Wartawan Harakah terima Anugerah Prihatin Media UniMAP

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU
: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganjurkan Gala Gemilang Media (GGM) khas bagi menghargai sumbangan dan sokongan pengamal media di Perlis dan Kedah.

Naib Canselornya, Prof Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli berkata, GGM sebelum ini dikenali sebagai Malam Mesra Media direalisasikan khas kepada mereka yang memainkan peranan besar kepada universiti tersebut.

“Hasilnya nama UniMAP sentiasa terpampang di dada akhbar, internet mahupun di corong radio dan skrin televisyen,” katanya ketika berucap di GGM 2022 di Dewan Senat, Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Pauh Putra, malam tadi.

Menurutnya jika tiada aral, GGM akan diadakan sebagai program tahunan sepertimana program-program tahunan UniMAP yang lain supaya sinergi antara kedua-dua pihak terus segar.

- Advertisement -

Sempena GGM kali ini, terdapat tujuh anugerah diberikan kepada rakan-rakan media yang menghantar penyertaan sebelum 17 Ogos lalu.

Antaranya pemenang bagi Anugerah Liputan Berita Terbaik Bahasa Melayu 2021 dimenangi Aizat Sharif dari Berita Harian dengan tajuk “UniMAP azam jadi Universiti Awam (UA) pilihan”.

Anugerah Liputan Berita Terbaik Bahasa Cina 2021 pula disandang Gee Hui Lan dari Kwong Wah Yit Poh bertajuk “UniMAP lancar siri pendaftaran Khas UR1-UR9999.

Manakala Anugerah Liputan Berita TV Terbaik 2021 pula dimenangi Amira Suriani Che Mohamad dan Mohd Harith Rosli dari Didik TV, Media Prima bertajuk “UniMAP benar pelajar guna makmal komputer alternatif jalani PDPR.

Bagi Anugerah Liputan Rencana Terbaik 2021 pula diraih Chong Keat Yin dari Sin Chew Daily bertajuk “UniMAP menyenaraikan 10 indikator bagi meningkatkan reputasi universiti”.

Anugerah Khas Liputan Terbanyak 2021 pula dimenangi RTM.

Sebagai tanda keperihatinan UniMAP juga turut mengurniakan Anugerah Prihatin Media kepada wartawan Harakah, Noor Sara Mashitoh Mohamad Hanif yang kehilangan suaminya pada Oktober lepas.

Penerima setiap kategori membawa pulang wang tunai RM500 serta sijil penyertaan.

GGM 2022 tahun ini memilih tema filem Mat Kilau di mana semua tetamu berpakaian pahlawan bagi lelaki dan srikandi untuk wanita.

Wartawan Sholina Osman dari Suara Merdeka pula dipilih pemenang kategori pakaian srikandi, manakala pakaian pahlawan oleh Syed Azlan Sayed Hizar dari Kosmo, masing-masing menerima hadiah tajaan Habib Jewel berupa “Gold Wafer”. – HARAKAHDAILY 26/8/2022

- Advertisement -