PASTI pupuk murid semangat patriotisme

Oleh AHMAD HUSNAYAN

TAWAU:
Bagi melahirkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar, guru-guru PASTI mengadakan sesi pembelajaran secara teori dan praktikal supaya kecintaan terhadap negara dihayati setiap murid.

Yang Dipertua PAS Tawau Mohamad Husain berkata semangat cintakan negara perlu dipupuk seawal usia kanak-kanak setelah memasuki alam persekolahan.

Katanya peranan itu turut dimainkan PASTI dengan mendidik kanak-kanak erti kemerdekaan seawal usia empat tahun.

“Kanak-kanak harus diberi pendedahan dan bimbingan berkaitan kemerdekaan negara supaya mereka memahami kepentingan semangat patriotisme,” katanya di sini hari ini.

Advertisement

Rakyat negara ini bakal menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini, manakala sambutan Hari Malaysia pada 16 September.

Sambutan Hari Kebangsaan ke-65 dan Hari Malaysia ke-59 tahun ini bertema Keluarga Malaysia Teguh Bersama. Sambutan rasmi akan diadakan secara sederhana dalam norma baharu.

Mohamad juga berkata, sekiranya, kanak-kanak tidak diberi pendedahan mengenai Hari Kebangsaan, sudah tentu sukar untuk membentuk modal insan yang mencintai tanah air.

“Pengorbanan pemimpin dan pahlawan negara terdahulu yang memperjuangkan kemerdekaan perlu diceritakan kepada anak-anak sejak kecil lagi,” katanya.

Oleh itu beliau herharap rakyat tanpa mengira kaum dan agama bangkit daripada tidur lena kerana kemerdekaan akan hilang sekiranya tidak wujud semangat berkorban untuk negara. – HARAKAHDAILY 18/8/2022