ECER: Tingkatkan mobilisasi rakyat Pantai Timur

PADA sesi perbahasan Rang Undang-undang Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Pindaan) 2022 minggu lepas, saya telah menekankan peri pentingnya projek East Coast Economic Region (ECER) kepada negeri-negeri Pantai Timur.

Saya menggesa pihak kerajaan untuk mempercepat permulaan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT 3) yang telah diluluskan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. Hal ini demikian kerana faktor mobilisasi rakyat di negeri Terengganu dan Kelantan perlu diambil kira supaya dapat memudahkan rakyat dalam urusan harian. 

Seperti yang sedia maklum, projek pembinaan ini telah diluluskan pada tahun 2019 dan merangkumi mempunyai jarak 150KM bermula dari Gemuroh, Terengganu ke Tumpat, Kelantan. Projek ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam membangunkan negeri Pantai Timur dan sebahagian daripada Johor.

Selain itu, pelaksanaan projek yang melibatkan infrastruktur, pembuatan dan pelancongan di Terengganu dapat merancakkan pelaburan luar dalam negara ini termasuk Pantai Timur. Sudah tentu peluang pekerjaan kepada penduduk terutama Terengganu semakin meningkat sekali gus meringankan beban rakyat berikutan kos sara hidup yang semakin mencabar.

Justeru, saya berharap kerajaan dapat memberi perhatian dan pemantauan rapi juga terhadap projek-projek lain yang sedang berjalan di Pantai Timur sehingga siap bagi mengelakkan kelewatan dan penyelewengan berlaku. Hal ini demikian kerana, projek-projek ini sangat dinanti-nantikan oleh rakyat untuk dinikmati limpahan ekonomi darinya. 

“Islam Menyatukan Ummah”

YB SENATOR DATO’ HUSAIN AWANG
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 18/8/2022

Advertisement