PAS Selangor dukung agenda perpaduan demi survival umat

- Advertisement -

PAS Negeri Selangor menyokong penuh hasrat dan kesungguhan pimpinan tertinggi PAS termasuk Dato’ Tuan Guru Mursyidul Am PAS dan Tan Sri Tuan Guru Presiden PAS yang telah mempertegaskan supaya perpaduan ummah menjadi agenda terbesar PAS pada masa ini.  Perpaduan ummah merupakan langkah yang paling rasional dalam memastikan survival politik umat Islam di negara ini.

Kita telah berpengalaman dengan kesan perpecahan yang berlaku sebelum ini, di mana negara hampir terjerumus kepada kehancuran akibat tindakan-tindakan luar tabie golongan cauvenis liberal yang menguasai negara selepas Pilihan Raya Umum 2018. Tidak sewajarnya umat Islam mengulangi kesilapan yang sama, yang sudah tentu akan memberikan kesan yang lebih buruk pada masa akan datang.

Atas sebab itu, PAS Selangor menyeru semua parti politik utama orang Melayu Islam,  termasuk Umno dan Bersatu agar mengenepikan dahulu kepentingan parti masing-masing, demi untuk mengukuhkan perpaduan ummah dan menyelamatkan masa depan politik umat Islam di negara ini. Langkah untuk bersaing sesama sendiri akan mengakibat perpecahan yang berterusan dan membuka ruang kepada musuh untuk mengambil kesempatan.

PAS Selangor berharap ketiga-tiga parti dapat duduk semeja, melupakan persengketaan dan memikirkan agenda perpaduan ini secara mendalam, ikhlas dan penuh keinsafan di atas nama Islam. PAS Selangor percaya jika ketiga-tiga parti dapat mengambil apa sahaja langkah untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri dalam Pilihan Raya Umum akan datang, kita pasti akan dapat menyelamatkan masa depan agama,  bangsa dan negara.

PAS Selangor sekali lagi mempertegaskan bahawa kami sentiasa terbuka untuk menghulurkan perpaduan kepada mana-mana parti Melayu Islam. Kami akan mendukung pengukuhan Muafakat Nasional dan mempertahankan Perikatan Nasional demi perpaduan ini.

“Islam Menyatukan Ummah”

MOHD FADLI GHANI
Ketua Penerangan
PAS Negeri Selangor
20 Ogos 2022 – HARAKAHDAILY 20/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -