Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN dan NORHANA MAT ZIN
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, menegaskan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan secara demokratik dan bukan menerusi kaedah ‘pintu belakang’ seperti dakwaan sesetengah pihak.
Sebaliknya, katanya kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah kerajaan yang gopoh serta ibarat mi segera dan banyak hal-hal mentah yang terpaksa dijatuhkan.
“Rakan-rakan dari Bersatu keluar dari Umno, keluar dari PH, bersama-sama parti lain seperti PAS, parti Sabah dan Sarawak, termasuk rakan-rakan Umno sendiri membentuk kerajaan baharu secara demokratik dan bukan melalui pintu belakang.
“Kerajaan PN demokratik melalui pengumpulan Ahli-Ahli Parlimen. Ini demokrasi. Kita mengambil alih kerajaan untuk mengukuhkan keadaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Konvensyen PN di MAEPS Serdang dekat sini, hari ini.
Abdul Hadi berkata, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang menjadi Perdana Menteri ketika itu menghadapi tugas yang sangat besar dan berat berikutan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, termasuk Malaysia.
“Banyak orang memperlekehkan PN dalam menghadapi wabak itu. Oleh kerana kita bersama dunia menghadapi tugas yang sangat besar kerana (pandemik itu memberi) kesan kepada ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, PN mewarisi peninggalan dan kelemahan Barisan Nasional (BN), ketidakmampuan PH, kelemahan akibat ketirisan, salah laku, bantuan yang tidak sampai kepada sasaran rakyat dan pelbagai perkara yang berlaku.
“Apabila PH mengambil alih (kerajaan), bercelaru. Sudah lah kerajaan mi segera tidak masak, berlaku krisis berebut hendak menjadi Perdana Menteri, nak jadi pemimpin menyebabkan alpa masalah-masalah yang hendak diambil alih.
“Kita mengambil alih dalam keadaan teratur. Tidak ada darah yang tumpah, tidak ada demonstrasi, tidak bergaduh antara rakyat dan polis. Perubahan yang sangat hebat yang kita lakukan,” katanya.
Katanya, PN menghadapi masalah dalaman apabila ada rakan-rakan yang membuat hal dalam kerajaan di samping gangguan daripada pembangkang.
Namun, katanya kepimpinan PN dapat diteruskan apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin, sanggup meletak jawatan demi menjaga perpaduan PN.
“Walaupun tidak ada manifesto dan tidak ada janji, kita meneruskan usaha untuk menyelamatkan rakyat, selesaikan masalah ketirisan, salah urus dan salah laku. Masalah yang tidak sampai kepada sasaran, kita selesaikan dalam masa yang singkat.
“Dalam keadaan banyak gangguan dari luar dan dalam, bahtera PN dapat diteruskan. Kita dapat teruskan kerajaan hingga hari ini. Namun oleh kerana, kerajaan yang tidak kukuh, kita perlukan suatu kerajaan yang kuat, gagah dan teguh,” katanya.
Sehubungan untuk menghadapi PRU-15, katanya PN perlu menolak peristiwa lama dan mereka yang terlibat dengan peristiwa lama juga perlu ditolak.
“Menegakkan intergriti sebagai teras kepada kerajaan sangat penting. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya kita dapat membuktikan intergriti melalui menteri-menteri dalam Kabinet, melalui kerajaan negeri yang kita perintah. Sekurang-kurangnya dalam masa yang singkat, mudah-mudahan rakyat dapat melihat.
“Mari kita teruskan perjuangan di atas asas Perlembagaan yang ada. Islam agama Persekutuan, hak penganut agama lain, hak Bumiputera, semua bangsa yang miskin tidak ada beza dan tidak diabaikan, tidak ada ketirisan, membina intergriti dan menolak warisan kelemahan yang lama. Terpulang kepada rakyat, yang penting kita menang PRU-15,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/8/22