Penghuni pusat pemulihan dadah maut dipercayai selepas kejadian amuk

- Advertisement -

IPOH: Seorang penghuni sebuah pusat pemulihan dadah di Padang Rengas, Kuala Kangsar maut akibat kecederaan parah dipercayai selepas kejadian amuk, pada Rabu.

Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata pihaknya menerima laporan mengenai kematian lelaki berusia 25 tahun yang beralamat di Shah Alam, Selangor itu daripada doktor bertugas di Hospital Kuala Kangsar.

- Advertisement -

Beliau berkata mangsa yang dibawa dengan sebuah kereta tiba di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu pada 8.10 malam dan disahkan meninggal dunia.

“Pesakit (mangsa) telah dibawa oleh seorang ustaz dan tiga orang warden daripada pusat pemulihan dan doktor itu difahamkan mangsa tidak sedarkan diri sejak kira-kira pukul 7 petang.

“Mangsa kemudian dibawa ke wad kecemasan bagi ujian COVID-19 dan X-ray keseluruhan tubuh mangsa kerana terdapat kesan luka di bahagian dahi serta kesan lebam di bahagian muka, mata kiri, dada, kedua-dua belah kaki dan tangan mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata hasil temu bual dengan pengasas dan warden pusat itu mendapati mangsa telah bercakap seorang diri dan cuba melarikan diri pada tengah hari kejadian, namun berjaya ditangkap sebelum bertindak cuba mencederakan seorang warden menggunakan sebilah pisau lalu mengamuk.

Menurut Azizi, warden telah menumbuk bahagian badan mangsa beberapa kali untuk menenangkannya, namun pada pukul 4.45 petang, mangsa cuba melarikan diri sekali lagi dan terjun dari tangga tingkat satu bangunan yang berketinggian kira-kira lapan meter.

Katanya, selepas berjaya ditangkap semula, mangsa diikat kaki dan tangan menggunakan kain lalu ditempatkan di dalam bilik tetamu, namun mangsa beberapa kali menghentak kepalanya pada lantai dan dinding sehingga berdarah, sebelum warden mendapati mangsa tidak sedarkan diri pada 7.45 malam dan membawanya ke hospital.

Azizi berkata bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar pagi tadi mendapati punca kematian adalah kecederaan parah pada bahagian dada serta otot-otot dan tisu badan disebabkan trauma tumpul.

Susulan itu, katanya polis menahan ustaz dan tiga warden berusia lingkungan 20 dan 30an terbabit hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – BERNAMA

- Advertisement -