Xi, Putin akan hadiri Sidang Kemuncak G20 di Indonesia

Vladimir Putin (kiri) dan Xi Jinping (kanan)
- Advertisement -

JAKARTA: Pemimpin China dan Rusia, Xi Jinping dan Vladimir Putin, akan menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Bali, November ini.

Presiden Indonesia, Joko Widodo yang juga dikenali sebagai Jokowi, dilaporkan memberitahu agensi berita Bloomberg, semalam bahawa Xi Jinping akan datang, manakala Presiden Putin juga telah memberitahunya akan datang.

- Advertisement -

Kementerian luar China tidak segera menjawab permintaan Reuters untuk mendapatkan komen. Pegawai Istana Presiden Indonesia juga tidak segera menjawab permintaan untuk ulasan.

Indonesia mempengerusikan Kumpulan 20 ekonomi utama dan menghadapi tekanan negara Barat untuk menarik balik jemputannya kepada Putin berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, yang negara itu panggil sebagai “operasi ketenteraan khas”.

Jokowi berusaha untuk meletakkan dirinya sebagai orang tengah antara negara-negara yang berperang dan telah bertemu kedua-dua Presiden Ukraine dan Rusia. Minggu ini, Jokowi berkata kedua-dua negara telah menerima Indonesia sebagai “jambatan keamanan”.

Pemimpin negara utama, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, akan bertemu di pulau peranginan Bali di Indonesia pada November ini. Indonesia juga menjemput pemimpin Ukraine, Volodymyr Zelenskiy. – REUTERS

- Advertisement -