Iktibar agung surah al-Isra’ (10)

- Advertisement -

DALAM perbincangan yang lalu, kita telah dijelaskan mengenai beberapa perintah Allah S.W.T dan larangan-Nya. Antaranya ialah:

1. larangan makan harta anak yatim kecuali dengan cara yang dibenarkan oleh syara’, 

2. Menyempurnakan janji dengan Allah S.W.T dan sesama manusia, 

3. Menyempurnakan timbangan dan sukatan di dalam perniagaan, 

4. Larangan melakukan atau bercakap mengenai sesuatu perkara yang kita tidak ketahui, perkara itu mestilah berasaskan maklumat dan ilmu pengetahuan yang kita ada kerana semuanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan-Nya, dan 

5. Larangan supaya kita tidak berjalan dengan berlagak sombong kerana setara mana pun kaki kita menghempas ke atas tanah, tidak akan menembusi bumi dan setara mana pun kita mengangkat dada ke langit, tidak akan dapat menandingi gunung atau bukit. 

Semua larangan tersebut ialah perbuatan yang tidak baik, menyalahi panduan-Nya dan dibenci oleh-Nya:

- Advertisement -

ذَٰلِكَ مِمَّآ أَوْحَىٰٓ إِلَيْكَ رَبُّكَ مِنَ ٱلْحِكْمَةِ وَلَا تَجْعَلْ مَعَ ٱللَّهِ إِلَٰهًا ءَاخَرَ فَتُلْقَىٰ فِى جَهَنَّمَ مَلُومًا مَّدْحُورًا

“Perintah yang demikian itu ialah sebahagian dari hikmat yang telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) oleh Tuhanmu. Dan (ingatlah) janganlah engkau jadikan bersama-sama Allah sesuatu yang lain yang disembah, kerana akibatnya engkau akan dicampakkan ke dalam neraka Jahannam dengan keadaan tercela dan tersingkir (dari rahmat Allah).”

(al-Isra’: 39)

Segala perintah dan larangan-Nya merupakan hikmah atau kebijaksanaan agar kita hidup dalam keadaan baik, sempurna dan memperoleh kedamaian. Ayat ini merupakan rumusan dan ia mengingatkan kita mengenai akidah tauhid. Ayat sebelumnya seperti dalam ayat ke-23 ada menjelaskan agar kita menyembah Allah S.W.T dan tidak mensyirikkan-Nya. Maka, ayat ini menjadi peringatan kepada kita supaya kekal atas akidah tauhid. Sebab jika tidak, kita akan dicampakkan ke dalam Neraka Jahannam iaitu neraka yang paling bawah. 

Tauhid kepada Allah S.W.T ialah asas bagi agama Islam. Janganlah kita menyebabkannya rosak kerana selain daripada tauhid, terdapat kepercayaan lain iaitu Unity, Dualisme, Trinity dan Politeisme. Unity adalah umpama tauhid.

Dualisme adalah mempercayai bahawa Tuhan ada dua seperti kepercayaan dalam agama Majusi dan agama Mazdak atau Mazdakisme di Iran iaitu Tuhan Cahaya dan Tuhan Kegelapan. 

Trinity disebut sebagai Trimurti dalam bahasa Hindu yang merujuk kepada Brahma, Shiva dan Vishnu atau dalam agama Kristian pula, ia dianggap sebagai Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Roh Kudus. Senjata yang digunakan oleh paderi adalah lembing mata tiga yang melambangkan Trimurti.

Penganut Kristian mempercayai bahawa Nabi Isa A.S. mati disalib. Kita orang Islam pula mempercayai bahawa Nabi Isa diangkat ke langit. Semasa tentera Rom mengelilingi Nabi Isa, Allah menukar rupa salah seorang pengikutnya iaitu Yahuza dengan rupa Baginda. Yahuza ialah seorang pengkhianat yang membuat aduan mengenai keberadaan Nabi Isa. Maka, Nabi Isa terselamat dan tidak mati dibunuh.

Politeisme adalah menyembah Tuhan yang banyak misalnya orang asli dan dalam amalan agama Hindu. Pengamal agama Hindu beramal dengan Trinity pada masa yang sama. Dalam agama China lama pun begitu, juga agama Jepun yang bercampur dengan agama Buddha. 

Nama asal bagi agama Jepun ialah Shinto. Perkembangan Buddha telah sampai ke Jepun dan China walaupun ia berasal dari benua India di Kapilavastu. Di India pula, agama yang dominan selepas Islam ialah agama Hindu. Terdapat banyak orang Buddha di China, Korea, Jepun dan Taiwan. Pusat penyebaran agama Hindu dan Buddha pada suatu ketika dahulu adalah di Pulau Jawa. Oleh sebab itu, terdapat Candi Borobudur yang besar di sana. Terdapat satu lagi candi yang masyhur di Jogja ialah Candi Prambanan yang kecil. 

Islam adalah berbeza dengan agama lain disebabkan oleh akidah tauhid. Kita mempercayai bahawa Tuhan tiada sebarang rupa dengan rupa yang difahami oleh manusia. Oleh sebab itu, kita tidak boleh melukis bentuk Tuhan secara abstrak atau erti lainnya adalah maknawi atau ghaib.

Asas percaya kepada Islam adalah percaya kepada perkara ghaib. Allah S.W.T itu sendiri sifatnya adalah ghaib iaitu tidak dapat dilihat dengan mata, tidak dapat didengar oleh telinga dan disentuh. Nabi Muhammad S.A.W sendiri pun tidak melihat-Nya ketika menghadap-Nya di Sidratul Muntaha dalam menerima perintah solat. 

Allah S.W.T. juga menjelmakan suara-Nya kepada Nabi Musa A.S dalam belukar di mana kisah ini telah disebut dalam Surah Taha. Dia menyuruh Nabi Musa dan pengikutnya agar menunaikan solat untuk mengingati-Nya cuma solat pada ketika itu adalah tidak sama dengan solat yang diajarkan kepada Nabi S.A.W. 

Solat yang sekarang adalah gabungan solat-solat Nabi terdahulu. Sebab Nabi terdahulu ada yang berdiri sahaja, sujud sahaja, rukuk sahaja dan duduk sahaja. Nabi Musa A.S boleh bercakap dengan Allah tetapi tidak melihat rupa-Nya. Sebab kita boleh melihat Allah S.W.T adalah apabila kita berjaya masuk ke dalam syurga dan ini adalah nikmat terbesar.

Walaupun ada khilaf antara ulamak contohnya daripada kalangan ulamak Muktazilah, mereka berkata bahawa kita tidak boleh melihat Allah S.W.T kerana zat-Nya yang berlainan. Seandainya kita dapat melihat-Nya, kita sudah meletakkan-Nya bertempat dan berbentuk. Ru’yatullah (melihat Allah) adalah pandangan secara mata batin atau kita menggambarkan orang yang tidak pernah kita jumpa di dalam hati. Ru’yatullah juga bermaksud kita melihat nikmat-nikmat di dalam syurga. 

Mengikut pandangan Ahli Sunnah Wa al-Jama’ah, Hadis Riwayat Jarir bin Abdillah R.A: 

كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم إِذْ نَظَرَ إِلَى الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ فقَالَ: “‏إِنَّكُمْ سَتَرَوْنَ رَبَّكُمْ كَمَا تَرَوْنَ هَذَا الْقَمَرَ لاَ تُضَامُّونَ فِي رُؤْيَتِهِ”

“Suatu hari kami duduk bersama Rasulullah S.A.W dan Baginda melihat kepada bulan pada malam bulan mengambang lalu bersabda: “Kalian akan melihat Tuhan kalian sepertimana kalian melihat bulan ini dan kalian tidak akan mempunyai masalah untuk melihat-Nya.” [1]

Kita tidak ketahui akan hakikatnya namun kita hendaklah memastikan agar kita diberikan rahmat-Nya dan dimasukkan ke dalam syurga. Akidah mendorong kita untuk melakukan perkara yang baik dan meninggalkan perkara yang dilarang. Jika kita tidak percaya kepada Tuhan, maka tiadalah dorongan kerana kita melaksanakan perkara yang baik untuk masuk ke dalam syurga dan meninggalkan perkara yang dilarang kerana takut masuk ke dalam neraka. 

Seperti seorang ayah yang berpesan kepada anaknya jika tidak pergi ke sekolah, maka ayahnya akan merotannya. Jika anak itu percaya pada pesan ayahnya, dia akan pergi ke sekolah dan sebaliknya jika anaknya tidak percaya dan berasa was-was, anaknya tidak akan pergi ke sekolah. 

Maka, jika kita yakin dengan apa yang Allah beritahu; kita akan masuk ke dalam syurga apabila kita melaksanakan sesuatu perkara, maka kita akan tetap melaksakannya walau ia susah setara mana pun. Contoh, kita sanggup bangun untuk menunaikan solat Subuh walaupun dalam keadaan sejuk dan tubuh kita yang letih. Nak bangun adalah bukan suatu yang senang kerana sesetengah daripada kita apabila mendengar azan Subuh, sempat lagi menutup telinga. Tetapi kita tetap bangun walaupun terpaksa mandi pada waktu pagi, maknanya kita percaya dengan janji Tuhan dan takut pada ancaman-Nya:

أَفَأَصْفَىٰكُمْ رَبُّكُم بِٱلْبَنِينَ وَٱتَّخَذَ مِنَ ٱلْمَلَٰٓئِكَةِ إِنَٰثًا إِنَّكُمْ لَتَقُولُونَ قَوْلًا عَظِيمًا

“(Jika demikian wajibnya mengesakan Allah, maka patutkah kamu mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak, dan anak itu pula dari jenis yang kamu tidak sukai?). Adakah Tuhan kamu telah memilih anak-anak lelaki untuk kamu dan Dia mengambil untuk diri-Nya anak-anak perempuan dari kalangan malaikat? Sesungguhnya kamu adalah memperkatakan dusta yang amat besar.”

(al-Isra’: 40)

Allah S.W.T memberitahu ayat ini kepada kaum Musyrikin kerana mereka tidak menyukai anak perempuan. Mereka beranggapan bahawa anak perempuan akan menyusahkan dan tidak boleh membela diri apabila berperang. Anak perempuan juga dianggap akan menjadi aib buat mereka apabila kalah dalam peperangan kerana akan dirogol, dijual sebagai hamba atau dijadikan sebagai pemuas nafsu sahaja. 

Berbeza dengan anak lelaki yang boleh membela diri apabila berperang. Bukan semua orang Arab bertindak sedemikian cuma terdapat hanya beberapa kabilah sahaja. Disebabkan oleh mereka tidak menyukai anak perempuan, mereka memberitahu bahawa Tuhan mempunyai anak perempuan iaitu malaikat manakala mereka mempunyai anak lelaki. Inilah penyelewengan yang menghina Tuhan yang dilakukan oleh mereka:

وَلَقَدْ صَرَّفْنَا فِى هَٰذَا ٱلْقُرْءَانِ لِيَذَّكَّرُوا۟ وَمَا يَزِيدُهُمْ إِلَّا نُفُورًا

“Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan jalan-jalan menetapkan i’tiqad dan tauhid dengan pelbagai cara di dalam al-Quran ini supaya mereka beringat (memahami dan mematuhi kebenaran); dalam pada itu, penerangan yang pelbagai cara itu tidak menjadikan mereka melainkan bertambah liar.”

(al-Isra’: 41)

Dalam al-Quran, Allah S.W.T mendatangkan bermacam-macam perbandingan, contoh dan gambaran bertujuan supaya kita sampai kepada kebenaran dan melihat sifat tauhid yang ada pada-Nya. Namun, orang yang hatinya tertutup akan semakin jauh dengan-Nya. Contoh, orang yang tidak menunaikan solat serta diuji dengan sakit dan musibah, namun dia tetap tidak menunaikan solat dan berasa insaf. 

Penyakit dan bala itu adalah untuk memperbetulkannya. Seperti apabila kita menjerkah anak kita supaya tidak bermain di tengah jalan akibat takut dilanggar dengan kereta, maka dia akan berasa takut. Namun anak yang degil tetap akan bermain walaupun kita telah melarangnya. Inilah perangai orang Musyrikin. 

Kita sebagai orang yang beriman perlu muhasabah kembali dan menyedari bahawa segala ujian atau bencana yang berlaku terhadap kita adalah satu cara peringatan-Nya. Sakit boleh menjadi faktor dosa kita banyak. Jika kita tidak sakit, mungkin kita tidak ingat akan dosa. Sebab kita berasa yang kita tiada dosa dan selalu baik. Inilah teguran buat kita yang perlu diambil perhatian supaya ia memberikan keinsafahan dan kita kembali kepada jalan yang benar.

Jangan pula kita mengambil sikap orang yang tidak beriman. Contoh, walaupun sudah ditangkap dan masuk penjara, asalnya menjadi pencuri tetapi apabila keluar dari penjara, menjadi perompak pula. Ini yang kita tidak mahu. Biar apabila berdepan dengan bala bencana, kita menjadi semakin baik. Ulamak ada berpesan, jadilah umpama besi yang berkarat, apabila dibakar dan diketuk, ia menjadi semakin bersih:

قُل لَّوْ كَانَ مَعَهُۥٓ ءَالِهَةٌ كَمَا يَقُولُونَ إِذًا لَّٱبْتَغَوْا۟ إِلَىٰ ذِى ٱلْعَرْشِ سَبِيلًا

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah ada Tuhan-tuhan yang lain bersama-sama Allah, sebagaimana yang mereka katakan itu, tentulah Tuhan-tuhan itu akan mencari jalan kepada Allah yang mempunyai Arasy (dan kekuasaan yang mutlak).”

(al-Isra’: 42)

Allah S.W.T. menjawab pandangan orang bukan-Islam yang beranggapan bahawa ada Tuhan selain Allah. Jika ada banyak Tuhan, sudah tentu akan berebut untuk naik ke langit. Sebab tempat Allah bersemayam adalah di Arasy. 

Dalam satu Hadis, Nabi S.A.W pernah bertanya kepada orang Arab kampung sama ada dia percaya atau tidak dengan kewujudan Tuhan dan Tuhan berada di mana? Dia menjawab bahawa dia percaya dan Tuhan itu berada di langit. Jawapannya itu dikira sudah memadai [2].

Dalam agama Hindu, terdapat bermacam-macam Tuhan di bumi, bukan nak menghina tetapi itulah kepercayaan mereka. Apabila terjumpa pokok besar atau sesuatu yang kelihatan pelik, mereka akan mengambilnya dan menyembahnya kerana mereka percaya bahawa di situ ada Tuhan mereka. Mereka juga mengakui bahawa terdapat beberapa tempat di mana Tuhan mereka beranak. Contoh, Masjid Babri di India telah dirobohkan kerana menganggap tuhan mereka lahir di situ sehingga berlaku pertelingkahan yang besar di India pada suatu ketika dahulu.

Jadi, jika Tuhan ada banyak seperti yang difikirkan oleh orang kafir, semuanya akan berebut untuk naik ke langit dan berebut kuasa. Maka, apa-apa yang dikatakan oleh mereka adalah tidak betul sama sekali. Tiada Dualisme, Trinity dan Politeisme mahupun syirik kerana Tuhan adalah Esa:

سُبْحَٰنَهُۥ وَتَعَٰلَىٰ عَمَّا يَقُولُونَ عُلُوًّا كَبِيرًا

“Maha Sucilah Allah dan tertinggilah Ia setinggi-tingginya, jauh dari apa yang mereka katakan itu.”

(al-Isra’: 43)

تُسَبِّحُ لَهُ ٱلسَّمَٰوَٰتُ ٱلسَّبْعُ وَٱلْأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ وَإِن مِّن شَىْءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِۦ وَلَٰكِن لَّا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ إِنَّهُۥ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا

“Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.”

(al-Isra’: 44)

Langit dan bumi merupakan tanda kewujudan dan kebesaran-Nya. Langit mempunyai tujuh lapisan dan bumi juga mempunyai tujuh lapisan. Langit yang kita lihat adalah langit dunia yang mengandungi segala planet di dalamnya. Selepas langit dunia, ada beberapa lapisan lagi. Semasa peristiwa Israk Mikraj, Nabi Muhammad S.A.W naik dan Jibril akan mengetuk pintu langit setiap kali naik membawa Baginda S.A.W sehingga bertemu dengan Allah S.W.T.

Langit yang terakhir ialah Sidratul Muntaha. Lapisan-lapisan langit tidak diketahui rupanya walaupun ada disebut di dalam kitab Israk Mikraj bahawa ia daripada tembaga, emas, perak dan sebagainya. Langit dunia yang kita lihat sudah pun tinggi. Setakat ini hanya Syeikh Muszaffar dah sampai ke bulan. Itu baru langit dunia iaitu lapisan yang paling bawah. 

Setiap hari malaikat naik melalui lapisan langit itu. Kita sampai ke bulan pun tidak pernah dan mustahil. Sebab untuk menjadi angkasawan, kita mestilah betul-betul sihat, begitu juga dengan juruterbang. Juruterbang membawa kapal terbang ke langit sejauh 30,000 kaki. Bayangkanlah.

Langit dunia pun tidak terfikir dek akal kita, ia tergantung di atas sana dan tiada langsung tiang yang dijumpai. Lain dengan kita, satu tiang pun tidak gagah, tengoklah masjid, ada banyak tiang. 

