Jabatan Kesihatan awasi pintu sempadan kawal cacar monyet

- Advertisement -

Oleh RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dalam tahap kesiapsiagaan di pintu-pintu sempadan di negeri ini susulan peningkatan kes cacar monyet di Thailand.

Pengarahnya Datuk Dr Zaini Hussin berkata, ujian saringan secara terperinci akan dilakukan terhadap mana-mana pengembara yang disyaki mempunyai simptom penyakit terbabit.

Katanya bilik gerakan juga telah diaktif selain memantau setiap pergerakan pelancong luar.

“Kita akan buat saringan terutamannya kepada pelancong-pelancong yang datang dari negara-negara yang mempunyai kes penyakit cacar monyet.

- Advertisement -

“Kita juga memberi arahan supaya klinik-klinik swasta dan kerajaan melaporkan kepada JKNK sekiranya terdapat kes-kes atau suspek penyakit cacar monyet,” katanya selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Wisma Persekutuan hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md Nor.

Bagaimanapun kata Dr Zaini setakat hari ini tiada laporan penyakit cacar monyet direkod di Kelantan.

Dr Zaini juga berkata, kes Influenza Like-Illness (ILI) di Kelantan mencatat penurunan selepas berlaku limpahan kes dua bulan lalu.

Katanya tiada lagi masalah kekurangan katil di hospital selain kes membabitkan ILI dapat diuruskan dengan baik.

“Saya menasihatkan orang ramai agar menjaga prosedur operasi standard (SOP) di sepanjang fasa peralihan endemik Covid-19,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/8/2022

- Advertisement -