PAS sasar hadapi PH di Selangor satu lawan satu

Setiausaha Perhubungan Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir
- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Kempen keahlian PAS Pilihanku 4.0 bukti penerimaan rakyat Selangor terhadap agenda penyatuan ummah.

Menurut Setiausaha Perhubungan Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, pihaknya menerima keahlian baru bulanan yang memberangsangkan di negeri itu.

- Advertisement -

“Sejak PAS Pusat melancarkan Kempen PAS Pilihanku 4.0 pada 25 Jun lalu, kesemua 22 kawasan PAS seluruh Selangor telah menerima permohonan keahlian baru PAS pada bilangan yang luar biasa.

“Ini tidak terhad di kawasan majoriti Melayu seperti Kapar, Gombak, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Sungai Besar semata-mata, malah termasuklah di kawasan majoriti bukan Melayu seperti Subang, Kota Raja dan Damansara,” katanya dalam satu kenyataan Media, hari ini.

Menurut Roslan, pada Julai tahun ini, sebanyak 1,205 permohonan ahli baru telah diterima PAS Selangor, menjadikan angka terbaik untuk setahun bagi beberapa tahun kebelakangan ini.

Katanya, setakat pertengahan Ogos ini sebanyak lebih 500 permohonan keahlian baru telah diterima dan dijangka mencecah empat angka pada penghujung Ogos nanti.

Katanya lagi, PAS Selangor yakin agenda penyatuan ummah merupakan teras politik masa depan negeri itu, khasnya bagi menumbang dan mengambil-alih kerajaan negeri dari tangan Pakatan Harapan (PH).

Justeru, beliau yakin peningkatan mendadak keahlian baru PAS di Selangor adalah indikator penerimaan rakyat khasnya umat Melayu Islam terhadap agenda dan perjuangan PAS ini.

“PAS akan mensasarkan berdepan PH pada PRU (Pilihan Raya Umum) ke-15 ini di Selangor, dengan satu lawan satu. Segala usaha sedang dijalankan untuk menjalin permuafakatan dengan parti-parti rakan dengan fokus menumbangkan PH.

“Pada 21 Ogos ini (Ahad), jam 8.30 pagi, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin akan melancarkan Kempen PAS Pilihanku 4.0 peringkat Negeri Selangor bertempat di Markaz PAS Kawasan Sg Besar.

“Selangor telah membuktikan bahawa agenda penyatuan ummah telah berjaya menundukkan PH sebagaimana berlaku dalam Pilihan Raya Kecil DUN Semenyih Mac 2019 lalu apabila gabungan kekuatan jentera PAS dan BN Selangor bergabung menghadapi PH satu lawan satu.

“Tidak mustahil jika agenda seumpama ini diteruskan tempoh kerajaan PH akan tamat Pilihan Raya Umum ke 15 nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/8/2022

- Advertisement -