Singapura akan mansuh perundangan larangan hubungan sejenis

- Advertisement -

PADA 21 Ogos 2022, Singapura telah mengisytiharkan bahawa negara tersebut bakal memansuhkan undang-undang larangan perkahwinan sesama jantina yang telah 84 tahun menjadi undang-undang terpakai negara tersebut. Perkara ini dizahirkan oleh Presidennya, Lee Hsien Loong dalam ucapannya di Rapat Umum Hari Kebangsaan.

Pengiktirafan ini direalisasikan dengan pindaan yang akan dibuat pada Seksyen 377A Kanun Keseksaan yang menggariskan perbuatan hubungan sejenis sebagai sebuah jenayah. 

Undang-undang ini menetapkan bahawa seorang lelaki yang melakukan tingkah laku amat tidak senonoh dengan seorang lelaki lain sama ada dalam ruang awam atau persendirian adalah sebuah jenayah. 

Hukuman yang diberikan kepada mereka yang dijatuhkan hukuman di bawah seksyen ini ialah penjara tidak melebihi 2 tahun.

Sebenarnya, Singapura bukanlah satu-satunya negara yang mengisytiharkan perkara ini. Pengiktirafan ini juga telah dibuat oleh beberapa negara lain seperti India. 

Di Asia, Taiwan dan Thailand juga telah mengiktiraf hak homoseksual membuatkan Singapura sebagai negara yang terbaharu yang berbuat demikian.

Kata Presidennya, usaha ini dilaksanakan agar permuafakatan politik dapat dicapai. Permuafakatan ini bertujuan bagi mengimbangi pandangan-pandangan yang munasabah, serta aspirasi dalam kalangan rakyat Singapura. 

“Jika satu pihak terlalu mendesak, pihak yang lagi satu akan bertindak balas dengan hebat lagi. Semua kumpulan perlu mengawal diri kerana itu sahaja cara untuk kita melangkah ke hadapan bersama sebagai satu negara,” ujarnya lagi.

Melalui permuafakatan politik, Perdana Menteri Lee harapkan agar pengiktirafan ini akan membantu Singapura kekal sebagai sebuah masyarakat yang toleran dan inklusif.

Jika dibandingkan Singapura dan Malaysia, negara kita juga mempunyai undang-undang yang mengekang perlakuan hubungan sejenis ini. 

Seksyen 377A Kanun Keseksaan di Malaysia juga merupakan undang-undang yang mengekang perbuatan yang tidak bermoral tersebut. 

Namun, perbezaan di negara kita, kita juga mempunyai Undang-undang Syariah yang mengikat umat Islam dan diiktiraf sebagai ‘The Law of the Land’.

Namun kebimbangan juga terasa walaupun perkara ini berlaku di negara jiran. Dengan pengiktirafan seperti ini, budaya songsang yang menjadi perbuatan bercanggah dengan lumrah manusia ini sedikit demi sedikit cuba dinormalisasikan di serantau Asia Tenggara.

Negara-negara Asia yang mempunyai budaya ketimuran yang mengajarkan adab dan akhlak yang murni mula merekah dengan terpalunya budaya asing ini. 

Ini belum lagi dibincangkan berkenaan dengan Cacar Monyet (Monkeypox) yang menjadi penyakit berbahaya waktu ini berpunca daripada kegiatan keji ini. 

Bahkan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri yang mengeluarkan amaran agar golongan gaymengurangkan kegiatan seks songsang mereka bagi mengawal penularan wabak itu di seluruh dunia. 

Menurut ketua pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus menyatakan 98 peratus daripada kes cacar ini merupakan sumbangan daripada lelaki gay dan biseksual.

Justeru itu, tindakan tuntas pihak kerajaan merupakan sebuah kemestian bagi menyekat anasir seperti ini daripada merebak ke negara kita. 

Pendidikan negara perlu mengetengahkan nilai-nilai agama serta adat ketimuran yang menjadi teras kepada moral masyarakat tanah air kita. Perkara ini perlu diterapkan serta diperkasakan lagi dengan lebih mampan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia. 

Semoga Malaysia dijauhkan dengan perkara songsang seperti ini menjadi kebiasaan di negara kita.

PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 24/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -