‘Apabila kena bala Allah SWT kena semua’

- Advertisement -

PUCHONG: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak pernah menyokong sebarang penganjuran konsert nyanyian yang melalaikan.

Ini terutamanya apabila Malaysia baharu sahaja merasai ujian semasa dan pasca pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat.

- Advertisement -

Menterinya, Senator Datuk Idris Ahmad berkata penganjuran aktiviti sedemikian dibimbangi mengundang murka Allah SWT.

Katanya, jika Allah SWT murka dan menurunkan bala, bukan hanya individu tertentu yang menerimanya, bahkan kesemua orang termasuk dirinya.

“Lihat wabak Covid-19, setelah dua tahun bagaimana ekonomi jatuh, golongan T20 menjadi B40, golongan M40 jadi B40, kerja hilang, kilang ditutup. Bahkan hari ini pun ekonomi kita masih tidak menentu.

“Kita berharap benda sebegini (penganjuran konsert), rakyat sendiri mempunyai kesedaran apa yang mereka lakukan, kita bimbang Allah SWT murka kepada kita.

“Apabila kena bala Allah SWT, kena semua. Tidak kira Menteri Agama, tok imam dan orang yang pergi tempat maksiat,” katanya dalam sidang media Konvensyen Mahasiswa Malaysia 2022, di Dewan LKIM, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita jika pihaknya akan mengambil sebarang tindakan mengenai penganjuran konsert di Malaysia.

Turut hadir Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari. – HARAKAHDAILY 21/8/2022

- Advertisement -