Hujan lebat cetus malapetaka di New Zealand

- Advertisement -

WELLINGTON: Hujan lebat melanda beberapa kawasan New Zealand untuk hari keempat hari ini, memaksa ratusan orang meninggalkan rumah mereka apabila sungai melimpahi tebing dan keadaan tanah tidak stabil.

Nelson di pantai utara Pulau Selatan, paling teruk terjejas dengan lebih 400 penghuni rumah dipindahkan dan beberapa rumah diisytiharkan tidak boleh didiami kerana hujan.

- Advertisement -

“Kerosakan yang saya lihat di Nelson sangat menyayat hati dan saya fikir kita memerlukan masa bertahun-tahun untuk pulih,” kata Pengawal Kumpulan Pertahanan Awam Nelson Tasman, Alec Louverdis.

“Ketika kami memandu terdapat gelinciran di mana-mana,” katanya merujuk kepada tanah runtuh.

Penyedia ramalan cuaca, Metservice, berkata Nelson menerima 172 milimeter (mm) hujan sejak Selasa lalu, iaitu lebih daripada dua kali ganda purata hujan bulan Ogos.

Penduduk Nelson juga diarah untuk menjimatkan penggunaan air berikutan masalah sistem air di bandar itu.

Perkhidmatan pertahanan awam juga memberi amaran kepada orang ramai supaya menjauhi pantai kerana ombak setinggi tiga meter di beberapa kawasan pantai.

Keadaan banjir yang melanda bandar Nelson di New Zealand

Pasukan Pertahanan New Zealand mempunyai kakitangan yang membantu dengan pemindahan dan kerja pencegahan banjir.

Selepas berminggu-minggu dilanda hujan, ribut hujan terbaharu menyebabkan keadaan bertambah lembab di New Zealand. Pakar mengaitkan keadaan cuaca lembab sekarang dengan aliran wap air yang sempit, atau “sungai atmosfera”.

Hujan lebat turut melanda Pulau Utara New Zealand sejak 24 jam lalu dengan beberapa bandar terputus hubungan, jalan raya dan rumah ditenggelami banjir menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan.

Pertahanan Awam Northland berkata, banjir dijangka berkurangan apabila air pasang surut pada hari ini, tetapi beberapa jalan masih terputus.

Amaran hujan lebat kekal sehingga tengah malam pada hari ini. – REUTERS

- Advertisement -