Cikgu Mohamad Shokri Ahmad Fauzi

Pesuruhjaya PAS Sarawak yang pertama

- Advertisement -

PENGENALAN

Perubahan politik Borneo pada 1985 ekoran kejayaan PBS menguasai negeri Sabah telah membuka mata PAS untuk segera berkembang di negeri-negeri Malaysia Timur. Dalam tahun itu juga, PAS mengumumkan untuk mengembangkan sayapnya ke Sabah dan Sarawak. Usaha-usaha menubuhkan PAS dimulakan di Sabah dahulu kerana ia dianggap lebih kritikal, sehingga akhirnya PAS Sabah dapat ditubuhkan pada 1986. Berselang dari tarikh itu, usaha menubuhkan PAS di Sarawak telah dibuat oleh ahli-ahli PAS di Bintulu dengan menubuhkan PAS Kawasan Bintulu pada 1987 sebelum PAS Sarawak wujud. Memasuki dekad 1990-an, baru ada desakan supaya PAS segera berkembang ke Sarawak dan Ustaz Mansur Din, seorang pendakwah dari Terengganu yang bertugas di Sarawak telah menjadi Ketua Penaja PAS Sarawak pada 1994. Akhirnya, pada 22 September 1996, PAS Sarawak terbentuk secara rasmi apabila Cikgu Mohamad Shokri Ahmad Fauzi dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Sarawak yang pertama.

Lahir dalam keluarga politik

Ketika suasana politik dunia sedang berubah ekoran tamatnya Perang Dunia Kedua, negeri-negeri di Asia Tenggara sedang berjuang untuk menuntut kemerdekaan, termasuk Sarawak yang terkenal dengan perjuangan Rosli Dhobi, nasionalis Sarawak yang digantung oleh penjajah pada 2 Mac 1950. Apabila Tanah Melayu berhasil memperoleh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, orang-orang Sarawak turut bersemangat menuntut supaya British memerdekakan tanah air mereka, sehingga akhirnya Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra mencadangkan pada 1961 supaya Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah), Brunei, Sarawak dan Singapura dicantumkan untuk membolehkan tanah-ranah jajahan British itu merdeka. Dalam suasana penuh dengan semangat nasionalisme itulah, Cikgu Mohamad Shokri dilahirkan pada 26 September 1958 di Samariang, Kuching dalam sebuah keluarga Melayu yang patriotik. Ayahnya, Ahmad Fauzi Mahmud adalah antara pemuda yang bersemangat dalam politik ketika ini.

Perkembangan politik Melayu Sarawak sangat menarik ketika itu. Ia bermula selepas Perang Dunia Kedua, di mana Persatuan Pemuda Melayu (PPM) telah ditubuhkan pada 1946 dan dipimpin oleh Datu Bandar Abang Mustapha. Pada 1960, PPM telah bergabung dengan Barisan Pemuda Sarawak (BARIP) untuk menubuhkan Parti Negara Sarawak (PANAS) yang turut disertai oleh orang bukan Melayu. Ekoran itu, pada 1961, Barisan Anak Jati Sarawak (Barjasa) ditubuhkan oleh orang Melayu dan Melanau yang tidak berpuas hati dengan PANAS. Kerana penubuhan Malaysia, pada 1962, Barisan Bersatu Sarawak (Perikatan Sarawak) yang dianggotai oleh PANAS, Barjasa, Parti Pesaka Anak Sarawak (Pesaka), Parti Kebangsaan Sarawap (SNAP) dan Sarawak Chinese Association (SCA) telah ditubuhkan. Untuk mengimbangi pengaruh kaum Cina, parti Barjasa, PANAS dan Pesaka telah menubuhkan Pakatan Bumiputera pada 1966. Kemudian Bumiputera Islam dalam PANAS dan Barjasa bergabung menubuhkan Parti Bumiputera. Pada 1970, Tun Abdul Rahman Yaakub sebagai Ketua Menteri dikatakan sangat cenderung kepada etniknya, Melanau.

