Tutup Crackhouse selamanya: Syabas DBKL

Noor Najhan Mohamad Salleh

Oleh NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: “Tahniah dan syabas diucapkan kepada kepada pihak-pihak berwajib yang telah mengambil tindakan segera di dalam menyelesaikan isu-isu seperti ini,” ujar Pengarah Jabatan Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat, Ustaz Noor Najhan Mohamad Salleh.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan bahawa pemilik Crackhouse Comedy Club (Crackhouse) yang telah disenarai hitam seumur hidup daripada mendaftarkan lesen perniagaan mana-mana premis di sekitar ibu negara ini.

Advertisement

Ia adalah merujuk kepada kenyataan media Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, semalam yang berkata Jawatankuasa Pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bermesyuarat pada 29 Julai lepas, bersetuju membatalkan lesen perniagaan kelab komedi berkenaan berkuat kuasa 30 Julai lalu.

Sehubungan itu, DBKL  juga mengumumkan telah mengambil keputusan untuk menyenaraihitamkan pemilik kelab berkenaan daripada mendaftarkan lesen perniagaan di Kuala Lumpur buat selama-lamanya. 

“Ini bermakna pemilik kelab itutidak boleh mendaftarkan sebarang aktiviti perniagaan di Kuala Lumpur walaupun menggunakan nama dan syarikat berlainan selepas ini,” ujar Jalaluddin. 

Mengulas lanjut, Ustaz Noor Najhan berkata, keputusan DBKL itu sesuatu yang wajar dan tepat.    

Menurut beliau, tindakan tegas terhadap kelab komedi tersebut perlu dibuat dalam menunjukkan ‘izzah’ agama itu sendiri. 

“Di sini, kita perlu melihat apa jua unsur-unsur atau elemen yang boleh mengganggu kemurnian agama walaupun dilakukan oleh penganut agama tersebut  khususnya agama Islam. 

“Izzah adalah merujuk kepada kesucian atau kemuliaan, sebuah harga diri dan kehormatan perempuan sebagai seorang Muslimah,” ujarnya kepada HarakahDaily.

Beliau turut memberitahu bahawa tidak dapat dinafikan dalam kehidupan ini, sebahagian daripada masyarakat kita memerlukan hiburan. 

Namun begitu, setiap hiburan yang akan ditayang dan dipersembahkan di mana-mana tempat terbuka mahupun tertutup seharusnya memerlukan garis panduan yang lengkap agar ia tidak menyentuh sensitiviti agama Islam, mahupun agama-agama lain di negara ini.

“Ia bukan perkara yang boleh dibuat main-main,” tegasnya..

Nuridah Mohd Salleh

Dalam masa yang sama, Noor Najhan  turut menyarankan agar bukan setakat DBKL sahaja yang mengambil tindakan tegas sebegitu. 

“Malah, kebersamaan semua pihak termasuk masyarakat awam juga memainkan peranan penting untuk turut melaporkan kepada pihak berwajib agar diambil tindakan yang sepatutnya.

“Secara tidak langsung ia dapat mencegah perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku lagi pada masa hadapan. 

“Pihak berkuasa tempatan di lain-lain tempat atau negeri juga perlu mengambil tindakan segera yang sama seperti yang telah dilakukan oleh pihak DBKL kepada pemilik Crackhouse Comedy Club,” ujarnya.

Menurut beliau, hal ini supaya perkara ini dijadikan sebagai peringatan kepada pihak yang cuba bermain  dengan sensitiviti agama di negara ini. 

Sehubungan itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh  pula berkata, arahan daripada Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama supaya tindakan tegas dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga membuktikan komitmen untuk mengelakkan agama Islam dipersendakan. 

Menurutnya, tindakan tegas perlu diambil dengan segera supaya rakyat tidak menjadikan agama sebagai bahan lawak. 

“Syabas atas tindakan pantas DBKL yang telah menggantung sementara operasi premis berkenaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah menahan wanita tersebut (Siti Nur Amira Abdullah). 

“Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan menyeru rakyat Malaysia agar tidak menjadikan agama sebagai bahan sendaan dan semua pihak mesti bekerjasama untuk menghalang perkara sebegini dari berleluasa demi keharmonian negara,” katanya menerusi kenyataan di laman sosialnya pada 15 Julai yang lalu.

Nuridah turut menyeru agar semua pihak tidak menjadikan agama sebagai bahan sendaan dan mesti bekerjasama menghalang perkara sebegini dari berleluasa demi keharmonian negara.

Terdahulu pada 13 Julai lalu, media melaporkan Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini, yang digantung sementara operasi oleh DBKL pada 10 Julai lalu didapati tidak mempunyai lesen hiburan sejak 2014 hingga 2017.

Jalaluddin dilaporkan berkata, pemilik premis itu hanya diberikan lesen restoran dan minuman keras tetapi sebenarnya tidak mempunyai lesen hiburan.

Sebelum ini, media melaporkan pengasas dan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan memuat naik video di tiga platform media sosialnya yang menyentuh isu sensitiviti perkauman pada 22 Julai lalu.

Rizal menjadi tumpuan kontroversi selepas video yang tersebar di media sosial menyebabkan pihak tertentu tidak berpuas hati dengan persembahan komedinya.

Sebelum itu, kontroversi telah dicetuskan oleh Siti Nuramira, 26, yang tular selepas menanggalkan baju kurung dan tudungnya di kelab komedi tersebut sebelum wanita itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni menggunakan agama dalam  kalangan sesama Islam di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Julai lalu.

Teman lelaki wanita berkenaan, penulis bebas, Alexander Navin Vijayachandran turut didakwa di mahkamah berasingan atas tuduhan memuat naik kandungan jelik di media sosial pada hari sama. – HARAKAHDAILY 18/08/2022