Hari bersejarah, Hari Idul Ilmi, hari meraikan ilmu

- Advertisement -

ITULAH yang boleh saya gambarkan. Saya merasmikan Majlis Haflu Al-Takharruj Kali Ke-3 Tahun 2022 Pondok Moden Al-’Abaqirah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). 

Menjadi sebuah harapan besar saya, institusi pondok yang moden namun mampu mengekalkan nilai-nilai asal dan adab pengajian pondok dan pengajian kitab Turath.

Institusi pondok amat dekat dengan diri saya. Almarhum ayahanda saya juga ketika hayatnya dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak. 

Ayah saya mengajar di Madrasah di sebelah rumah, sejak tahun 1970-an, diadakan Ijtimak bulanan mengaji kitab di madrasah tersebut. 

Begitulah juga adik-beradik saya, ayah hantar ke Pondok Gajah Mati selepas tamat sekolah rendah.

Melihat mata anak-anak yang menamatkan pengajian pada sesi kali ini, keterujaan saya mahu melihat anak-anak yang bakal menjadi ulamak pelapis yang menjadi tenaga pengajar di masjid, surau dan institusi pendidikan, memberikan cahaya ilmu kepada masyarakat khususnya di Wilayah-wilayah Persekutuan ini.

Betapa berbaloinya pengorbanan ibu bapa, tenaga pengajar dan mereka yang terlibat dalam memastikan adik-adik ini berjaya melalui semua silibus dan tingkatan pelajaran di pondok moden ini.

Melangkah keluar daripada majlis graduasi ini adalah permulaan kepada eksplorasi dunia yang lebih luas dan mencabar sebagai seorang pelajar agama. 

Kita memegang sebuah amanah besar membawa nama Islam di mana juga tempat yang akan kita lalui. 

Maka, tiada pilihan lain selain daripada memberi yang terbaik kepada semua tanggungjawab yang bakal digalas oleh anak-anak ini. 

Teruslah menerokai dunia agar semakin dekat dengan melihat keindahan dan kekuasaan Allah S.W.T yang diberikan kepada kita di dunia ini.

Saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada para graduan kerana telah berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang. 

Begitu juga, jutaan penghargaan saya sampaikan kepada para ibu bapa, barisan asatizah pendidik dan seluruh warga Pondok Moden Al-’Abaqirah (PMA) dan Ma’alim Al-Sunan Li Dirasati Al-Sunnah Al-Nabawiyyah (MSN) yang ikhlas memastikan para pelajar menjadi insan yang berilmu dan berbakti kepada ummah pada masa hadapan.

Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pengurusan MAIWP serta Ahli Jawatankuasa Haflu Al-Takharruj iniyang gigih berusaha memastikan majlis ini berjalan dengan lancar.

Semoga semua usaha kita ini akan memartabatkan Islam di negara kita dengan lebih cemerlang di masa akan datang.

YB SENATOR USTAZ IDRIS AHMAD
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 25/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -