Setahun merdekanya Afghanistan dari penjarahan AS

- Advertisement -

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

NEGARA yang digelar pusara kuasa besar ini memang akan memberikan bekas kekal dalam minda kita, jika pernah mengunjunginya. Kelmarin pejuang-pejuang meraikan ulang tahun setahun penjajah Amerika Syarikat (AS) tertampar malu meninggalkan bumi jihad ini dengan kerugian perang sebanyak dua trillion USD!

Gema “narai takbir” menggema di pelbagai penjuru kota Kabul. Beberapa yang lalu demonstrasi yang digalang oleh kelompok feminis berhujung dengan tembakan-tembakan amaran keudara oleh pihak keselamatan negara itu.

Media antarabangsa sejak puluhan tahun lalu ingin mewajahkan negara ini sebagai sarang ekstremis, terpuruk, anti-wanita dan anti-dunia moden. Apa sahaja gerakan anti pemerintah Islam maka akan diberikan fokus dan suluhan berita, tiada kebaikan yang dilaporkan tentang kebaikan pemerintah Amiriah Islam.

- Advertisement -

Sepanjang setahun ini tekanan antarabangsa kepada Afhhanistan sangat melampaui batas, aset mereka dibekukan oleh Amerika. Negara-negara umat Islam juga tidak berusaha membina jaringan yang baik dengan negara antara termiskin dunia ini.

Aku teringatkan pengalaman menyertai misi bantuan ke negara Afghanistan, November lepas selepas tiga bulan Amerika angkat kaki daripada Afghanistan. Dingin menciut penghujung November sangat menikam tulang hitam kami, kelelahan di sepanjang perjalanan melintasi banyak negara seakan sirna apabila kami disambut hangat di pintu sempadan Iran-Afghanistan.

Bandar sempadan Islam Kola, seperti pekan Takbai namun timbunan sampahnya sangat menjolok mata, kanak- kanak berdesakan menjual topeng muka, juga kartel-kartel pengangkut bagasi seolah bersaing di pintu masuk sempadan.

“Jangan bagi apa-apa duit tips kepada mereka… nanti dikeronyok jadi kain buruk nanti,” aku ingatkan kawan-kawan. Teringat aku peristiwa dipijak kanak-kanak kelaparan di khemah pengungsian muslim Rohingya di Cox Bazaar Bangladesh lima tahun lepas. Mangsa peperangan melahirkan watak yang pongah dan tak bersahabat, mereka adalah mangsa zalimnya hukum collateral damage.

“Rezeki juga Kita dapat menikmati banyak pengalaman laluan darat berbanding jika kita menaiki pesawat daripada Islamabad ke Kabul… Pengalaman yang tak dapat dibayar, melihat kehidupan realiti masyarakat Afghanistan di kawasan perdesaan,” ujar Tuan Asri, mantan Ketua Editor Harian Metro.

Di pintu sempadan dengan berdesakan rakyat Afghanistan dengan bagasi besar bersiap meninggalkan tanah air untuk mencari kehidupan di luar sana. Sedang ralik wartawan Metro memicu telefon bimbit, tiba-tiba disergah dan dirampas peranti pintar oleh seorang petugas keselamatan. Beliau dibawa kedalam bilik khas, mengalami interogasi, dipadamkan gambar dalam fail kamera serta dilepaskan dengan wajah cemberut petugas keselamatan.

“Ahhh, ana padamkan gambar di kamera tetapi semuanya sudah tersimpan dalam fail khas…bukan dia tahu pun,” tukas Jamil wartawan Metro tanpa rasa bersalah. Kali terakhir aku bersama Jamil sebelum ini di bumi Gaza, bersama seorang rakan wartawan yang lain.

Negara yang mengalami adukan puluhan perang, segalanya “fragile”, sangat rapuh, gerah di mana-mana sahaja boleh berlaku. Melihat kelibat kuli kasar pengangkut bagasi serta anak-anak dengan guratan wajah berselimut kejerihan amat menginsafkan.

Baju kumuh yang menutup aurat mereka dengan mulut yang tak berhenti bercakap dalam bahasa bahasa Pashtun. Hidup mereka dibentuk dengan latar peperangan serta proses panjang penjajah, malah perbalahan inter fraksi.

Pintu masuk Afghanistan melalui bandar Islam Kola seumpama bandar Sungai Golok untuk ke Thailand, namun jauh daripada keselesaan dengan berlakunya pertukaran kerajaan. Visa kami perlu ditukar semula dengan bayaran baru. “Tak apalah… kita buat dan bayar semula… kira niat sedekah untuk depa… kerajaan baru Afghanistan,” kata aku.

