Konsep UMI di Kelantan dan Ministerial Code di UK: Satu perbandingan

- Advertisement -

QUIS custodiet Ipsos custodes’, satu maxim Latin yang bermaksud ‘siapa penjaga kepada mereka yang menjaga’. 

Jika pemimpin negara itu sepatutnya menjaga negara, siapa pula yang menjaga pemimpin negara dari merosakkan negara? Persoalan penting untuk kita semua.

Kelantan dan integriti, dua perkara yang sinonim antara satu sama lain. Hatta musuh politik PAS, benci macam mana pun mereka kepada PAS, terpaksa mengakui Kerajaan PAS Kelantan adalah kerajaan yang dikenali dengan integriti.

Kesungguhan PAS Kelantan terus dibuktikan melalui Pelan Antirasuah Kelantan (KACP) 2020-2024. 

Pelan ini dibina atas satu tapak yang amat kukuh, iaitu konsep ‘Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan (UMI). 

Menarik apabila kita cuba mencari jawapan kepada persoalan di atas, ianya terkandung dalam konsep UMI ini.

Ubudiyyah itu bermakna setiap individu wajib sedar, kita hanyalah hamba, dan Allah itu Tuhan.

Mas’uliyyah itu bermakna setiap individu perlu sedar, tanggungjawab di dunia, pasti akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak.

Itqan itu bermakna setiap individu perlu sedar, ketekunan dalam menjalankan amanah, bakal menjadi jawapan di akhirat kelak.

Maka jawapannya, penjaga kepada mereka yang menjaga, adalah Allah S.W.T. Teringat pesan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dahulu, hanya taqwa kepada Allah mampu menyelesaikan masalah rasuah.

Kerana jika takut kepada manusia, akan sentiasa ada manusia yang lebih tinggi kedudukannya, dan akhirnya manusia yang paling tinggi kedudukannya akan merasakan dia tidak perlu takut kepada sesiapa. Taqwa itu kuncinya.

Di United Kingdom, sebuah negara yang maju, mereka ada Ministerial Code untuk menjaga tahap integriti. Tetapi pada 16 Jun 2022, penasihat etika kepada Perdana Menteri UK, Lord Christopher Geidt meletakkan jawatan kerana mendakwa tidak dapat menerima tindakan Perdana Menteri yang seakan sengaja ingin melanggar ‘Ministerial Code’.

Dan lebih malang lagi, perkara itu hanya menjadi sensasi buat seketika, lalu dilupakan oleh sekalian pemimpin termasuk rakyat. 

Begitulah hakikat manusia, selamanya tidak akan mampu untuk mencari solusi kepada masalah mereka sendiri.

Hatta negara yang maju seperti UK, yang mempunyai universiti tersohor dunia, ramai cerdik pandai, ekonomi yang kukuh, teknologi yang hebat, tetap buntu akhirnya. 

Menjadi bukti kepada kita, hanya dengan penghayatan kepada konsep Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan yang benar-benar akan menjaga pemimpin dan sekalian rakyatnya. 

Atas sebab-sebab beginilah, mengapa Kelantan itu ada izzah yang tersendiri. Sebuah negeri yang dikenali meletakkan Islam sebagai asasnya. Pemimpinnya pula, menjadikan taqwa sebagai kunci kepada pentadbiran negeri.

Maha Suci Allah, mengurniakan rakyat Kelantan dengan pemimpin-pemimpin negeri yang jujur dan amanah, tinggi integritinya. 

Bukanlah niat ingin mendabik dada, tetapi ingin mengajak umat seluruhnya, agar kembali kepada Islam. Sebagaimana kata-kata yang sering diulang oleh Presiden PAS, ‘Islam adalah solusi’.

MUHAMMAD NABIL ZULKIFLI
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 26/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -