Dakwah lestari tanggungjawab semua

- Advertisement -

Oleh HAZWANI NOH

- Advertisement -

BESUT: Dakwah lestari yang kekal dengan syariat Islam adalah tanggungjawab yang mesti dipikul dan dilaksanakan oleh setiap umat Islam.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Senator Dato’ Hussin Awang berkata, dakwah adalah tanggungjawab yang dinyatakan Allah kepada Nabi dan umat Islam.

“Allah berfirman, Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.

“Nabi Muhammad SAW, pula bersabda “Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat.” Jadi kita sebagai pewaris sampaikan (dakwah) sekalipun dengan sepatah perkataan, satu kuliah atau pengajaran kerana ia menjadi tanggungjawab yang diperintah kepada kita.

“Dakwah lestari yang kekal dengan syariat Islam, itulah jadi tanggungjawab, sama ada kita seorang guru, rakyat, ahli jawatankuasa atau jadi ibu, bapa, abang, adik. Semua ada tanggungjawab,” katanya ketika merasmikan Karnival LESTARI Pusat di Kompleks Pendidikan An Nur Besut, Terengganu, hari ini.

Turut serta Pengerusi Lajnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Pusat (LESTARI), Dr Riduan Mohamad Nor dan relawan Pejabat Parlimen Besut selain anggota perubatan Papisma.

Beliau turut mengajak orang ramai menjadikan pendekatan dakwah Nabi Muhammad SAW sebagai jalan untuk melebarkan syariat Islam.

Katanya, semua perintah Allah SWT yang menurut penilaian manusia ringan atau berat, mesti ditaati dan dipatuhi sebagai hamba dalam apa jua keadaan yang dihadapi.

“Itu yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW diawal dakwah nabi, mengajak manusia bersaksi ‘Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah,” katanya.

Beliau turut berkongsi kisah Nabi Muhammad SAW semasa ditentang orang kafir Musyrikin Mekah disebabkan seruan baginda untuk menyembah Allah.

Katanya, sifat Nabi Muhammad SAW yang amanah menyampaikan apa jua yang diperintah oleh Allah, baginda juga seorang yang cerdik amanah.

“Kalau kita dakwah, ajak orang kepada Islam kembali kepada masyarakat yang taat patuh kepada Allah, tiba-tiba dihadapkan dengan tuduhan. Jangan pelik.

“Kita dibimbing dengan wahyu yang ditinggalkan Rasulullah SAW, kita diberi jaminan ada uswah hasanah. Ikutan yang terbaik, justeru jalankan tugas dakwah yang betul dan benar,” katanya.

Sementara itu, katanya, agama Islam bukan sekadar meyakini kewujudan Allah, bahkan di dalamnya terkandung luas sistem kehidupan.

“Tunduk bukan sekadar mengucap dua kalimah syahadah, tetapi diiringi ibadah solat dan puasa. Kemudian didalamnya terkandung seluruh syariat sistem kehidupan politik, pemerintahan, ekonomi dan lain-lain.

“Sebab itu semasa Rasulullah mengajar masyarakat di Mekah, ditentang oleh orang pemerintahan di Mekah, kononnya mengubah semua tradisi yang diamalkan, dibenci kerajaan dan diserang serta diperangi musuh,” katanya.

Karnival LESTARI Pusat diadakan selama dua hari dan bermula sejak semalam dengan kehadiran bekas vokalis Rusty Blade Yantzen dan Zuar XPDC.

Selain itu, terdapat juga persembahan dikir barat oleh Cikgu Sulizi, Animasi Samad, Said, dan Wokyoh serta ceramah perdana Ustaz Azhar Idrus. – HARAKAHDAILY 20/8/2022

- Advertisement -