Anak perempuan penasihat Putin terbunuh dalam letupan kereta

Alexander Dugin (dalam foto kanan bersama anak perempuannya, Darya Dugina) merupakan penasihat spiritual Vladimir Putin. (FOTO Indiatvnews.com)

Susunan YUSMAN AWANG

MOSCOW: Anak perempuan Alexander Dugin, penasihat spiritual Presiden Rusia, Vladimir Putin, terbunuh dalam kejadian pengeboman kereta di pinggir Moscow.

Pihak berkuasa Rusia mengesahkan insiden itu dalam kenyataan pada lewat Ahad (21 Ogos), sementara media  Rusia yang memetik kenyataan ahli keluarga mangsa, Darya Dugina, 30, mendakwa bahawa kemungkinan Dugin, 60, yang sebenarnya disasarkan untuk dibunuh memandangkan Dugina meminjam kereta bapanya itu pada saat-saat akhir, lapor AFP.

Advertisement

Dugina yang merupakan seorang wartawan meninggal dunia di tempat kejadian dan siasatan  terhadap kejadian telah dibuka, oleh jawatankuasa yang biasa menyiasat kes jenayah besar di Rusia.

Pada Julai lalu, Britain meletakkan Dugin dalam senarai orang Rusia yang diharam memasuki Britain kerana didakwa menyebarkan maklumat salah dalam talian tentang Ukraine.

Dugin kadangkala yang dipanggil  sebagai ‘Rasputin Putin atau ‘otak Putin’  ialah seorang intelektual ultranasionalis Rusia yang lantang bersuara.

Gambar yang diedarkan oleh Jawatankuasa Penyiasatan Rusia pada 21 Ogos 2022 ini menunjukkan pasukan penyiasat di lokasi letupan skereta yang dipandu oleh Daria Dugina, anak perempuan Alexander Dugin di pinggir Moscow. (FOTO edaran Jawatankuasa Siasatan Rusia/AFP)

Beliau sudah lama menyokong penyatuan wilayah berbahasa Rusia dalam empayar Rusia baharu yang luas dan dengan sepenuh hati menyokong operasi Moscow di Ukraine.

Dugin diletakkan dalam senarai sekatan Barat selepas Rusia menguasai Crimea pada 2014, satu langkah yang turut disokongnya.

Setakat ini, tiada sebarang  pihak yang tampil mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

Dalam pada itu, ketua salah satu wilayah pemisah Ukraine yang memisahkan diri meletakkan kesalahan kepada pihak berkuasa Kyiv berkait kejadian pengeboman itu, lapor pula CNN.

Alexander Dugin melihat kereta yang dipandu anaknya musnah terbakar dalam kejadian letupan bom di pinggir Moscow pada lewat malam Ahad, 21 Ogos 2022. (FOTO The Postedia)

“Pengganas rejim Ukraine cuba memusnahkan Alexander Dugin, tetapi meletupkan anak perempuannya,” tulis Ketua DNR, Denis Pushilin di Telegramnya.

Penasihat Presiden Ukraine, Mykhailo Podolyak dalam pada itu menafikan pihak berkuasa Kyiv berada di belakang pengeboman itu.

“Ukraine pastinya tidak ada kaitan dengan kejadian  letupan (yang membunuh Darya Dugina) kerana kita bukan negara jenayah,” katanya dalam kenyataan di televisyen.

Jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova menulis di Telegram bahawa ‘jika teori Ukraine disahkan … ia mesti disahkan oleh pihak berkuasa yang berwibawa, dan akan menyamai keganasan negara di pihak rejim Kyiv’. – HARAKAHDAILY 22/8/2022