Hubungan harmoni rakyat: Negara teguh

- Advertisement -

Oleh ZULHAIDI MANSOR

KUALA LUMPUR: Setiap rakyat Malaysia semestinya mempunyai semangat cinta dan bangga kepada tanah air berdaulat ini yang penuh dengan keamanan dan  keharmonian dengan kejayaan dikecapi sejak zaman merdeka lagi.

Tinjauan HarakahDaily sekitar ibu negara pada hari ini bersempena Hari Kemerdekaan 2022 bertemakan Keluarga Malaysia Teguh Bersama mendapati, masyarakat berbilang kaum yang ditemu bual meluahkan harapan dan pandangan menunjukkan rasa bangga dan terharu  bergelar sebahagian daripada Keluarga Malaysia. 

- Advertisement -

Pekerja swasta, Hafiz Saadin, 30, meluahkan rasa syukur ke hadrat Ilahi dilahirkan di bumi bertuah ini yang bebas daripada sebarang peperangan dan sebarang malapetaka.

“Alhamdulillah, rakyat Malaysia hidup aman dan damai serta dapat menjalani kehidupan seharian tanpa perlu berasa khuatir. Saya cintakan tanah air ini kerana di sinilah bumi penuh barakah iaitu tempat saya membesar dan mencari rezeki yang halal. 

“Walaupun saya lahir selepas negara merdeka,namun saya amat bangga bergelar anak Malaysia walaupun tidak menyaksikan peristiwa penting bagi negara pada ketika itu. Apa yang penting sekarang, saya hanya mahu menyemarakkan suasana sambutan hari kemerdekaan setiap kali 31 Ogos tiba,” katanya kepada Harakahdaily

Hafiz Saadin

Menurutnya, rakyat Malaysia hidup penuh harmoni berkat dari keredhaan Allah SWT dan perpaduan yang utuh dikecapi sehingga kini merupakan hasil perjuangan pemimpin-pemimpin Islam kita yang dari dahulu mengutamakan Islam serta berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah.  

Katanya lagi, hal ini berbeza dengan beberapa negara lain yang kini dilanda bencana serta terlibat dengan peperangan dahsyat yang mana rakyat mereka hidup penuh ketakutan serta mengalami kebuluran. 

Dia menegaskan sekali lagi agar seluruh rakyat Malaysia bersatu padu serta bersama-sama memupuk semangat nasionalisme yang tinggi dalam diri masing-masing.

“Semangat nasioniolisme dapat menyemai perpaduan rakyat serta meneruskan keamanan dan kejayaan ekonomi yang dikecapi negara,” ujarnya. 

Sementara itu, pengurus, Jimmy Yong, 60, pula berharap agar rakyat negara ini mengekalkan perpaduan sedia ada kerana inilah kekuatan dan keunikan rakyat Malaysia.

Jimmy Yong

Katanya, keutuhan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia menjadi kunci kejayaan negara ini yang meniupkan lagi semangat patriotisme setiap rakyat terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain.

“Perpaduan rakyat inilah yang menjadi kekuatan kesatupaduan rakyat negara ini. Ibarat pepatah Melayu, bersatu teguh bercerai roboh, maka hendaklah seluruh rakyat kita bersatu dan berganding bahu bagi mencapai misi dan visi negara.

“Malaysia terkenal di mata dunia  sebagai negara yang aman dan harmoni, justeru perkara ini perlu dikekalkan bagi menaikkan lagi nama negara gah di persada antarabangsa,” ujarnya. 

Dalam pada itu, seorang penjawat awam, Balaganesh Ponniah, 35, pula berkata, bersempena Hari Kebangsaan 2022 ini, dia mengharapkan pemimpin negara yang mementingkan kebajikan rakyat, mengutamakan pembangunan ekonomi, dan pembangunan modal insan negara. 

Balaganesh Ponniah

Mengulas lanjut, Balaganesh berkata, generasi muda zaman sekarang agak kurang pengertian dan penjiwaan semangat kemerdekaan.

“Bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang melibatkan segenap lapisan masyarakat dan memberikan maanfaat kepada semua sekali gus amalan budaya perkauman semakin kurang,” ujarnya. 

Katanya lagi, budaya masyarakat berbilang bangsa dan bersatu padu ini sewajarnya dipraktikkan di semua peringkat seperti di sekolah, pejabat kerajaan, kementerian dan swasta bagi mewujudkan masyarakat bersatu hati dalam membina negara yang aman dan sejahtera. – HARAKAHDAILY 24/8/2022