Tiba masanya maruah jurutera dibela!

- Advertisement -

PROFESION jurutera merupakan antara profesion penting buat nadi pembangunan negara. Namun sayang, jika diamati menerusi luahan para jurutera, kebajikan mereka khususnya dari sudut tangga gaji buat jurutera muda masih berada pada paras yang menyedihkan.

Malaysia disasarkan menjadi Negara Berteknologi Tinggi menjelang tahun 2050. Hal ini bermakna kita memerlukan ketumbukan tenaga kerja profesional khusus jurutera yang mencukupi bagi memberi persediaan kepada negara menghadapi Revolusi Industri.

Masalah kebajikan jurutera yang tidak mendapat bantuan sewajarnya ditambah dengan trend penurunan enrolment pelajar ke bidang kejuruteraan sebanyak 26 peratus dari tahun 2016 hingga 2022  menyaksikan sasaran Malaysia menjadi negara berteknologi tinggi hanyalah angan-angan.

Menyedari situasi yang semakin kritikal ini. Beberapa usaha telah dijalankan pelbagai pihak bagi memastikan kebajikan jurutera kita terjaga.

Jabatan Profesional Muda (JPro) Pemuda PAS Malaysia telah menyiapkan satu kertas cadangan yang akan dibentangkan kepada Perdana Menteri. Kertas kerja komprehensif bagi isu kebajikan jurutera ini menyentuh 5 teras utama yang patut diberikan perhatian tertinggi oleh kerajaan.

Gaji jurutera adalah perkara paling besar dan paling panas diperdebatkan sekian lama. Data daripada PERKESO menunjukkan bahawa 22 peratus daripada jawatan jurutera peringkat permulaan masih ditawarkan pendapatan di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) iaitu RM2,208.

Gaji jurutera amat berkait rapat dengan pelaksanaan Akta 138 iaitu Akta Pendaftaran Jurutera 1967. Pelbagai kelemahan dalam akta ini secara natijahnya menjatuhkan mutu pekerjaan jurutera yang mana membuka ruang kepada majikan untuk menawarkan gaji rendah kepada profesion ini.

Selain itu punca yang dikenalpasti juga akibat masalah supply dan demand bagi profesion jurutera. Penghasilan graduan kejuruteraan adalah melebihi kemampuan dan keperluan industri di Malaysia. 

Kontradiknya, Malaysia masih belum dapat mencapai nisbah bilangan jurutera yang mencukupi sebanyak 1:100. Bermaksud bagi setiap 100 populasi kita memerlukan 1 orang jurutera. 

Masalah kontradiksi ini adalah disebabkan nisbah tersebut hanya mengambil kira jurutera berdaftar. Sedangkan masih ramai jurutera tidak berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia berada di luar sana. Perkara ini lah yang memberikan gambaran tidak tepat berkaitan supply dan demand dari industri.

Kertas kerja ini turut mengutarakan status quo Malaysia sebagai sebuah negara ‘low tech’. Sebahagian industri kejuruteraan seperti pertanian, pembinaan dan mesin dan instrumen di negara ini masih berada dalam tahap inovasi sederhana atau rendah. 

Oleh itu, majikan hanya memerlukan graduan jurutera dengan skil yang rendah bagi memenuhi kekosongan jawatan jurutera. Majikan juga tidak perlu berbelanja lebih dengan teknologi sedia ada sekali gus dapat menjustifikasikan nilaian kadar gaji yang lebih rendah bagi mengisi kekosongan jawatan.

Masalah tawaran yuran perunding jurutera yang rendah turut dibangkitkan. 

Antara solusi yang dicadangkan oleh JPro dalam kertas cadangan tersebut adalah seperti berikut:

i. Pemberian elaun kepakaran kepada jurutera berdaftar dengan LJM, penguatkuasaan pendaftaran graduan jurutera sebagai Jurutera Siswazah bersama LJM.

ii. Menambah baik Akta 138 untuk turut melindungi kebajikan dan keselamatan jurutera dan teknologis seperti menawarkan gaji yang bersesuaian dengan jawatan, skop kerja dan kadar risiko yang datang dengan kerja yang ditawarkan.

iii. Mengkaji semula bilangan sebenar jurutera di Malaysia (berdaftar dan tidak berdaftar) melalui kerjasama bersama (LHDN) bagi mendapatkan data yang lebih tepat berkenaan bilangan jurutera dalam negara.

iv. Merancakkan kesedaran mengenai polisi MySTIE kepada Majikan dan Jurutera iaitu polisi yang menekankan kajian dan perkembangan Sains Teknologi yang mempunyai nilai komersial selari dengan keperluan industri semasa dan akan datang.

v. Melarang amalan penawaran yurankonsultansi yang lebih rendah dari SOF (Scale of Fees).

Isu kebajikan jurutera adalah isu lama yang telah dipandang sepi sekian lama oleh pihak kerajaan. Sewajarnya kerajaan semasa mengambil peluang ini untuk memperbaiki kekurangan yang ada agar sasaran negara untuk mencapai taraf Negara Berteknologi Tinggi menjelang 2050 dapat dicapai.

Profesion yang hebat dan berkemahiran tinggi seperti jurutera tidak wajar dilayan seperti ini. Lagi-lagi ia melibatkan kesan jangka masa panjang kepada kemajuan dan pembangunan negara.

Pemuda PAS menerusi JPro telah bertindak dengan kapasiti yang ada. Tiba masanya pihak yang berada di posisi paling berkuasa bertindak sewajarnya. Kebajikan dan maruah jurutera harus terbela!

Kertas cadangan JPro boleh didapatkan pada pautan ini:

https://www.jpro.org.my/kertas-polisi/

“Moving Forward”

PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 22/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -