca daripada kesesatan aqidah sehingga mereka mula meninggalkan petunjuk Allah SWT dalam segala aspek kehidupan manusia. Seterusnya, diikuti dengan politik yang dicemari apabila berlaku salah guna kuasa dan salah mengurus.

Bahkan, berpunca daripada dasar ekonomi yang salah sehingga ia membebankan kehidupan dan menyusahkan semua pihak. Selain itu, wujud pentadbiran yang mempunyai rekod salah laku dan kebocoran rezeki yang menjadi kurniaan Allah SWT.

Kerosakan juga berlaku apabila kehakiman yang tidak sempurna keadilannya disebabkan kelemahan akal manusia dan undang-undang ciptaannya. Termasuklah juga kerana saksi yang fasiq dan sistem keadilan yang terpisah daripada agama.

Segalanya itu tidak sempurna tanpa aqidah yang disempurnakan dengan akhlak bersama ilmu dan akalnya yang mendapat hidayah. Pendidikan dan pembelajaran yang tidak memenuhi fitrah insaniah yang menghilangkan jati diri dari sudut kerukunan keluarga dan masyarakat yang bahagia serta alam sekitar yang sihat.

Allah SWT menjanjikan keberkatan yang membawa kesejahteraan dunia sehingga akhirat, sekiranya manusia itu beriman dan bertaqwa. Hal ini disebutkan oleh firman-Nya:

﴿وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ٩٦ أَفَأَمِنَ أَهۡلُ ٱلۡقُرَىٰٓ أَن يَأۡتِيَهُم بَأۡسُنَا بَيَٰتٗا وَهُمۡ نَآئِمُونَ٩٧ أَوَ أَمِنَ أَهۡلُ ٱلۡقُرَىٰٓ أَن يَأۡتِيَهُم بَأۡسُنَا ضُحٗى وَهُمۡ يَلۡعَبُونَ٩٨ أَفَأَمِنُواْ مَكۡرَ ٱللَّهِۚ فَلَا يَأۡمَنُ مَكۡرَ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ٩٩﴾

“Dan (Tuhan berfirman lagi): ‘Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-ruah berkatnya, dari langit dan bumi. Akan tetapi, mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), lalu Kami timpakan ke atas mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. (96); Patutkah penduduk negeri itu (merasa sedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? (97); Atau patutkah penduduk negeri itu (merasa sedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main? (98); Patutkah mereka (bersuka ria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diaturkan oleh Allah? Kerana sebenarnya tiada yang merasa aman daripada rancangan buruk (balasan azab) yang diaturkan oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi.’ (99)” (Surah al-A‘raf: 96-99)

Keberkatan itu ialah kebaikan yang membawa kebahagiaan dan kesejahteraan dunia serta berwawasan jauh sehingga Hari Akhirat yang kekal abadi. Sebaliknya, perkara yang berlawanan dengan keberkatan itu pula berupa keburukan dan kecelakaan yang boleh datang bila-bila masa sahaja dengan mudah di alam dunia.

Keadaan sedemikian berlaku melalui penyalahgunaan pemberian Allah SWT dalam kehidupan dunia sama ada dari segi ilmu, harta, pangkat, kesihatan dan lain-lain yang tidak mendatangkan faedah, apabila ia disalah ambil atau disalah guna mahupun melampaui batas. Firman Allah:

﴿وَإِذَآ أَرَدۡنَآ أَن نُّهۡلِكَ قَرۡيَةً أَمَرۡنَا مُتۡرَفِيهَا فَفَسَقُواْ فِيهَا فَحَقَّ عَلَيۡهَا ٱلۡقَوۡلُ فَدَمَّرۡنَٰهَا تَدۡمِيرٗا١٦﴾

“Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri itu, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.” (Surah al-Isra’: 16)

Kebaikan bagi diri manusia apabila dibangunkan dirinya atau keperibadiannya dengan iman, akhlak mulia dan ilmu yang bermanfaat. Semua perkara itu akan membawa kepada sifat taqwa yang mewujudkan keluarga yang selamat, masyarakat yang baik dan negara yang bahagia.

Semuanya dihasilkan oleh sistem pendidikan yang memenuhi keperluan ciri-ciri fitrah manusiawi, sehinggakan dapat mencipta para pemimpin yang benar-benar berintegriti dengan iman, akhlak dan ilmu. Lantas, dapat melaksanakan politik yang berpandukan hidayah bukan jibayah, ekonomi yang halal, adil dan berkat, serta masyarakat yang benar-benar stabil apabila diuruskan oleh negara yang mengikut acuan Allah SWT. Perkara ini dijelaskan oleh firman-Nya:

﴿ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ٤١﴾

“(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah jua dikembalikan segala urusan.” (Surah al-Hajj: 41)

Dengan mendirikan solat akan menanam integriti dalam peribadi setiap pemimpin dan rakyat yang berasaskan aqidah, akhlak dan taqwa kerana sentiasa memelihara hubungannya dengan Allah SWT.

Bukan sahaja ketika mendirikan sembahyang, bahkan selepas itu apabila melakukan kegiatan duniawi, kerana sembahyangnya berikrar Tauhid Uluhiyyah (pengabdian diri kepada Allah) dan Tauhid Rububiyyah (mematuhi syariat Allah). Sehinggakan, melahirkan keikhlasan kerana Allah dalam semua amalan.

Sembahyangnya juga mencegah kemungkaran diri dalam segala urusan duniawinya sebagaimana firman Allah SWT:

﴿ٱتۡلُ مَآ أُوحِيَ إِلَيۡكَ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِۗ وَلَذِكۡرُ ٱللَّهِ أَكۡبَرُۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ مَا تَصۡنَعُونَ٤٥﴾

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu, iaitu al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada (perbuatan) yang keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (keutamaannya daripada ibadat yang lain); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kalian kerjakan.” (Surah al-‘Ankabut: 45)

Zakat ialah petunjuk dari sudut pelaksanaan ekonomi yang adil bercirikan wasatiyyah antara sifat ekstrem fahaman sosialisme dengan liberal kapitalisme yang sedang merudum kedua-duanya.

Amar Ma‘ruf ialah konsep negara berkebajikan yang bersifat holistik.

Nahi Munkar pula ialah kehebatan undang-undang yang adil mendidik rakyat bukan mendera, menjadikan keamanan kepada masyarakat dan negara.

Akhirnya, menetapkan wawasan yang menginginkan kejayaan di dunia dan akhirat. Seterusnya, dapat membina sebuah negara yang mencapai janji Allah SWT sebagaimana firman-Nya:

﴿وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡ‍ٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ٥٥﴾

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh antara kalian (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (daripada ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (Surah al-Nur: 55)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
 Bertarikh: 1 Safar 1444 / 29 Ogos 2022 – HARAKAHDAILY 29/8/2022