Ahmad Fauzi Mahmud yang terlibat dan melalui setiap detik perkembangan politik ini secara langsung juga tidak berpuas hati dengan peminggiran orang Melayu oleh Ketua Menteri Sarawak itu. Beliau adalah antara pimpinan Parti Bumiputera yang mendesak supaya orang Melayu diberikan tempat dalam politik Sarawak, seimbang dengan orang Melanau. Untuk mengimbangi tekanan ini, Tun Abdul Rahman telah menggabungkan Parti Bumiputera dengan Pesaka, sebuah parti Dayak lalu membentuk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada 1974. Memberi reaksi terhadap tindakan Tun Abdul Rahman ini, Ahmad Fauzi bersama Haji Alli Kawi, bekas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak telah tampil membela kedudukan politik orang Melayu dalam kerajaan dan akhirnya pada Februari 1978, mereka telah menubuhkan Parti Anak Jati Rakyat Sarawak (PAJAR) dengan dipimpin oleh Haji Alli Kawi. Ahmad Fauzi adalah pengasas PAJAR dan juga merupakan salah seorang pemimpinnya.

Dalam suasana politik yang bergolak dan penglibatan langsung ayahnya itulah, Cikgu Mohamad Shokri dilahirkan dan membesar. Beliau diberikan didikan agama dan semangat perjuangan oleh ayahnya sejak kecil. Kemudian beliau dihantar belajar di Sekolah Rendah Kerajaan Gersik, Kuching pada 1965. Setelah itu, beliau memasuki pula Sekolah Menengah Kuching High sehingga tamat pada 1977. Setelah tamat sijil menengah itu, beliau mula bekerja sendiri sebelum mendapat peluang melanjutkan pelajaran. Dalam usahanya melanjutkan pelajaran, beliau telah memohon untuk mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Rejang, Kuching pada 1979. Beliau diterima masuk dan belajar di sini sehingga lulus Sijil Perguruan pada 1980. Setelah itu, beliau mula berkhidmat sebagai guru kerajaan di beberapa buah sekolah rendah dan menengah di Sarawak di antara 1981 hingga 2001.  

Sepanjang lebih 20 tahun menjadi guru itu, beliau pernah berkhidmat di beberapa buah sekolah antaranya di Sekolah Rendah Niah, Niah di Bahagian Miri. Setelah beberapa tahun di sini, beliau mendapat peluang kembali ke Kuching dan berkhidmat di tempat kelahirannya. Beliau mula mengajar di Sekolah Rendah Enche Buyong, Petra Jaya pada pertengahan 1980-an, kemudian bertukar ke Sekolah Rendah Batu Lintang, Kuching. Pada dekad 1990-an, beliau menjadi guru di Sekolah Rendah St Joseph, Kuching. Pada 2001, dalam usia 43 tahun, beliau telah memilih untuk bersara awal dari perkhidmatan perguruan kerana dipilih oleh PAS untuk menjadi calon dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak. Dicatatkan juga, bahawa Cikgu Mohamad Shokri turut mengambil peluang ketika bekerja untuk menyambung belajar sehingga lulus ijazah TESL pada tahun 2000. Dan akhirnya beliau berjaya mendapat ijazah sarjana dalam bidang psikologi pada 2007.  

Memimpin PAS Sarawak

Darah politik yang mengalir dalam diri Cikgu Mohamad Shokri telah membuatkan beliau turut cenderung untuk aktif dalam politik. Beliau tidak memperjuangkan politik Melayu seperti ayahnya, sebaliknya menjadi seorang pemimpin politik Islam. Kesedaran beliau untuk berpolitik telah membawanya menyertai PAS sejak 1990 lagi dengan nombor keahlian 352388. Ketika ini beberapa pimpinan PAS yang berkhidmat di Sarawak seperti Ustaz Mohd Zain Abdul Rahman, Ustaz Mansor Din, Ustaz Prof Madya Dr Yaakob Yusof dan lain-lain, yang secara kebetulan UiTM Sarawak telah memindahkan kampusnya dari Semenggok ke Semariang pada 1989. Kampus Semariang ini telah beroperasi sehingga UiTM berpindah ke Kota Samarahan pada 1997. Peluang ini digunakan oleh para pensyarah tersebut untuk mengembangkan pengaruh PAS di Petra Jaya, selain mentarbiyah pelajar-pelajar. Cikgu Mohamad Shokri turut terlibat dalam program-program tarbiyah yang disusun oleh mereka ketika ini.