Batu di Masjidil Aqsa yang tergantung di udara pun pelik. Semasa Rasulullah S.A.W hendak naik ke langit, Baginda berhenti di batu lalu Jibril membawa Baginda naik dan batu itu turut mahu mengikuti namun Jibril menghalangnya. Inilah contoh kebesaran Allah S.W.T. Namun, ramai antara kita walaupun sudah ada tanda di depan mata, kita masih tidak mahu perhatikan.

Semua makhluk sentiasa bertasbih dan memuji kepada Allah S.W.T cuma kita yang tidak mengetahuinya. Besarnya kekuasaan Allah dan sifat makhluk-makhlukNya. Jauh bezanya dengan kita manusia yang amat susah untuk bertasbih apatah lagi beristighfar.

Antara amalan yang afdhal ialah empat kalimah iaitu Subhanallah, Alhamdulillah, Laa Ilaha Illallah, Allahu Akbar. Abu Hurairah R.A meriwayatkan Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Membaca Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah wallahu akbar lebih aku sukai daripada seisi dunia. [3]” 

Kalimah Subhanallah wa Bihamdihi juga merupakan kalimah yang paling utama. Diriwayatkan dari Abi Dzar, Rasulullah pernah ditanya, yang bermaksud “Perkataan apa yang paling utama?” Beliau menjawab yang bermaksud: “Yang dipilih oleh Allah bagi para Malaikat dan hamba-hamba-Nya iaitu Subhanallah wa Bihamdihi (Maha Suci Allah dengan segala puji bagi-Nya). [4]” 

Maknanya semua bermula dengan tasbih. Nak mudah, amalkanlah tasbih Nabi Yunus A.S. iaitu: 

لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

 “Ya Allah, Tiada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Tuhan. Sesungguhnya aku telah menganiaya diriku sendiri dan aku termasuk golongan orang yang zalim.”

Kalau boleh janganlah meninggalkan kalimah-kalimah ini atau yang terdapat dalam Ratib Al Hadad selepas solat. 

Bacalah Subhanallah wa Bihamdihi sebanyak 100 kali selepas solat Subuh, Insya-Allah, Allah akan mengampunkan dosa-dosa kita yang kecil. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa mengucapkan Subhanallah wa Bihamdihi seratus kali dalam sehari, ia akan diampuni segala dosanya sekalipun dosanya itu sebanyak buih di laut. [5]” (Hadis Riwayat Muslim dan at-Tirmidzi)

Inilah dua kalimah yang ringan di mulut namun berat di timbangan mizan iaitu pahalanya amat besar dan dikasihi oleh Allah Yang Maha Pengasih. Ia antara kalimah yang Allah sukai. Jadi, kita haruslah melatih diri dalam memuji Allah S.W.T: 

وَإِذَا قَرَأْتَ ٱلْقُرْءَانَ جَعَلْنَا بَيْنَكَ وَبَيْنَ ٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِٱلْأخِرَةِ حِجَابًا مَّسْتُورًا

“Dan apabila engkau membaca al-Quran (wahai Muhammad), Kami jadikan perasaan ingkar dan hasad dengki orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu sebagai dinding yang tidak dapat dilihat, yang menyekat mereka daripada memahami bacaanmu.”

(al-Isra’: 45)

Apabila Nabi Muhammad S.A.W membaca al-Quran, ia menjadi pendinding yang memisahkan antara iman dan kufur. Sebab al-Quran membawa kalimah Allah iaitu kebenaran. Ada dinding antara kebenaran dan kepalsuan. Jika kita ingin melihat sesuatu isu yang berlaku, kita haruslah melihatnya dengan kaca mata al-Quran. Lagakannya dan dari situ kita akan nampak mana yang betul dan mana yang salah. Jadi, kita hendaklah mendekati al-Quran. 

Sebab hari ini ramai yang keliru dengan kebenaran dan ada juga yang tidak nampak langsung kebenaran. Orang yang baik dianggap jahat dan orang yang jahat dianggap baik. Ada yang mempercayai internet, apabila ada sahaja dalam internet, dikiranya itu adalah betul. Dunia maya hari ini ibarat kedai kopi, maknanya tidak semestinya betul. Oleh itu, apa-apa berita yang kita baca, telitilah terlebih dahulu. Janganlah mudah sangat ‘forward’. Kita mestilah bertabayyun iaitu memeriksa sumbernya. Jangan terus menyampaikan apa-apa berita yang diterima, ‘Check’ terlebih dahulu sama ada betul atau tidak. 

Jika kita memberitahu semua perkara yang kita dengar, maka semuanya akan rosak. Seperti mana Hadis yang diriwayatkan oleh Hafs bin Asim R.A, Nabi S.A.W bersabda: 

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

 “Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan semua yang didengarinya (tanpa tabayyun) [6]” 

Ilmu pun ada ahlinya. Contoh, belajar ada sukatannya, bermula dengan tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, maktab atau kolej dan universiti, kemudian ada ijazah pertama, kedua dan PhD (Doctor of Philosophy). Jika kita mengajar sukatan sekolah menengah kepada kanak-kanak tadika, mereka tidak dapat memahaminya. Apabila kita menjaga kaedahnya, hidup kita akan teratur. Berkemungkinan apa yang kita beritahu itu adalah betul, tetapi tidak sesuai pada tempatnya. Contoh, kita menceritakan keseronokan berkahwin kepada kanak-kanak yang berumur 5 tahun. 

Semasa zaman Nabi Muhammad S.A.W, Huzaifah bin al-Yaman ialah seorang pemegang rahsia Nabi. Nabi S.A.W menyampaikan ilmu orang munafik kepadanya sahaja. Beliau pun tidak ajarkan kepada orang lain. Jadi, beliau mengetahui siapa orang munafik di Madinah kerana Nabi S.A.W tidak pergi menyembahyangkan solat jenazah orang munafik. Justeru, janganlah kita hendak mencurahkan belaka ilmu yang kita ada kepada sasaran yang tidak sesuai. Contoh, apabila hendak menangkap ketam, ikan keli, ikan haruan atau ikan puyu, kita mestilah ada ilmunya kerana ia tidak mudah:

وَجَعَلْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ أَكِنَّةً أَن يَفْقَهُوهُ وَفِىٓ ءَاذَانِهِمْ وَقْرًا وَإِذَا ذَكَرْتَ رَبَّكَ فِى ٱلْقُرْءَانِ وَحْدَهُۥ وَلَّوْا۟ عَلَىٰٓ أَدْبَٰرِهِمْ نُفُورًا

“Dan Kami jadikan (perasaan itu sebagai) tutupan yang berlapis-lapis atas hati mereka, juga sebagai penyumbat pada telinga mereka, yang menghalang mereka dari memahami dan mendengar kebenaran al-Quran; dan sebab itulah apabila engkau menyebut nama Tuhanmu sahaja di dalam al-Quran, mereka berpaling undur melarikan diri.”

(al-Isra’: 46)

Hati orang yang tidak beriman akan ditutup berlapis-lapis. Oleh sebab itu, apabila membaca al-Quran, ia tidak masuk ke dalam hati. Apabila ada orang yang membaca al-Quran dan Hadis, dengarlah elok-elok dan janganlah dari awal lagi kita sudah tidak mahu mendengarnya kerana itu adalah tanda bahawa hati kita telah tertutup. 

Al-Quran diturunkan untuk membuka pintu hati manusia. Jika kita selalu membaca al-Quran, makhluk jahat tidak akan mendekati kita. Selepas solat, janganlah kita tinggalkan ayat Kursi kerana ia akan memudahkan kita untuk masuk ke dalam syurga dan menjadi dinding utama daripada gangguan syaitan. 

Ulamak berpesan agar kita selalu membaca ayat ini selepas solat, ketika keluar rumah, naik kereta, tiba di tempat yang tidak biasa dan ketika hendak tidur malam. Sebab kita tidak tahu apa yang bakal kita berdepan. Jadi, kita berharap agar Allah S.W.T menjaga diri kita. Para malaikat berarak beramai-ramai mengiringi ayat ini ketika ia diturunkan, inilah kehebatan ayat ini. Kursi bermakna singgahsana Allah S.W.T. Orang yang beriman hendaklah menghafal dan membacanya.

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 15 Ogos 2022 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 19/8/2022

Rujukan:

[1] Hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari (7434) dan Muslim (633).

[2] Hadis sahih riwayat Imam Muslim (537).

[3] Hadis sahih riwayat Imam Muslim.

[4] Hadis sahih riwayat Imam Muslim.

[5] Hadis Muttafaqun Alaihi riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

[6] Hadis riwayat Imam Muslim (1/10) dalam Muqaddimahnya.

- Advertisement -