Kelihatan kenderaan perang jenama Hummer buatan Amerika Syarikat diletakkan berdekatan pintu keluar bangunan Imigresen Afghanistan. Mungkin ada sebumbung rasa megah bagi bangsa perlawanan ini yang berjaya menghalau kuasa besar dunia daripada tanah air mereka.

Kanak-kanak berpakaian kurta yang kumuh berjualan topeng penutup muka kepada orang ramai, sesekali dihalau oleh petugas keamanan kerana perkumpulan mereka mengganggu laluan orang ramai. Mereka membalas dengan jeritan yang kami tak fahami.

“Serupa la mana-mana negara miskin pun. Tak ada beza mana dengan Chad, Tanzania, Somalia… karenah birokrasi, kadang macam negara Afrika banyak kali kita diperiksa bagasi untuk mereka mendapat duit minum,” ulas Haji Affendi Mohamad, anggota legislatif daripada Kelantan yang mengikuti misi kemanusiaan yang entah berapa puluh kali bagi tokoh pimpinan PAS Kelantan ini.

Empat buah kereta digunakan untuk mengangkut kami serta bagasi ke Herat, bandaraya ketiga terbesar di Afghanistan selepas Kabul dan Kandahar. Perjalanan darat sebelum itu daripada bandar Massad, Iran ke Islam Kola mengambil masa lebih enam jam, kami tertidur culas dengan dengkuran tingkah meningkah.

Bas separuh usia itu melintasi pelbagai pekan kecil di daerah sempadan Iran, aku melihat gambar Khomeini masih terpapar megah pada tembok dan pagar pekan yang kami lalui. Ikon revolusi Iran itu masih dipuja rakyat walaupun telah lama meninggal dunia.

Perjalanan dengan empat kereta yang dipandu oleh relawan HAS melalui aspal berdebu musim dingin, sekatan jalanraya ditempoh dengan mudah. Kelihatan pegawai keselamatan kerajaan Emiriah Islam mengawal kubu-kubu perang yang ditinggalkan oleh penjajah Amerika di sepanjang jalan. Berserban hitam dengan pakaian kurta khas Afghanistan, menyandang senjata moden yang mungkin juga didapati mereka selepas peninggalan tentera Amerika.

Pemandangan kiri kanan jalan dengan rumah kediaman yang dibina daripada selut dan palang-palang kayu yang kelihatan sangat dhaif, tanah lapang dengan aktiviti pertanian, atau kawasan terbiar kosong kerana tanah yang kontang.

Setibanya di Kota Herat, rombongan dibawa ke pejabat HAS, sekumpulan 150 orang anak-anak yatim sedang menunggu kami untuk acara agihan duit. Tatapan mata dan sorotan wajah bening bocah kecil menikam relung hatiku.

Bola mata mereka seolah menebak asal muasal kami, lelaki berhidung jambu air dengan bahasa asing. Apa yang ada di dalam tempurung mereka apabila melihat kami orang Melayu, datang beribu batu untuk menyantuni mereka. Itulah besarnya manifestasi kalimah syahadah yang menyatukan hati orang beriman!

Cuaca dingin menjadikan malam menjadi panjang, apabila malam menjelang keadaan di Herat, juga di Kabul dicengkam sepi. Politik belum stabil, aktiviti malam dikurangkan malah sang pawana mengintai peluang. “Undang-undang Syariah tak dilaksanakan dengan sempurna lagi, kerana kondisi negara ini belum stabil,” terang Mutiullah seorang relawan tempatan kepada kami.

Rakyat yang kelaparan, bahkan angka gelandangan semakin meningkat di bandar Kabul dan Herat semenjak peralihan kuasa. Tim kami dengan bantuan NGO kolaborasi Afghanistan mengadakan acara agihan makanan asasi kepada penduduk miskin sekitar Herat pada hari kedua kami di Herat. Bantuan asnaf musim sejuk meliputi beras, gandum, kekacang, minyak masak adalah untuk bekalan sepanjang musim sejuk.

Suasana sangat syahdu dan dramatik semasa agihan, mulut asnaf tak putus mengucapkan terima kasih serta mendoakan kami. Baju sejuk sumbangan kawan-kawan juga diagihkan kepada asnaf. Guratan wajah berselimut kejerihan mengukir senyuman, baju sejuk, makanan bertukar tangan.

Masa begitu cemburu bak perempuan bermadu, kami tidak boleh melakukan kesilapan dengan aturan jadual program. Anggota misi kemanusiaan Afghanistan bersiap untuk meredah langit ke Kota Kabul, Kota yang sangat historik, dilingkari gunung ganang namun menyimpan sejuta rahsia bangsa perlawanan.

Penulis ialah anggota misi Bantuan Tanpa Sempadan. – HARAKAHDAILY 18/8/2022

- Advertisement -