Usul Dewan Ulamak tuntut SPR tapis calon PRU

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Usul untuk menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menapis hanya calon bersih pada Pilihan Raya Umum (PRU) antara yang bakal dikemukakan semasa Muktamar PAS Kali Ke-68 nanti.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Senator Dato’ Ahmad Yahaya berkata walaupun usul masih belum diputuskan, namun calon PRU bersih antara yang dihasrat untuk dikemukakan nanti.

“Kita hendak mengangkat satu usul untuk memastikan calon pilihan raya berwibawa dan berintegriti. Sebarang calon yang sedang berdepan tuduhan rasuah serta bersalah tidak layak untuk menjadi calon.

“Termasuk orang yang mempertikai Perlembagaan, mengeluarkan ucapan yang mencetuskan permusuhan, kaum dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily selepas selesai menghadiri Kempen PAS Pilihanku 4.0 Wilayah Persekutuan, di sini, baru-baru ini.

Menurut Ahmad, desakan itu dibuat demi untuk melihat pemimpin Malaysia selepas PRU ke-15 adalah pemimpin yang bersih dan sentiasa memikirkan kebajikan rakyat.

Beliau kecewa, negara menghabiskan banyak masa dan wang kepada perkara yang tidak diperlukan, malah para wartawan sibuk dengan kes mahkamah melibatkan pimpinan negara.

Manakala katanya, rakyat pula setiap hari disajikan dengan berita pemimpin korup.

“Kita tidak mahu pimpinan kita sebegitu, kita mahu pemimpin menghabiskan masa mensejahterakan dan menjaga kepentingan rakyat.

“Kita tidak mahu pemimpin yang rakyat pula terpaksa fikirkan dia, sepatutnya pemimpin yang fikirkan rakyat, ini rakyat yang fikirkan dia,” katanya.

Tambah beliau, seruan itu juga akan dibuat kepada parti-parti politik tidak kira parti politik lama atau baharu, masing-masing perlu menampilkan calon terbaik.

Hasil daripada itu katanya, Malaysia berpotensi untuk membina suasana supaya rakyat memilih pemimpin yang terbaik semasa pilihan raya. – HARAKAHDAILY 25/8/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -