AS gantung 26 penerbangan China

- Advertisement -

Susunan: NORHANA MAT ZIN

WASHINGTON: Amerika Syarikat bakal menangguhkan sejumlah 26 penerbangan ke China dari negaranya sebagai tindak balas terhadap keputusan yang dibuat oleh kerajaan China yang sebelum ini telah menangguhkan beberapa penerbangan terhadap syarikat penerbangan AS berikutan penularan wabak Covid-19.

Keputusan yang dibuat oleh Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat (USDOT) pada Khamis (25 Ogos)  itu akan menjejaskan empat syarikat penerbangan dari China iaitu Xiamen, Air China, China Southern Airlines dan China Eastern Airlines yang dijangka bermula pada 5  hingga 28 September depan, lapor CNA.  

- Advertisement -

Tindakan ini merupakan tindak balas ke atas pembatalan terhadap 26 penerbangan termasuk American Airlines, Delta Air Lines dan United Airlines sebelum ini.

Penggantungan itu termasuk juga bagi 19 penerbangan ke China dari Los Angeles dan 7 lagi merupakan penerbangan China Eastern dari New York.

Sehubungan itu, jurucakap Kedutaan China di Washington, Liu Pengyu dalam kenyataannya berkata bahawa tindakan USDOT itu sangat tidak bertanggungjawab kerana menggantung penerbangan syarikat penerbangan China tanpa alasan.

Menurut USDOT, setakat 7 Ogos lalu pihak berkuasa China telah menyemak semula polisi mereka.

“Sekiranya jumlah penumpang dalam penerbangan ke China yang disahkan positif Covid-19 mencapai 4 peratus daripada jumlah keseluruhan, satu penerbangan akan digantung. Jika ia mencapai 8 peratus, maka dua penerbangan akan digantung,” ujar kenyataan itu.

USDOT berkata Washington sudah  berulang kali membangkitkan bantahan kepada Beijing kerana meletakkan tanggungjawab yang tidak wajar ke atas syarikat penerbangan.

Beijing dan Washington dilihat bersaing dalam perkhidmatan udara sejak bermulanya wabak Covid-19. 

Terdahulu, pada Januari lepas, USDOT telah menggantung 44 penerbangan ke China dari Amerika Syarikat yang melibatkan empat syarikat penerbangan China sebagai tindak balas kepada keputusan China menggantung 44 penerbangan oleh syarikat penerbangan Amerika Syarikat.

Pada Ogos 2021, USDOT telah mengehadkan empat penerbangan daripada syarikat penerbangan China kepada 40 peratus kapasiti penumpang selama empat minggu selepas Beijing mengenakan had yang sama pada empat penerbangan United Airlines.

Sebelum pembatalan baru-baru ini, tiga syarikat penerbangan Amerika Syarikat dan empat syarikat penerbangan China mengendalikan kira-kira 20 penerbangan seminggu antara negara-negara itu. 

Jumlah itu jauh sekali berbeza dengan sebelum berlakunya pandemik Covid-19, penerbangan dapat dilakukan lebih 100 kali seminggu. – HARAKAHDAILY 26/08/2022

- Advertisement -