Tidak boleh sesuka hati roboh kolam takungan di Gunung Inas

Foto daripada Facebook Urus Setia Penerangan Darul Aman - UPDA.
- Advertisement -

ALOR SETAR: Tiga kolam takungan air di puncak Gunung Inas, di Baling tidak boleh dirobohkan sesuka hati kerana ia mempunyai pemilik yang sah, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata tindakan meroboh kolam itu juga tidak perlu kerana berdasarkan laporan Pasukan Khas Siasatan Bencana Tragedi Baling, ia dilihat tidak mampu mendatangkan bahaya kepada penduduk di kawasan berkenaan.

- Advertisement -

“Hasil laporan mendapati kolam berkenaan bukan menjadi punca kepada kejadian banjir di Baling pada 4 Julai lepas dan kajian oleh pakar di Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) mendapati kapasiti air dari tiga kolam takungan itu tidak mampu sampai hingga ke kawasan penempatan penduduk di kaki gunung.

“Kolam itu ada pemilik, jadi tidak boleh senang-senang musnahkan, kena baca juga laporan yang dibuat KeTSA, yang mempunyai ratusan pakar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan Mammografi Digital di Kedah Medical Centre (KMC) di sini hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dalam laporan media memaklumkan tiga kolam takungan air di puncak Gunung Inas di Baling bersaiz gelanggang futsal itu akan dimusnahkan kerana didapati membahayakan penduduk di kawasan berkenaan.

Tiga kolam takungan milik syarikat swasta itu dibina bagi mengusahakan ladang durian Musang King dan digunakan sebagai tempat takungan air bagi menyiram pokok-pokok durian yang ditanam di puncak Gunung Inas. – BERNAMA

- Advertisement -