Usaha Kelantan cegah rasuah, tingkat tadbir urus berintegriti

Tengku Maimun Tuan Mat
- Advertisement -

KERAJAAN Negeri Kelantan yang diterajui PAS mengekalkan rekod cemerlang dalam pengurusan dan pencegahan rasuah melalui pentadbirannya, termasuk kalangan para pemimpin politik parti dan ini telah sedia diketahui umum.

Kelantan sejak itu membuka 8 hari seminggu dan 25 jam sehari untuk Badan Pencegah Rasuah (BPR) suatu ketika dahulu dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namanya kini menyiasat apa sahaja salah laku, sekiranya ada. 

Itu tanda Kelantan serius dan bersungguh-sungguh memberi kerjasama untuk menghapuskan rasuah. Siapa yang berbuat salah, silakan ambil tindakan yang sewajarnya kepada pelaku itu. Begitu telusnya negeri ini.

Bahkan perakuan tersebut turut diterima Kelantan dalam bentuk pengiktirafan Pensijilan Malaysian Standard MS ISO 37001:2016 – Pengurusan Sistem Antirasuah daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd.

Polisi-polisi dan garis panduan telah dirangka dalam menerangkan dasar semasa mengenai peraturan serta larangan terhadap sebarang aktiviti berbentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. 

Pelaksanaan polisi antirasuah ini menetapkan garis panduan ke atas pegawai dan kakitangan dalam Pejabat SUK Kelantan agar dapat mengurangkan risiko rasuah.

Inisiatif ini juga telah dipanjangkan kepada rakan perniagaan iaitu pembekal, kontraktor dan jabatan atau agensi yang mempunyai urusan serta kepentingan dengan Pejabat SUK Kelantan.

Antara polisi-polisi yang dimaksudkan adalah sebagaimana berikut iaitu Polisi Antirasuah; Polisi Hadiah dan Polisi Pemberi Maklumat di mana ia berjaya mendapatkan kelulusan akreditasi daripada pihak tersebut.

Hasil daripada itu juga, Pelan Antirasuah Kelantan (KACP) 2020-2024 telah dibangunkan di peringkat Kerajaan Negeri Kelantan selaras Pelan Antirasuah Nasional (NACP 2019-2023) yang menggantikan pelan terdahulu iaitu Pelan Integriti Nasional (PIN) 2004. 

Pelan ini bertindak sebagai suatu kerangka bagi transformasi ke arah Negeri Kelantan yang bebas rasuah di mana KACP ini juga dibangunkan bagi menggantikan Pelan Integriti Organisasi yang menjadi panduan untuk pelaksanaan program-program integriti berdasarkan strategi-strategi ditetapkan dalam PIO.

Pelan ini juga bertujuan untuk menetapkan sasaran lebih praktikal berdasarkan inisiatif yang akan diambil dalam menangani masalah rasuah, integriti dan tadbir urus dalam tempoh lima tahun.

Dalam usaha untuk meningkatkan kecekapan dan ketelusan dalam menjalankan tugas yang diamanahkan, Kerajaan Negeri Kelantan amat serius dalam menangani isu pelanggaran integriti, rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan yang melibatkan penjawat awam Negeri Kelantan.

Kerajaan Negeri Kelantan juga melalui KACP tidak hanya menangani gejala rasuah, tetapi termasuk kelemahan tadbir urus dengan segera serta mewujudkan sistem pentadbiran organisasi berintegriti tinggi demi kestabilan organisasi dan kesejahteraan rakyat. 

Ini adalah kerana rasuah dan kelemahan tadbir urus telah membawa banyak kepincangan dan memberi kesan buruk kepada negara termasuk jabatan atau agensi kerajaan, sebaliknya mengembalikan kestabilan dan kepercayaan terhadap kerajaan.

Bagi mencapai matlamat itu, Kerajaan Negeri Kelantan telah menetapkan matlamat yang jelas untuk mencapai visi KACP iaitu ke arah pentadbiran Negeri Kelantan yang berintegriti dan bebas rasuah. 

Ianya adalah selaras dengan aspirasi kerajaan untuk dikenali kerana integriti dan bukannya rasuah.

MOHD HUSHAIMI HUSSIAN
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 23/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -