Kelantan rintis aktiviti ekonomi Islam

- Advertisement -

APABILA disebut Kelantan merintis empayar perniagaan berorientasikan Islam, ia tidak dapat dinafikan lagi. Ia terbukti apabila sistem gadaian Islam secara komersial bermula di Kelantan pada 1992. Penggerak utamanya ialah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK). Dan pada 9 Jun lepas PKINK menganjurkan Malam Apresiasi Kumpulan PKINK & Pidato Ekonomi Sunnah ‘Penggerak Pembangunan Ummah’. Ekonomi Sunnah dikupas panjang lebar Utusan Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Bagi menyorot kembali perkembangan itu ikuti temubual LANJUSOH dan ARIF ISMAIL bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK Ab Aziz Yunus ketika ditemui baru-baru ini.

- Advertisement -

Harakah: Adakah hanya PKINK antara Perbadanan Kemajuan Iktisad di negara ini yang melaksanakan syariah compliance?

Ab Aziz: Asasnya kerajaan Kelantan adalah melaksanakan dasar Membangun Bersama Islam sejak 1990 sehingga sekarang. Jadi PKINK sebagai agensi di bawah kerajaan negeri semua aktiviti ekonomi akan dipastikan patuh syariah. Isunya sekarang siapa yang mengesahkan PKINK sebagai patuh syariah atau tidak.
Misalnya kalau ia berkaitan dengan akaun tentunya auditor luar yang akan mengesahkan betul atau tidak. Tetapi dalam konteks PKINK siapa yang boleh mengesahkan kita patuh syariah atau tidak? Jadi bertolak dari situ kita cadangkan kepada Menteri Besar sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah PKINK (dan telah dipersetujui) untuk mewujudkan Jawatankuasa Majlis Penasihat Syariah PKINK pada tahun 2018.
Jawatankuasa ini dipengerusikan Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru, Dato’ Dr Johari Mat. Ahli-ahli lain iaitu Mudir Pondok Sungai Durian Dato’ Dr Abdul Basit Abdul Rahman, Mufti Wilayah Persekutuan Dr Lokman Abdullah, pakar kewangan Islam, iaitu Prof Dr Asyraf Mohd Hashim dan Ustaz Nazri Chik. Majlis Penasihat Syariah PKINK dirujuk dalam setiap aspek. Ia juga meliputi aktiviti perniagaan, pengurusan operasi perniagaan, dokumen perjanjian dengan mana-mana pihak, perniagaan anak syarikat PKINK dan sebagainya.
Kita rujuk kepada jawatankuasa terbabit sekiranya berlaku sesuatu kekaburan. Misalnya, mengenai deposit komitmen yang dibayar syarikat luar yang mengadakan kerjasama dengan PKINK. Kita hendak tahu sama ada deposit tersebut boleh kita terima atau tidak.
Begitu juga perniagaan pajak gadai Islam Ar Rahn kita gunakan konsep tawaruk yang baharu diisytiharkan Bank Negara. Tawaruk bermaksud sesiapa yang pergi bergadai ia melibatkan seperti urusniaga komoditi di Security Commission. Ia melibatkan unsur beli dan jual komoditi. Perkara itu juga kita angkat kepada Jawatankuasa Majlis Syariah PKINK dan telah disahkan sebagai patuh syariah.

Ini bermakna perkara itu diperakui di peringkat Persekutuan?

Malah berdasar maklumat, ada pandangan yang mengatakan PKINK merupakan perbadanan iktisad yang pertama melaksanakan elemen patuh syariah, wallaua’lam.

Adakah Jawatankuasa Majlis Syariah PKINK bersidang secara berkala?

Mereka mengadakan mesyuarat mengikut keperluan dan biasanya tidak kurang tiga kali setahun mesyuarat diadakan. Pelantikan panel diperbaharuai setiap dua tahun. Kita rasa kerajaan pun gembira dengan kepakaran panel yang ada sekarang. Kealiman dan kepakaran mereka tidak dapat dinafikan lagi. PKINK sendiri pun banyak belajar benda baru daripada jawatankuasa tersebut. Islam is way of life dan kita di PKINK berusaha sedaya upaya “mengislamkan” aktiviti ekonomi.

Mungkinkah pelbagai isu yang dibincang Jawatankuasa Syariah tersebut akan dibukukan bagi tatapan orang ramai?

Buku soalan dan jawapan oleh jawatankuasa terbabit InsyaAllah akan diusahakan untuk dibukukan bagi berkongsi maklumat dengan orang ramai.

Adakah PKINK akan mengetengah elemen patuh syariah ke peringkat lebih luas?

Kita sepatutnya menganjurkan satu seminar bagi memperomosikan idea dan gagasan ini pada tahun 2020, namun kebetulan wabak Covid-19 melanda negara. Tahun ini insya-Allah kita akan rancang semula. Alhamdulillah, kita telah anjurkan satu `dinner talk’ dan diskusi berkaitan ekonomi sunnah pada 19 Jun 2022 yang lalu.
Alhamdulillah Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, seorang ulama’ muktabar di abad ini telah menyampaikan pidato Pidato Ekonomi Sunnah, Penggerak Pembangunan Ekonomi Ummah’. Ianya dihadiri lebih dari 800 orang secara fizikal dan lebih dari 10,000 menyaksikan secara maya.
Program ini akan diteruskan dan kita akan undang pakar dalam bidang pemikiran ekonomi Islam dan tokoh yang berpengaruh.
Antara model perniagaan yang berjaya kita ketengahkan iaitu Ar Rahn. Sistem pajak gadai itu sebenarnya kita sebagai perintis di Malaysia pada 1992. Selepas itu baru berkembang Ar Rahnu yang dikendalikan bank dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Ar Rahn sehingga sekarang berjaya melebarkan perniagaan ke seluruh negara termasuk Sabah. Mungkinkah akan melangkah lebih jauh?

Sebahagian besar daripada aktiviti ekonomi rakyat kita telah buat. Kita ada projek perumahan berdasarkan polisi teras Kerajaan Kelantan iaitu projek rumah mampu milik dilengkapi tiga bilik. Kita juga mempelopori perniagaan pajak gadai Islam, perladangan dan perlombongan.
Ar Rahn sekarang kita banyak bergantung kepada bank bagi mendapatkan modal. Kini kita sedang meneroka kaedah Islamik lain dari segi pembiayaan, termasuklah `Sukuk’.
Buat masa ini, program Ar Rahn ini sedang membiayai lebih RM340 juta kepada rakyat yang datang bergadai di seluruh cawangan. Perkhidmatan yang kita sediakan di Ar Rahn memberi kesan besar kepada rakyat.
Dengan nilaian RM340 juta sebenarnya mampu menggandakan kesan kepada ekonomi RM3 bilion dengan mengambil kira kitaran dan kesan pengganda (multiplier effect) kepada ekonomi yang berlaku dalam masyarakat.
Selepas itu kita akan tengok juga formula sama iaitu sukuk kepada syarikat anak yang lain Jadi sekarang kita menggunapakai semua sistem kaedah pembiayaan Islam untuk membantu anak syarikat PKINK.
Ini termasuk yang dikenali sebagai Islamic Preference Shares. Ini merupakan perkara baharu yang akan diperkenalkan kepada Kumpulan Perladangan PKINK. – HARAKAHDAILY 26/8/2022

- Advertisement -