50 pelajar Pondok Moden Al-‘Abaqirah 1444H sukses tamat pengajian

- Advertisement -

Oleh ZULHAIDI MANSOR

KUALA LUMPUR: Seramai 50 orang lagi pelajar berjaya menamatkan pengajian di Pondok Moden Al-‘Abaqirah (PMA) bagi sesi 1444H/2022M, sekali gus membuktikan graduan kelahiran pondok moden ini mempunyai kebolehpasaran yang tinggi serta memberikan imej yang positif kepada institusi pendidikan di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, MAIWP terus komited dalam melahirkan modal insan yang cemerlang sehingga ada dalam kalangan graduan PMA yang telah berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara seperti Arab Saudi, Jordan, Maghribi dan Mesir.

- Advertisement -

Menurut beliau, graduan PMA turut mengisi tempat-tempat di institusi pengajian tempatan seperti Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaya (UM) dan lain-lain yang meliputi bidang pengajian pengajian Fiqh dan Usul, Usuluddin, Undang-undang, Muamalat, Pengurusan Halal, dan Bahasa Arab.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Haflu Al-Takharujj kali ke-3 1444H/2022M di Tamu Hotel & Suites, Kampung Baru, di sini, pada Rabu, bagi meraikan 50 pelajar PMA yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka, dengan turut menyampaikan sijil graduasi kepada graduan PMA berkenaan.

Idris (dua dari kiri, di samping Mohd Roslan, kiri sekali) menyampaikan Anugerah Tokoh Abqari kepada graduan Pondok Moden Al-‘Abaqirah, Muhammad Akmal Fauzan Mohamed Fouzi, 21, pada Majlis Haflu Al-Takharujj kali ke-3 1444H/2022M di Tamu Hotel & Suites, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 24 Ogos 2022.

Haflu Al-Takharujj merupakan majlis graduasi yang dijalankan pada setiap tahun bagi memberi penganugerahan Syahadah ‘Ulya dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kepada pelajar yang telah menamatkan pengajian di PMA.

Turut hadir ialah Pengerusi Lajnah Al-Irsyad MAIWP, Prof Dr. Mohd Roslan Mohd Noor; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya; dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MAIWP, Mahadi Sukarno.

Idris berkata, MAIWP sentiasa komited dalam pembangunan insan untuk kalangan asnaf di Wilayah Persekutuan.

Majlis Haflu Al-Takharujj kali ke-3 1444H/2022M yang disempurnakan Idris di Tamu Hotel & Suites, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 24 Ogos 2022 adalah bagi meraikan 50 graduan yang berjaya menamatkan pengajian.

“Pada tahun 2022, MAIWP telah memperuntukkan bajet sebanyak RM176.69 juta daripada peruntukan RM1.2 bilion yang telah diluluskan untuk tujuan Pendidikan melalui Bahagian Pembangunan Insan MAIWP,” ujarnya.

Tambah beliau, pada tahun ini, Kementerian Kewangan telah meluluskan bajet pembinaan bangunan SMA MAIWP di Labuan sebanyak RM65 juta yang akan mampu menampung sehingga 600 pelajar setiap tahun berbanding 250 pelajar pada masa kini.

Sehubungan itu, Idris melahirkan rasa syukur dengan kejayaan PMA pada kali ini yang sukses melahirkan 50 orang graduan.

“Marilah kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT atas rahmat dan izin-Nya kita dapat berkumpul dalam suasana semangat keluarga MAIWP dalam Majlis Haflu al-Takharruj Pondok Moden Al-‘Abaqirah 2022M/1444H ini.

Sebahagian daripada 50 pelajar Pondok Moden Al-‘Abaqirah yang diraikan pada Majlis Haflu Al-Takharujj kali ke-3 1444H/2022M.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kesudian pihak penganjur dan seluruh ahli jawatankuasa kerana sudi menjemput saya ke majlis gilang-gemilang ini,” katanya.

Idris turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh warga Pondok Moden Al-‘Abaqirah dan Ma’alim Al-Sunan Li Dirasati Al Sunnah Al-Nabawiyyah (MSN) yang berterusan mengharumkan nama PMA. 

“Tahniah juga kepada semua warga pendidik yang berjaya mendidik pelajar-pelajar Pondok Moden Al-‘Abaqirah selama tempoh pengajian mereka di sini,” katanya ketika dalam sesi ucap utama perasmian Majlis Haflu Al-Takharruj Pondok Moden Al-‘Abaqirah berkenaan.

Sehubungan itu, beliau percaya kejayaan demi kejayaan yang dicapai bukan sahaja memerlukan satu usaha dan iltizam yang tinggi daripada semua pihak khususnya para pendidik dan pelajar di institusi pendidikan berkenaan.

Menurutnya lagi, PMA yang diasaskan untuk melahirkan pendakwah yang berilmu dalam berterusan memacu kecemerlangan dan begitu juga MSN yang sentiasa komited untuk melahirkan pelapis-pelapis ahli hadis.

