Susunan YUSMAN AWANG
CHICAGO: Seorang suspek dalam pembunuhan bersiri empat lelaki Islam yang berlaku dalam tempoh 10 bulan di Albuquerque, New Mexico, kini berdepan tiga pertuduhan membunuh.
Muhammad Syed, 51, didakwa pada pagi Isnin (22 Ogos) di di Mahkamah Daerah Daerah Bernalillo, di sini, atas tuduhan membunuh tahap pertama menyebabkan kematian Naeem Hussain, 25, yang maut ditembak pada 5 Ogos lalu selepas menghadiri pengebumian dua lagi mangsa, Muhammad Afzal Hussain, 27, dan Aftab Hussein – kedua-duanya juga mati ditembak disyaki turut dilakukan oleh Syed.
Pada 18 Ogos lalu, Syed telah didakwa di mahkamah sebagai suspek kes pembunuhan Muhammad Afzaal pada 1 Ogos lepas, dan Aftab Hussein pada 26 Julai lalu.
Polis Albuquerque berkata Syed juga kekal sebagai suspek utama dalam pembunuhan Mohammad Zaher Ahmadi, 62, pada 7 November 2021, dan siasatan sedang diteruskan, lapor The Daily Beast.
“Detektif kami yang menyiasat kes pembunuhan bersiri keempat-empat lelaki Muslim itu nakan terus bekerjasama dengan pendakwa raya untuk memastikan semua mangsa menerima keadilan dalam insiden tragis ini,” kata Ketua Polis Albuquerque, Harold Medina.
Beliau mengesahkan bahawa Syed kini secara rasmi didakwa dengan pembunuhan tahap pertama dalam tiga daripada empat pembunuhan itu, yang mengejutkan khususnya masyarakat Islam di New Mexico.
Pada Isnin juga, pihak polis telah mendedahkan bahawa juri mahkamah telah mendakwa Syed atas tiga pertuduhan mengganggu bukti berhubung tiga pertuduhan pembunuhan berkenaan.
Menurut polis, Syed didakwa menembak Naeem Hussain ketika dia berada di tempat duduk pemandu kenderaannya di tempat letak kereta.
Rakan-rakan Hussain memberitahu polis pada ketika itu arwah telah menghadiri pengebumian Aftab Hussein dan Muhammad Afzaal Hussain awal hari itu.
Detektif berkata rakaman pengawasan video menunjukkan sebuah Volkswagen Jetta kelabu meninggalkan tempat kejadian selepas Hussain ditembak.
Polis mengeluarkan gambar kenderaan itu pada 8 Ogos dan berkata, petua daripada orang ramai, termasuk ahli komuniti Islam Albuquerque, dan rakaman video tambahan membantu mereka mengenal pasti ia dan pemiliknya.
Syed telah ditangkap pada 9 Ogos lalu, namun polis belum mengulas mengenai kemungkinan motif pembunuhan itu.
Sementara NBC News melaporkan kenyataan Sharief Hadi, abang kepada Mohammad Zaher yang maut ditembak di luar kedai Ariana Halal Market & Cafe pada 7 November 2021 itu adalah selepas kira-kira dua tahun arwah berdepan konfrantasi dengan suspek, berhubung apa yang dipercayainya sebagai skim yang melibatkan urusan jual beli produk antara mereka.
Hadi, yang memiliki dan mengendalikan kedai itu bersama Ahmadi, berkata Syed membeli beras dalam jumlah yang banyak dan kemudian cuba menjual semula produk tersebut kepada kedua-dua Hadi dan Ahmadi dengan harga yang lebih tinggi untuk mendapatkan keuntungan.
“Arwah memberitahu saya bahawa dia ‘tidak suka orang seperti (Muhammad Syed) itu’ dan mula menolak untuk berurusan dengan Syed.
“Abang saya berkata (kepada Syed): ‘Jangan masuk ke dalam (kedai). Saya tidak mahu apa-apa urusan dengan awak’,” kata Hadi.
Tambah Hadi, sejak itu Syed tidak lagi mengunjungi Hadi dan Ahmadi, namun apa yang mengejutkannya adalah pada awal 2020, ketika Hadi dan isterinya mahu pulang dari Pusat Islam New Mexico di Albuquerque selepas melakukan khidmat amal di situ, dia mendapati dua tayar kereta mereka telah kempis.
“Setelah diperiksa lebih dekat, tayar itu kelihatan telah dikerat seseorang,” kata Hadi.
Hadi dan isterinya lantas melaporkan kejadian itu kepada pihak masjid dan kemudian dibuat siasatan melalui video keselamatan dari tempat letak kereta yang kelihatan menunjukkan seorang lelaki memotong tayar keretanya.
“Pihak masjid kemudiannya mengenal pasti lelaki itu sebagai Syed,” kata Hadi.
Dalam temu bual berasingan dengan NBC News, Presiden Pusat Islam New Mexico, Ahmad Assed mengesahkan apa yang diceritakan Hadi itu sebagai benar dan berkata, Syed yang sebelum sering berkunjung ke situ, juga untuk terbabit dengan khidmat amal, telah dilarang memasuki kawasan pusat tersebut, buat sementara waktu. – HARAKAHDAILY 23/8/2022