Apabila YB Khairy lawat ladang ganja di Thailand…

- Advertisement -

DENGAN hanya sekeping gambar yang YB Khairy Jamaluddin (KJ) tweet itu tak perlulah nak lompat terkejut. Geng Mat ganja dah fana dah ke bulan, bergembira sebab kononnya KJ dah nak luluskan tanam ganja kat Malaysia. Sabar, tunggu dulu.

Lawatan sambil belajar itu sudah pasti bertujuan tertentu dan YB KJ tidak keseorangan. Pegawai yang selayaknya bersama beliau seperti Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Norhayati Rusli; Pengarah ICR, Datuk Dr. Kalaiarasu M. Peariasamy; dan Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan) Program Perkhidmatan Farmasi, Mohd Zawawi Abdullah.

Setakat saya tahu melalui kenyataan YB Menteri Kesihatan sebelum ini bahawa isu ganja perubatan ini dibincangkan adalah untuk benarkan pendaftaran farmaseutikal, iaitu produk yang sudah tersedia ada dalam pasaran. 

Namun ianya juga masih tertakluk kepada kriteria dan penilaian pihak Badan Berkuasa Ubat (DCA/NPRA). Dalam erti kata lain setiap produk berasaskan ganja itu, jika nak dimasukkan ke dalam negara kita perlu ada bukti kajian klinikal yang sahih. Itu pun setakat perbincangan pakar, produk berasaskan Cannabidiol (CBD) sahaja yang akan dibenarkan.

Maknanya juga tidak boleh sesiapa menanam ganja bagi tujuan perubatan. Produk mentah (berbentuk pokok ganja) masih lagi tertakluk kepada akta racun yang sedia ada.

Andai katalah, kerajaan nak pinda akta supaya boleh tanam, proses, guna dan jual ganja berbentuk hemp (mengandungi CBD) tersebut, masih terlalu awal lagi negara kita nak mengubahnya. Perlu banyak pertimbangan dalam pelbagai sudut samada kestabilan politik, kedudukan sosiobudaya, kehendak rakyat dan hukum-hakam agama.

Apa pun sebarang perubahan polisi kerajaan tertakluk kepada dapatan jawatankuasa Induk yang terdiri dari pakar dan melibatkan pelbagai agensi kerajaan lain. Kebolehlaksanaannya juga bergantung secara khusus bagi tujuan perubatan, bukannya tujuan rekreasi atau industri.

Kita perlu ingat juga bahawa ganja ini di bawah ‘UN Single Convention on Narcotic 1961’. Malaysia adalah negara ahli. Selagi kawalan ada di peringkat antarabangsa, kita tidak boleh pinda kawalan semudah itu saja. Apa yang berlaku di Thailand sekarang pun dalam pemerhatian serius dari Commissiom on Narcotic Drug (CND).

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 24/8/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -