Kenapa ‘membantah’ bantahan konsert, kan patut bersama?

- Advertisement -

ADA pihak yang bersungguh-sungguh mempertikaikan Pemuda PAS dan Menteri Agama kerana membantah konsert artis antarabangsa, Billie Eilish setelah ia berlangsung dan bukannya sebelum itu. Ya, dibantah selepas kerana tahu penganjuran konsert itu setelah ia diadakan dan diberitakan media.

Pemuda PAS dan Menteri Agama tidak tahu sebelum itu kerana mereka bukan jenis teruja dan bukan mencari-cari hiburan seperti itu. Atau menjadikannya topik harian berbual seronok dalam banyak interaksi semasa mahupun ‘posting’ galak di segala platform media sosial.

Maka logiklah Pemuda PAS dan Menteri Agama tidak tahu, bahkan rasanya tidak kenalpun Billie Eilish. Hanya mencari maklumat setelah konsert berlaku dan tanpa ragu terus bangkit menyatakan pendirian. Kalau tahu sebelum, ia sudah tentu dibantah dan mungkin konsert itu tidak berlaku, sekali gus tidak berbangkitlah isu ini.

Persoalannya, mereka yang membantah Pemuda PAS dan Menteri Agama membantah konsert ini siapa? Mereka ini turut sama membantah penganjuran tersebut atau sebenarnya peminat konsert atau artis itu? Jika mereka sudah tahu awal akan penganjuran konsert ini, kenapa tidak laungkan sama bantahan awal di mana-mana-mana platform?

Lebih bagus kalau sejak awal diadukan mengenai maklumat penganjurannya kepada Pemuda PAS dan Menteri Agama agar dapat disuara bantahan. Jika turut membantah, maka mereka sebenarnya seia sekata dengan Pemuda PAS dan Menteri Agama. Mungkin ketika itu boleh bersama-sama menghalang kemungkaran tersebut.

Tetapi jika mereka peminat konsert atau Billie Eilish dan tiba-tiba turut sama membantah Pemuda PAS dan Menteri Agama membantah konsert itu, maka sebenarnya mereka mahu apa? Buat bising untuk memperleceh dan memperlekehkan Pemuda PAS dan Menteri Agama?

Atau menunjukkan isyarat telah ‘menang’ kerana konsert berjaya dilangsungkan dan mereka dapat hadir tanpa diketahui dan dibantah sebelumnya oleh Pemuda PAS dan Menteri Agama? Atau kononnya marah kerana ia tidak dibantah sebelum supaya dapat menyekat mereka terjebak hadir ke konsert itu? Alahai…..

Peliknya, tak bersungguh pula pihak-pihak ini mahu mencari siapa yang meluluskan konsert dan membenarkan penganjur menjemput artis dikatakan pengamal LGBTQ itu? Siapa yang sepatut menapis dan bertanggungjawab penuh atas sebarang perjalanan dan kemungkinan implikasi atas penganjuran konsert itu.

Tiba-tiba bantahan Pemuda PAS dibantah dan pendirian tegas Menteri Agama disanggah. Bahkan, tiada pula yang tolong membantah bantahan pihak yang membantah bantahan Pemuda PAS. Jadi siapa kamu dan di mana kamu berpendirian? Apakah kamu hanya menjejak sebelah kaki di tanah tidak kedua-duanya?

Malah, bantahan Pemuda PAS yang rupanya ‘ditunggu-tunggu’ itu terangan dibantah terbuka oleh entiti lain antaranya daripada DAP dengan menyelar sebagai polis moral. Mana kesungguhan pihak-pihak yang mempertikai Pemuda PAS untuk membantah bantahan pihak DAP itu?

Sikap DAP itu bukan sahaja satu kebiadaban, tetapi bermakna menyokong atau berpihak untuk konsert seperti itu bebas dianjurkan. Sudah cukup parti itu dikenali untuk setiap elemen budaya asing dibenar bebas masuk ke negara ini sepertimana sokongan mereka kepada Oktoberfest, Bon Odori dan lain-lain.

Kerana hiburan merosakkan seperti konsert itu, juga amalan-amalan bertentangan dengan agama mahupun adat masyarakat negara ini jika dapat dibesarkan, ia menjadi kemenangan moral buat DAP. Maka kerana itu parti tersebut sentiasa bimbang ada pihak bertindak seperti polis moral mengawal tatasusila masyarakat.

Pun begitu, difahamkan masih ada senarai banyak penganjuran konsert lain bakal diadakan dalam tahun ini dan tahun 2023. Jadi, patutnya saling bersama membantah, bukan mengasing-asingkan bantahan, apatah lagi ‘membantah’ bantahan dilakukan pihak lain.

Jika ada yang benar-benar turut membantah, elok juga rasanya sertai sama bantahan dengan Pemuda PAS. Tentunya suara itu akan lebih bergema dan besar pada Muktamar Pemuda PAS yang akan berlangsung di Alor Setar pada 1 September nanti. Apa kata hadir buktikannya?

IZWAN ABDUL HALIM – HARAKAHDAILY 21/8/2022

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!