Menteri Agama harap kesatuan umat Islam sentiasa ampuh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berharap kesatuan umat Islam sentiasa ampuh sebagaimana tersusun rapi saf solat.

“Dengan keimanan dan kesatuan ummah, kita membina sebuah negara sejahtera,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau malam tadi.

Sehubungan beliau mengucapkan tahniah kepada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Jabatan Perdana Menteri, agensi-agensi Islam di JPM (Hal Ehwal Agama), Majlis dan Jabatan Agama Islam negeri-negeri, Masjid Putra serta seluruh yang terlibat di atas penganjuran program Munajat Keluarga Malaysia, di Masjid Putra, Putrajaya malam tadi.

- Advertisement -

Beliau melahirkan kesyukuran kerana malam tadi umat Islam dapat bersama-sama bermunajat di seluruh negara bagi memohon keampunan dosa-dosa dan kesejahteraan buat negara Malaysia tercinta.

Katanya, agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal) Agama iaitu YADIM bertanggungjawab mengelolakan program munajat yang cukup bermakna itu.

“Hakikatnya, sungguh tidak terhitung salah silap kita kepada Allah SWT dalam mengabdikan diri sebagai hamba-Nya,” ujarnya.

Namun begitu, kata beliau Allah SWT tetap memberikan pelbagai nikmat yang tidak terhitung kepada setiap daripada kita dengan sifat ar-Rahman (Maha Pengasih) dan ar-Rahim (Maha Penyayang).

Beliau memetik ayat 18 Surah an-Nahl yang bermaksud: Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. – HARAKAHDAILY 22/8/2022

- Advertisement -