Jelajah AKM Selangor bermula esok hingga Ahad

SHAH ALAM: Orang ramai dialu-alukan untuk hadir memeriahkan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Selangor yang akan berlangsung di tapak karnival pekarangan Stadium Shah Alam di sini bermula esok hingga Ahad ini.

AKM Selangor yang dianjurkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu, membawa tema ‘Usahawan Keluarga Malaysia Penggerak Ekonomi Negara’ dan akan melibatkan kira-kira 100 reruai usahawan industri kecil dan sederhana serta 109 aktiviti sepanjang tiga hari penganjuran.

Pelbagai kaunter perkhidmatan kementerian dan agensi juga dibuka bagi jelajah tersebut selain program Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia dan Jualan Murah Keluarga Malaysia yang bermula dari pukul 9 pagi hingga 9 malam.

Advertisement

Ketua Unit Komunikasi Korporat KUSKOP Datin Suriani Abdul Rahman berkata antara usaha yang akan diketengahkan pada AKM kali ini adalah aktiviti keusahawanan digital melalui platform e-dagang, MyMall. 

“MyMall dibina atas inisiatif KUSKOP sendiri untuk membantu terutama sekali usahawan informal dan mikro bagi mendapat tapak berniaga dalam talian secara percuma berbanding platform dalam talian yang mengenakan caj,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya untuk tujuan tersebut reruai MyMall di khemah usahawan pada AKM Selangor akan dibuka khusus untuk urusan pendaftaran dan penerangan kepada usahawan yang berminat.

Di samping itu, menurutnya KUSKOP dengan kerjasama SME Corp Malaysia juga melaksanakan aktiviti pemadanan perniagaan yang menyediakan platform untuk usahawan meluaskan pasaran dengan menghubungkan mereka dengan pasar raya besar dan syarikat terkemuka.

Suriani berkata antara tarikan lain yang ditampilkan pada AKM kali ini adalah jualan Cita Rasa Keluarga Malaysia dan trak makanan yang menawarkan menu istimewa sinonim dengan Selangor seperti nasi ambeng, karipap gergasi, cendol bakar, ikan bakar dan mee udang banjir.

Selain itu, katanya pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung juga diatur sepanjang penganjuran jelajah itu termasuk cabutan bertuah, pertandingan makan Hotdog 1901 terbanyak; pertandingan menghias kek; acara mewarna bersama Omar dan Hana; e-Sukan; Sukan Rakyat serta pertandingan nyanyian Bintang Patriotik.

Beliau berkata lima khemah Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut disediakan bagi kemudahan orang ramai membayar saman trafik dengan tawaran diskaun sebanyak 50 peratus sepanjang tiga hari penganjuran jelajah itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual merasmikan Jelajah AKM Selangor pada 3 petang esok. – BERNAMA