“Semoga setiap langkah semua  pendidik dan pelajar di institusi ini dipermudah dan diberkati Allah SWT.

“Komitmen MAIWP terhadap pembangunan modal insan dalam kalangan asnaf tidak dapat dinafikan lagi dan yang terbaharu, MAIWP telah mewujudkan kelas masa depan (future classroom).

Graduan kelahiran Pondok Moden Al-‘Abaqirah bakal menjadi golongan pendakwah yang berilmu dalam berterusan memacu kecemerlangan melalui kecerdikan yang luar biasa, pantas membuat keputusan, tekun dan teliti dalam sebarang tindakan, serta memahami hikmah dan maslahat.

Ia bertujuan menjadikan institusi pendidikan MAIWP berada pada satu tahap berbeza, membolehkan pendidik melaksanakan kaedah pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) dengan lebih optimum, dan modal yang dilaburkan ini tidak lain tidak bukan untuk memastikan proses pembelajaran dan pemudahcaraan (Pdpc) di sekolah lebih berkesan kepada generasi muda.

“Penggunaan teknologi dalam Pdpc amat membantu menarik minat pelajar di dalam kelas dan Future Classroom pula  bersesuaian dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara yang berhasrat membuat perubahan besar terhadap Pendidikan termasuk dalam memperkasa kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dan memperkenal bilik darjah berkonsepkan futuristik, dan menghasilkan proses pengajaran serta pembelajaran secara efektif dengan penggunaan kemudahan peralatan teknologi komunikasi,” jelasnya.

Salah seorang graduan, Muhammad Thaqif Neily Ghazali,19, di samping ibu bapanya pada Majlis Haflu Al-Takharujj kali ke-3 1444H/2022M.

Mengulas lanjut, Idris berkata, Blueprint Pendidikan MAIWP 2025 diwujudkan bagi mencapai sasaran MAIWP dalam bidang Pendidikan dan sebagai pendidik adalah menjadi tanggunggjawab utama kita untuk memastikan peruntukan tahunan yang besar melalui dana zakat memberikan impak besar khususnya kepada keluarga asnaf.

Katanya lagi, beliau berharap, melalui majlis meraikan graduan PMA ini akan dapat mencetuskan semangat dalam diri pelajar PMA yang lain untuk berterusan menuntut ilmu dan mencapai kejayaan seperti yang dikecapi graduan pada hari ini.

“Semoga PMA dan MSN terus dapat melahirkan generasi pelajar ‘daie’ lagi faqih, teguh jati dan memiliki pekerti yang unggul.

“Saya doakan agar graduan ini dapat mengisi ruang vakum yang ditinggalkan ulamak-ulamak silam dalam memandu ummah ke arah jalan kebenaran,” katanya.

Menelusuri sejarah penubuhannya, PMA telah mula beroperasi secara rasminya pada 16 Ogos 2015 di Bangunan Darul Hidayah, Kampung Baru, Kuala Lumpur dengan jumlah bilangan pelajar seramai 44 orang.

Matlamat kejayaan melahirkan graduan Pondok Moden Al-‘Baqirah bertujuan menjadikan institusi pendidikan di bawah naungan MAIWP ini membolehkan pendidik melaksanakan kaedah pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) dengan lebih optimum.

Pada 2 Februari 2016, PMA menerima kemasukan pelajar kali ke-2 seramai 108 orang. Bagi menampung bilangan pelajar yang meningkat, PMA telah berpindah ke Bangunan Kompleks Darul Kifayah di Koperasi Polis, Fasa 2 Batu Caves, Kuala Lumpur. 

Pembangunan PMA juga turut dilaksanakan di tapak milik MAIWP di Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Pada masa ini, pelajar PMA mempunyai seramai 205 orang yang mengikuti kelas pengajian di tahun 1, tahun 2 dan tahun 3.

Pondok ini dinamakan Moden Al-‘Abaqirah berasaskan kepada perkataan Al-‘Abaqirah dalam bahasa arab yang bererti abqari iaitu genius atau teramat pintar.

Antara ciri-ciri abqari itu ialah kecerdikan yang luar biasa, pantas membuat keputusan, tekun dan teliti dalam sebarang tindakan, memahami hikmah dan maslahat. Begitu juga sentiasa melihat dalam bentuk yang lebih luas dan jelas.

Pelajar Pondok Moden Al-‘Abaqirah sedang tekun menghadapi peperiksaan dalam salah sebuah bilik darjah sekolah berkenaan.

Harapan dan matlamatnya adalah agar pelajar yang melalui sistem pembelajaran di PMA bakal menjadi tokoh ilmuan Islam yang benar-benar genius dan bijaksana.

Hal ini akan dapat direalisasikan apabila paduan kerjasama yang erat antara guru, pentadbir dan juga pelajar disamping ibu bapa yang mahu mencipta kejayaan dengan masing-masing mengembeling seupaya tenaga, ilmu dan pemikiran untuk menzahirkannya. – HARAKAHDAILY 25/8/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!