Pendakwaan sambung hujah dalam rayuan kes SRC Najib

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Pihak pendakwaan akan meneruskan hujahan lisan mereka dalam pendengaran rayuan kes SRC International Sdn Bhd Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V.Sithambaram membentangkan penghujahan pada 9.30 pagi ini di hadapan panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

- Advertisement -

Hari ini merupakan hari kedua rayuan itu didengar di hadapan panel yang turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd.

Semalam, mahkamah menolak permohonan peguam Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik diri daripada mewakili Najib dan memerintahkan pihak pendakwaan untuk membentangkan penghujahan.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda. – BERNAMA

- Advertisement -