Bangi Selatan ‘tenggelam’ dilanda banjir kilat

Sebuah kereta ditenggelami banjir kilat di jalan raya di Bandar Seri Putra, Bangi Selatan, Kajang pada petang 29 Ogos 2022. (FOTO sumber Twitter Le'Teh Studio)
- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

KAJANG: Hujan lebat yang turun berterusan dipercayai telah menyebabkan berlakunya kejadian banjir kilat di beberapa kawasan di sekitar bahagian selatan Bangi petang tadi.

Menerusi perkongsian beberapa pengguna di media sosial, paras banjir kilat berkenaan dilihat naik secara mendadak dan telah melanda kawasan Bandar Seri Putra, Bandar Puteri dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

- Advertisement -

Gambar dan video yang dikongsikan melalui media sosial antaranya melalui Facebook Info Penduduk Bandar Seri Putra memperlihatkan keadaan jalan yang dinaiki air sehingga menyebabkan beberapa buah kenderaan terkandas akibat ditenggalami banjir.

Melalui perkongsian Twitter Le’Teh Studio pula yang berkongsi hantaran melalui Facebook berkata, bahawa suasana di Bandar Seri Putera dan KUIS normal pada jam 5 petang, namun menjelang jam 7 malam, Bandar Seri Putra dan KUIS dilimpahi banjir kilat yang diumpamakan sebagai ‘sudah jadi laut’.

Beberapa kenderaan ditenggelami banjir di kawasan penempatan penduduk di Bandar Seri Putra pada 29 Ogos 2022 (FOTO sumber Twitter Le’Teh Studio)

Sementara, perkhidmatan komuter menuju ke arah Seremban juga didakwa terpaksa dihentikan kerana banjir tersebut. Difahamkan berlaku gangguan tersebut melibatkan perkhidmatan komuter dari Stesen KL Sentral ke Sungai Gadut, Seremban ekoran banjir kilat di laluan komuter antara Stesen Bangi ke Stesen Batang Benar.

Dalam pada itu, Reaktor KUIS, Dato’ Dr Mohd Farid Ravi Abdullah menasihatkan pelajar dan kakitangan kolej berkenaan agar sentiasa berwaspada susulan banjir kilat yang melanda petang tadi

Kawasan sekitar sebuah pangsapuri di Bandar Seri Putra seumpama lautan selepas ditenggelami banjir pada 29 Ogos 2022 (FOTO sumber Twitter Le’Teh Studio)

“Saya menzahirkan rasa simpati dan mendoakan agar seluruh warga KUIS diberikan keselamatan daripada bencana ini.

“Saya turut berharap agar seluruh pelajar dan kakitangan bertenang serta sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya menerusi Facebook milik beliau.

Antara lokasi terjejas di kawasan KUIS termasuklah parkir bangunan pentadbiran, Masjid Al-Azhar, kediaman pelajar dan beberapa kawasan rendah.

Kawasan parkir Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) antara yang turut dilanda banjir kilat pada 29 Ogos 2022. (FOTO sumber Facebook KUIS)

Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Mohd Raidzoh Bukhari memberikan komen dalam Facebook HarakahDaily mendakwa bahawa kawasan yang terbabit dengan kejadian banjir berkenaan tiada ‘monsoon drain’ untuk mengalirkan air ke kolam tadahan atau ke sungai.

“Jumlah air yang banyak semasa hujan lebat, parit-parit kecil memang tak dapat menampung,” dakwanya lagi.

Terdahulu, pada 19 Disember 2021, kawasan perumahan Taman Impian Putra yang terletak dalam Bandar Seri Putra pernah ditenggalami banjir kilat. – HARAKAHDAILY 29/8/2022

- Advertisement -