LGBTQ+ bakal undang bala, musibah buat manusia

Ahmad Nawfal Mahfodz
- Advertisement -

Oleh: NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan Singapura yang bakal membenarkan dari segi undang-undang perlakuan seks sesama lelaki di negara itu bakal mengundang bala dan musibah kepada umat manusia di seluruh dunia.

Itu reaksi Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Mahfodz terhadap pengumuman Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, bahawa negara itu akan memansuhkan undang-undang era penjajah iaitu Seksyen 377A Kanun Keseksaan Singapura, yang sekali gus tidak lagi meletakkan hubungan seks sesama lelaki sebagai suatu jenayah.

- Advertisement -

“Walaupun ia melibatkan negara luar (Singapura), ketahuilah dunia tanpa sempadan hari ini akan menyebabkan perkara ini seperti wabak yang boleh bertebaran dan tidak pelik untuk ia masuk ke negara kita,” tegasnya.  

Beliau turut memberitahu bahawa hubungan luar tabii yang bakal dibenarkan oleh Republik Singapura adalah satu bala dan bahana bila mana negara tidak lagi memuliakan agama dan di mana agama tidak lagi digunakan untuk menjaga negara.

Tindakan kerajaan Singapura yang bakal membenarkan perlakuan seks sesama lelaki di Republik itu lebih kepada memenuhi tuntutan nafsu manusia di dunia semata-mata.  

Katanya lagi, mengikut hukum agama, Allah SWT menjadikan manusia itu berpasang-pasangan, lelaki dengan perempuan dengan jalan perkahwinan yang halal mengikut syarak supaya manusia boleh memperoleh zuriat, memelihara keturunan, sekali gus menjaga akhlak supaya tidak dicemari dengan perbuatan tidak sepatutnya.

Dari sudut perlembagaan dan bernegara, kita seharusnya bersyukur kerana berada di negara Malaysia yang memelihara agama Islam sebagai agama Persekutuan.

“Buat pengetahuan semua juga, kita sedia maklum bahawa di negara kita, Sultan merupakan ketua Agama Islam di negeri masing-masing sementara Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong menjadi ketua Agama Islam bagi negeri-negeri yang tidak beraja,” jelas beliau.

Namun begitu, Nawfal turut memberikan pandangan dari sudut politik, yang mana perlunya seluruh rakyat Malaysia faham dan sedar betapa pentingnya peranan politik diberikan kepada orang yang sepatutnya dan sewajarnya untuk mencorakkan negara ini. 

Katanya lagi, kalau diberikan kepada orang atau komponen yang salah laku, perasuah dan sebagainya, itulah yang akan memungkinkan berlaku kemungkaran-kemungkaran dan sebagainya.

“Begitu juga, bila mana kita memilih parti, komponen yang sentiasa menitikberatkan soal kesejahteraan umat, keselamatan warga negara dan keselamatan ideologi terutamanya kita tekankan bahawa itulah yang PAS nak bawakan di dalam negara ini iaitu negara yang sejahtera dan negara yang baik. 

“Inilah peranan PAS berada dalam lapangan politik hari ini demi memastikan negara kita terpelihara daripada gejala-gejala yang tidak sihat ini,” kata beliau. 

Menurutnya apa yang amat penting adalah untuk sama-sama berperanan dalam politik tanah air.

“Terutamanya dijauhkan dengan apa yang telah berlaku sepanjang 22 bulan, pemerintahan Parti Pakatan Harapan (PH) yang mana kita katakan tidak pelik untuk mereka merungkaikan perkara seperti ini (isu menghalalkan hubungan gay).

“Jadi, kita perlu mengambil iktibar, dengan apa yang berlaku ini mudah-mudahan kemurkaan ini dijauhkan oleh Allah kepada kita sebagai umatnya. 

“Alhamdulillah, kita telah berjaya selamatkan perkara ini daripada berlaku dengan terbentuknya kerajaan hari ini dengan kerjasama politik yang baik dalam Perikatan Nasional (PN) khususnya,” ujarnya.

Namun demikian, beliau memohon dan mengajak semua pihak agar berdoa bersungguh-sungguh agar perkara seperti yang bakal dilaksanakan di Singapura itu tidak memasuki Makaysia, baik secara fizikal (perbuatan) atau ideologinya. 

“Perkara ini (menghalalkan hubungan gay) perlu dijauhkan sama sekali oleh negara kita agar tidak merosakan umat Islam di Malaysia mahupun di seluruh dunia,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 25/08/2022

- Advertisement -