Setelah bilangan ahli PAS di Petra Jaya mulai ramai dan ahli-ahli PAS dari sekitar Kuching, Bintulu dan Miri yang sudah bertambah, mereka telah merancang untuk menubuhkan PAS Sarawak. Ia bermula dengan sebuah Jawatankuasa Penaja PAS Sarawak yang dipengerusikan oleh Ustaz Mansor Din sebagai Ketua Penaja, manakala Cikgu Mohamad Shokri menjadi salah seorang timbalannya. Langkah mereka mengembangkan PAS di Sarawak telah mendapat perhatian Pejabat Agung PAS apabila penubuhan Jawatankuasa Penaja PAS Sarawak ini diluluskan pada 31 Disember 1994, sebelum beberapa proses dibuat untuk menubuhkan Badan Perhubungan PAS Negeri Sarawak secara rasmi. Akhirnya, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah bersetuju mewujudkan Badan Perhubungan PAS Sarawak bermula dengan pelancarannya oleh Ustaz Abu Bakar Chik pada 26 Mei 1996, dan pada 22 Jun 1996, Cikgu Mohamad Shokri telah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Sawarak yang pertama.

Walaupun struktur organisasi PAS Sarawak masih lemah ketika ini, tetapi dengan kesungguhan Cikgu Mohamad Shokri memajukannya, PAS Sarawak mulai dapat berkembang dengan baik. Apabila PAS Sarawak berjaya didaftarkan pada 25 September 1996, maka langkah-langkah pengukuhkan mula dibuat. Dalam usaha mengukuhkan PAS Sarawak, Cikgu Mohamad Shokri yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Petra Jaya sejak ia ditubuhkan pada 1997 hingga 2011, telah berusaha untuk menggerakkan penubuhan Dewan-dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Sarawak. Sekitar tahun 1999, sebuah protem Dewan Pemuda PAS Sarawak telah ditubuhkan dengan Cikgu Mohamad Shokri sendiri selaku Pesuruhjaya PAS Sarawak menjadi Ketua Penaja Dewan Pemuda PAS Sarawak. Akhirnya ia dapat ditubuh dan didaftarkan pada 2001. Setelah itu, Dewan Muslimat dan Dewan Ulamak PAS Sarawak juga dapat ditubuhkan bersama-sama tujuh buah PAS Kawasan iaitu Petra Jaya, Batang Lupar, Sibu, Mukah, Miri, Bintulu dan Santubong.

Cikgu Mohamad Shokri yang memimpin PAS Sarawak sebagai pesuruhjaya selama sembilan tahun (1996-2003) telah melalui pahit getir perjuangan, khususnya untuk mengembangkan PAS di sebuah negeri yang luas dan sangat majmuk ini. Namun begitu, beliau telah berhasil mengembangkan PAS di beberapa bahagian dan kawasan pilihan raya sehingga Pejabat Agung PAS berpendapat bahawa PAS Sarawak sudah boleh menyertai pilihan raya. Pertama kali PAS meletakkan calon di Sarawak adalah dalam Pilihan Raya Umum 1999 di Parlimen Batang Sadong, iaitu selepas tiga tahun PAS Sarawak ditubuhkan. Dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 2001, Cikgu Mohamad Shokri sendiri telah dipilih oleh PAS sebagai salah seorang calon untuk bertanding di DUN Samariang, selain Sadong Jaya dan Beting Maro. Beliau terpaksa berhadapan dengan calon BN, Keadilan dan Bebas dalam pilihan raya yang dimenangi oleh calon BN dari parti PBB, Sharifah Mordiah Tuanku Pauzi.

Pada 2003, Presiden PAS telah melantik Haji Adam Ahid sebagai Pesuruhjaya PAS Sarawak yang baru (2003-2009) dan diikuti oleh Ustaz Othman Mustapa (2009-2010). Setelah itu, Haji Adam Ahid sekali lagi memimpin PAS Sarawak sehingga kematiannya pada 17 Ogos 2015 dan akhirnya kepemimpinan diambil alih oleh Haji Jofri Jaraiee, Yang Dipertua PAS Miri. Sepanjang kepemimpinan Haji Adam Ahid hingga kematiannya pada 2015, Cikgu Mohamad Shokri telah dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Sarawak sehingga 2007, tetapi kerana masalah kesihatan beliau direhatkan beberapa tahun. Pada sesi 2011-2013, beliau Kembali memegang jawatan Timbalan Pesuruhjaya 1, diikuti dengan jawatan sebagai Timbalan Pesuruhjaya 2 (2013-2015). Pada sesi 2015-2017, Cikgu Mohamad Shokri tidak lagi diberikan beban kepemimpinan di atas faktor kesihatannya, tetapi beliau dilantik sebagai Pengerusi Lajnah Penerangan dan Media Baru PAS Sarawak untuk membantu Haji Karpawi Aman, Ketua Penerangan PAS Sarawak. Beliau juga melepaskan jawatan Yang Dipertua PAS Petra Jaya sejak 2007, tetapi dilantik pula sebagai Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan tersebut.

Tragedi di Sungai Cina

Sebenarnya, di sebalik penglibatan aktif beliau ini, pada 2006, Ketika dalam dalam perjalanan pulang dari perkelahan dengan anak-anaknya di Sungai Cina, van yang dipandu oleh Cikgu Mohamad Shokri telah bertembung dengan sebuah kereta kancil yang datang dari arah bertentang tetapi memasuki Lorong yang dilalui oleh beliau. Kemalangan ini telah menyebabkan Cikgu Mohamad Shokri terpaksa ditahan di wad Hospital Umum Sarawak (HUS) selama 38 hari. Beliau mengalami kecederaan teruk di kaki dan terpaksa menggunakan lampin pakai buang. Doktor akhirnya mengesahkan bahawa beliau telah lumpuh dari pinggan ke bawah (partly paralyse) dan perlu menggunakan kerusi roda. Sejak 2007, beliau terpaksa berehat dari aktiviti parti. Walaupun berkerusi roda, Cikgu Mohamad Shokri tetap aktif bersama kepemimpinan parti dan kembali memegang jawatan utama dalam keadaan berkerusi roda mulai 2011. Pada 2016, beliau disahkan mengidap kanser otak yang menyebabkan beliau tidak lagi mampu bergiat aktif.

Walaupun keadaan kesihatannya yang semakin terus dan terpaksa berkerusi roda, beliau tetap bersemangat untuk berjuang menegakkan Islam, termasuk hadir dalam keadaan uzur dan berkerusi roda untuk mengiringi calon PAS di DUN Samariang pada 25 April 2006, iaitu hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11. Menghargai komitmen dan sumbangannya, Muktamar Tahunan PAS 2016 di PUTIK, Kota Bharu telah menganugerahkan gelaran Tokoh Istiqamah PAS kepada beliau. Namun begitu, dengan keadaannya yang uzur itu, mulai 2017, beliau tidak lagi diberikan jawatan, sehingga keadaannya semakin parah dan terlantar sejak Jun 2019. Akhirnya, pada 3 Januari 2020, beliau telah meninggal dunia di rumahnya di Taman Sri Wangi, Petra Jaya dengan meninggalkan seorang isteri, Ustazah Sharifah Anom Haji Omar, seorang pensyarah kanan UiTM Sarawak bersama tujuh orang anaknya iaitu Abdul Rahman, Abdul Hadi, Rabiatul Adawiah, Abdul Muhaimin, Abdul Hakim, Wan Anis Sakinah dan Wan Anis Solehah.

MOHD FADLI GHANI
Institut al-Balaghul Mubin – HARAKAHDAILY 18/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -