Isu MN, PN dijangka jadi fokus Muktamar PAS ke-68

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Agenda perpaduan ummah tetap menjadi fokus utama PAS walaupun Umno berulang kali memberitahu akan bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata, isu Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) dijangka menjadi antara fokus utama perwakilan pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-68 awal bulan hadapan.

Katanya kalau ditakdirkan suara perwakilan sebulat suara menyokong MN dan PN, walaupun Umno tidak mahu, PAS tetap dengan pendirian perpaduan kerana ia suruhan agama.

“Sama ada Umno hendak terima atau tidak, kita tetap membuka pintu perpaduan.

“PAS berpolitik untuk Islam, kita bergerak untuk kebaikan Islam tetapi parti lain menggunakan Islam untuk kepentingan parti mereka,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

- Advertisement -

Semalam, Setiausaha Agung Umno Dato’ Seri Ahmad Maslan dilapor berkata, tiada sebarang perbincangan antara PAS dan Umno bagi menyuburkan kembali MN.

Muktamar PAS kali ke-68 akan diadakan pada 3 dan 4 September ini bertempat di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar.

Sempena muktamar turut diadakan konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) akan berlangsung pada 2 September, manakala Konvensyen Asabiqun pula 1 September.

Muktamar Dewan Pemuda pula diadakan pada 1 dan 2 September, Muktamar Dewan Ulamak dan Dewan Muslimat pula pada 2 September.

Tuan Guru Hashim berkata, PAS tidak akan sesekali memutuskan hubungan antara kedua-dua pihak, malah akan memperkukuh MN dan mempertahankan PN.

Menurutnya juga hubungan dengan pemimpin Umno diteruskan biarpun segelintir pemimpin parti itu berdepan dakwaan kes rasuah.

“Hubungan kita bukan kerana Dato’ Seri Zahid Hamidi, atau Tuan Guru Abdul Hadi tetapi kerana Allah suruh kita bersatu, maka pastinya Allah akan memberi pertolongan kepada hamba-Nya yang membantu agama Allah,” katanya.– HARAKAHDAILY 18/8/2022

- Advertisement -