India minta FIFA batalkan penggantungan

- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) meminta badan induk dunia, FIFA menarik balik penggantungan yang dikenakan terhadap AIFF selepas mandat jawatankuasa yang mahkamah negara itu lantik untuk mentadbir sukan itu, ditamatkan minggu ini.

Mahkamah tertinggi India membubarkan AIFF pada Mei lalu dan melantik jawatankuasa tiga anggota untuk mentadbir sukan itu, meminda perlembagaan badan itu dan mengendalikan pemilihan yang tergantung selama 18 bulan.

- Advertisement -

Ini menyebabkan FIFA mengharamkan AIFF bulan ini kerana faktor “pengaruh tidak wajar pihak ketiga” dan menyatakan bahawa penggantungan itu hanya akan ditarik balik sebaik badan kebangsaan itu mengawal sepenuhnya urusan hariannya.

Isnin lalu, Mahkamah Agung India memutuskan bahawa mandat jawatankuasa itu telah ditamatkan dan pengurusan harian hal ehwal bola sepak negara itu akan diserahkan semula kepada AIFF.

Dalam surat yang dihantar kepada Setiausaha Agung FIFA, Fatma Samoura, pada hari Selasa, AIFF memaklumkan badan induk dunia mengenai keputusan mahkamah itu.

“Kami meminta FIFA… untuk mempertimbangkan semula keputusan mereka menggantung AlFF,” pemangku Setiausaha Agung AIFF, Sunando Dhar, menulis dalam surat itu.

“Memandangkan syarat-syarat yang ditetapkan dalam surat anda untuk menarik balik pendirian penggantungan itu dipenuhi, kami meminta agar perintah itu diluluskan secepat mungkin agar AIFF dapat meneruskan kelancaran bola sepak di India.”

India dijadualkan menjadi tuan rumah Piala Dunia Wanita Bawah 17 Tahun antara 11 hingga 30 Oktober akan datang dan hak penganjuran itu terancam akibat penggantungan FIFA.

Pemilihan AIFF yang sebelum ini diketuai oleh Ahli Majlis FIFA, Praful Patel, sepatutnya diadakan pada Disember 2020, tetapi ditangguhkan kerana kebuntuan berhubung pindaan perlembagaan. Pemilihan itu dijadualkan diadakan awal bulan depan. – REUTERS

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!