MP imamkan solat Maghrib di Pasar Malam Cina

KUALA KRAI: Perniagaan di pasar malam yang terjejas teruk ketika penularan pandemik Covid-19 sebelum ini, sekarang kembali menjadi tumpuan orang ramai.

Peniaga dapat mencari rezeki, manakala penduduk tempatan boleh membeli keperluan harian dan pelbagai produk berhampiran dengan rumah mereka.

Begitu juga Pasar Malam Bandar Kuala Krai meriah semula sekarang selepas operasi perniagaan dibenarkan sejak tahun lepas.

Advertisement

Ahli Parlimen (MP) Kuala Krai, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, pasar malam itu beroperasi setiap malam Khamis yang lebih dikenali dalam kalangan penduduk tempatan sebagai ‘Pasar Malam Cina’.

“Ini kerana kedudukannya di tengah-tengah bandar Kuala Krai yang di kelilingi gudang-gudang perniagaan dan pusat membeli belah.

“Biarpun namanya Pasar Malam Cina, namun hampir kesemua peniaga adalah orang Melayu Islam,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Sebelum itu beliau mengimamkan solat Maghrib di Pasar Malam Bandar Kuala Krai bersama peniaga dan pengunjung.

Menurutnya amalan solat Maghrib berjemaah di pasar malam dikendalikan Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK) bagi memberi ruang peniaga dan pengunjung bersolat.

Katanya MDKK menyediakan tempat solat berhampiran lokasi perniagaan mereka bagi memudahkan menunaikan solat Maghrib memandangkan waktunya begitu singkat. – HARAKAHDAILY 18/8/2022