Jangan dengar cakap doula

- Advertisement -

MERAWAT ibu hamil yang berisiko tinggi memerlukan ilmu kemahiran dan pengalaman. Tidak boleh hanya berteori dengan belajar melalui YouTube, kemudian sudah pandai untuk melawan nasihat pakar dalam bidangnya.

Inilah realiti yang berlaku di dalam kalangan segelintir pembantu ibu hamil atau dinamakan doula dalam negara kita. Mereka terus memberikan ajaran-ajaran yang bertentangan dengan nasihat yang diberikan oleh doktor pakar yang sudah tentu mempunyai ilmu yang khusus dan berkemahiran serta berpengalaman dalam menguruskan kes-kes yang berisiko tinggi. 

Mereka mengambil peluang di atas kelompongan akta yang sedia ada di dalam negara kita dalam menguruskan ibu hamil yang berisiko tinggi sehingga mungkin boleh menyebabkan kematian kepada si ibu ataupun si bayi yang bakal dilahirkan nanti. 

Adakah kita tidak belajar dari beberapa kes viral yang telah pun meragut nyawa si ibu serta si bayi akibat tidak mendengar nasihat dan mengambil keputusan sendiri untuk bersalin walaupun mereka itu termasuk dalam kategori kes berisiko tinggi?

Nasihat saya, tidak perlu pun menggunakan doula di dalam urusan si ibu semasa hamil, bersalin dan semasa pantang di dalam negara kita. Apa asas penyataan saya ini?

1. Doula bukannya satu bidang yang terlatih pun bahkan mereka hanya belajar melalui YouTube dan tidak pernah ada satu badan akreditasi ataupun badan khusus yang menyelia kegiatan mereka. Ini berbeza dengan jururawat atau bidan yang berada dalam sistem kesihatan. Walaupun mereka mengaku bahawa mereka bukannya setaraf dengan bidan ataupun jururawat, mereka hanya peneman kepada ibu-ibu hamil tetapi tindak-tanduk mereka itu telah menjangkaui batas yang sepatutnya melebihi ahli-ahli dalam bidang sakit puan.

2. Doula hanya bercakap berdasarkan kepada andaian yang mereka dapat dari media sosial atau internet sahaja. Mereka tidak ada satu pembelajaran kemahiran khusus yang melatih mereka untuk menjadi mahir dalam bidang pendidikan kesihatan. Bahkan kebanyakan dari pengajaran yang mereka ajar kepada anak didik mereka itu banyak yang menyeleweng dari sudut pengurusan kesihatan yang sebenarnya. Mereka hanya berasaskan kepada sentimen dan ikut rasa sedap hati atas pegangan yang mereka percaya sebelum ini. Antaranya juga mereka adalah anti-vaksin, serta banyak menolak polisi-polisi kesihatan yang terdapat di dalam negara kita.

3. Ajaran yang mereka bawa hanya berkisar di sekitar kaedah bersalin yang tidak bertepatan dengan situasi seseorang ibu hamil. Malah pengurusan khusus semasa hamil, sewaktu bersalin dan selepas bersalin mereka tidak pun tahu dengan jelas bagaimana untuk menghadapinya. Contohnya bagi ibu hamil yang mengalami perdarahan, ibu bersalin anak songsang kaki, lekat uri selepas bersalin dan seumpamanya, mereka tidak dilatih untuk bertindak dalam situasi-situasi cemas sedemikian. Kalau sekadar teori dan berandaian, mungkin cukup sekadar berada di sisi si ibu. Tetapi pengalaman serta kemahiran itu penting dalam menghadapi situasi yang sedemikian. Pengalaman dan kemahiran sudah pasti wajib diperolehi dalam satu kurikulum yang khusus dan dikawal-selia.

4. Begitu juga dengan sistem sokongan semasa proses bersalin dan selepasnya. Jika mengambil keputusan untuk bersalin di rumah tanpa kehadiran anggota kesihatan yang terlatih, bagaimana mereka ingin memantau keadaan si ibu, tekanan darah mereka, rentak jantung bayi dan banyak lagi pemantauan. Jika bayi lahir tidak bernafas, apakah alat bantuan pernafasan yang ada? Adakah mereka sudah bersedia dengan sistem sokongan samada kehadiran anggota mahir ataupun alat-alat bantuan dalam kesihatan?

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 25/8/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -