Florita bakal cetus banjir besar, tanah runtuh

Lekukan Tropika Florita atau ribut siklon Florita dijangka semakin menguat dan bakal meledakkan penurunan hujan lebat pada hari petang Isnin, 22 Ogos 2022 di Filipina. (FOTO Philippine Star)
- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

MANILA, Filipina: Lekukan Tropika Florita (Florita) dijangka semakin menguat dan bakal meledakkan penurunan hujan yang sangat lebat pada petang hari ini, Isnin (22 Ogos), di Filipina yang bermakna banjir dan tanah runtuh dijangka berlaku di kawasan yang terjejas akibat ribut siklon tropika berkenaan.

Dalam buletinnya menjelang jam 11 malam pada Ahad (21 Ogos), Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina (PAGASA) berkata Florita sudah berada 420 kilometer ke timur Casiguran, Aurora, masih di atas Laut Filipina.

- Advertisement -

“Lekukan tropika itu sedikit memecut, bergerak ke barat daya dengan kelajuan 20 km sejam daripada 15 km/j sebelumnya.

“Ia mengekalkan kekuatannya, dengan angin berkelajuan maksimum 55 km/j dan deruan sehingga 70 km/j,” ujar kenyataan PAGASA.

Namun, PAGASA melihat Florita semakin kukuh untuk menjadi ribut tropika pada pagi atau petang Isnin, dan kemudian menjadi ribut tropika yang teruk menjelang Selasa, 23 Ogos. 

Lekukan siklon Florita atau ribut siklon Florita yang dijangka melanda Filipina bermula pada petang hari ini, Isnin 22 Ogos 2022. (FOTO gmanetwork.com)

Sebelum ini, Florita hanya dijangka mencapai status ribut tropika pada tahap biasa sahaja; namun Florita dijangka menurunkan hujan dengan kadar sangat lebat bermula petang Isnin, walaupun sebelum itu, ia sudah pun membawa hujan lebat melanda di wilayah utara Filipina.

Lekukan tropika terbentuk apabila kawasan tekanan rendah disertai ribut petir yang menghasilkan aliran angin bulat dengan angin berterusan maksimum di bawah 62.9 km/j.

Peningkatan kepada ribut tropika berlaku apabila peredaran siklon menjadi lebih teratur dan tiupan angin berkekalan maksimum antara 62.8 km/j dan 117.5 km/j. – HARAKAHDAILY 22/8/2022

- Advertisement -