PASTI Pulau Pinang puas hati walau tempat ketiga

- Advertisement -

Oleh NAZRI ABD HAMID

KUALA KANGSAR:
PASTI Negeri Pulau Pinang berpuas hati walaupun menduduki tempat ketiga acara bola jarring pada Kejohanan Sukan Bola Sepak dan Bola Jaring PASTI Peringkat Kebangsaan 2022 di sini, kelmarin.

Pengurus pasukan bola jaring, Razlina Abdullah berkata walaupun memperolehi tempat ketiga namun ia berbaloi dengan usaha para pemain dan dugaan latihan selama ini.

“Terima kasih kepada dua pemain Pasti Ibnu Sina dan PASTI As Solihin bersama lapan pemain PASTI Elit Bandar Tasek Mutiara membentuk kekuatan pasukan PASTI Kawasan Nibong Tebal untuk menjuarai di peringkat negeri Pulau Pinang.

- Advertisement -

“Untuk mengatasi pasukan di peringkat kebangsaan, pasukan ini diperkuatkan empat orang pemain dari kawasan Tasek Gelugur dan Permatang Pauh bersama enam pemain dari Nibong Tebal,” ujarnya kepada Harakahdaily selepas tamat perlawanan.

Katanya, selain dari kemahiran individu, mereka juga harus memperbaiki aspek keserasian pemain dan pemahaman undang-undang permainan dalam menyediakan pasukan tahun hadapan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada PASTI As-salam Graduan Mukmin Kulim, Tabika Kemas Kampung Sekolah Juru, SRITI Kulim, pasukan PASTI Kawasan Kulim, PASTI Al Munir Parit Buntar dan pasukan PASTI Kawasan Parit Buntar yang sudi mengadakan latihan dan perlawanan persahabatan.

Menurutnya lagi, kejayaan itu juga hasil pengorbanan usaha keras jurulatih Norhairani Abdul Razak dan penolongnya, Syazwani Sabdin yang membimbing dan memberi tunjur ajar semua pemain berbakat.

“Kami menghargai setiap peluh dan keringat semua pemain dan ibu bapa yang terus menyokong dan membantu pasukan ini, lebih manis pemain kita Maryam Zahraa Zul Hairee (GA) dinobatkan sebagai pemain terbaik bola jaring peringkat kebangsaan,” katanya lagi.

Kejohanan yang berlangsung di padang Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) itu dirasmikan oleh Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Hanafi Zulkapli.

Perak muncul juara keseluruhan pada kejohanan yang disertai 13 pasukan kecuali Sarawak.

Dalam acara bola sepak, johan ialah Perak, Perlis (naib johan), Kedah (ketiga) dan Pahang (keempat) sementara Selangor muncul johan acara bola jaring, Terengganu (naib), Pulau Pinang (ketiga), Perak (keempat). – HARAKAHDAILY 22/8/2022

- Advertisement -